Wednesday 15 July 2020

PEMATUHAN SOP SEKOLAH DI PULAU PINANG MEMUASKAN

Tinjauan pembukaan semula sekolah rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jelutong mendapati prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi di sini, hari ini. -Foto NSTP/Danial Saad
Tinjauan pembukaan semula sekolah rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jelutong mendapati prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi di sini, hari ini.
GEORGETOWN: Persiapan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi normal baharu di sekolah negeri ini berada dalam keadaan memuaskan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad, berkata pihaknya berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan pengurusan sekolah bagi mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan murid.
Katanya, ia adalah selaras dengan slogan yang diperkenalkan kepada semua sekolah iaitu 'Pulau Pinang Sifar COVID-19 Kluster Sekolah'.
"Daripada segi persiapan, saya amat berpuas hati kerana pihak Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) turut bekerjasama bagi memastikan pematuhan SOP di sekolah.
"Sebanyak 399 sekolah di Pulau Pinang yang memulakan persekolahan hari ini dan hanya membabitkan Model Satu dan Model Dua sahaja, tiada Model Ketiga," katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jelutong, Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim, di sini, hari ini.
Tinjauan mendapati, murid hadir ke sekolah dengan mengenakan pelitup muka dan saringan suhu badan dibuat sebelum memasuki perkarangan sekolah.
Selepas mengenakan cecair pembasmi kuman, murid akan melalui pengimbas suhu sekali lagi sebelum memasuki bangunan pentadbiran sekolah.
Menurut Guru Besar Tan Ko Leong, pihak sekolah turut dibantu PIBG yang membekalkan makanan kepada semua murid.
"Di sini terdapat 333 murid sesi pagi bagi Tahun Empat hingga Tahun Enam dan 359 bagi sesi petang, bagi murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga.
"Dahulu kami mempunyai 25 kelas dan kini perlu menambah tiga lagi kelas baharu bagi memastikan penjarakan murid," katanya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan tiga model waktu persekolahan yang boleh dijadikan panduan oleh pentadbir, mengikut kesesuaian sekolah masing-masing.
Model pertama adalah Model Satu Sesi bagi sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi untuk menempatkan semua murid dalam satu sesi, selepas mengambil kira penjarakan sosial.
Model Dua Sesi pula bagi sekolah sedia ada yang beroperasi secara dua sesi ataupun sekolah satu sesi, kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.
Model ketiga iaitu Model Penggiliran adalah sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan model dua sesi.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment