Saturday 18 July 2020

PEMBUKAAN SEMULA SEKOLAH CERMIN KEPRIHATINAN TERHADAP PELAJAR LUAR BANDAR


Radzi berucap ketika lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Fajar di Sandakan, hari ini. - Foto Twitter
Radzi berucap ketika lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Fajar di Sandakan, hari ini
SANDAKAN: Pembukaan semula sesi persekolahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pelajar, khususnya di luar bandar yang berdepan masalah capaian internet untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian, kata Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata walaupun kementerian berusaha mencari jalan untuk menangani masalah itu, kerajaan memutuskan untuk membuka semula sesi persekolahan secara berperingkat dengan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mencegah penularan COVID-19.
"Kami sedar mengenai kekangan dihadapi pelajar di luar bandar. Selain (akses) internet, kebanyakan pelajar tidak mempunyai gajet seperti komputer riba yang boleh mereka gunakan untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
"Jadi, kami (kerajaan) memutuskan membuka semula sesi persekolahan kerana kami tahu banyak pelajar, khususnya di kawasan luar bandar, tidak dapat berkomunikasi dengan guru mereka atau menerima bahan pembelajaran walaupun pelbagai usaha diambil untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Fajar di sini, hari ini.
Dalam rangka lawatan dua hari beliau ke Sandakan, Radzi berkata beliau melawat beberapa sekolah di daerah itu dan berpuas hari bahawa mereka mematuhi SOP sepanjang tiga fasa pertama pembukaan sekolah, termasuk pengendalian asrama sekolah.
Pembukaan semula sesi persekolahan bermula dengan pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam Atas pada 24 Jun, diikuti prasekolah pada 1 Julai serta Tingkatan 1-4 dan Tingkatan Enam Rendah dan murid Tahun Lima dan Enam pada 15 Julai, manakala murid Tahun 1-4 dijadual kembali ke sekolah pada 22 Julai. 
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment