Sunday, 12 July 2020

LEBIH BANYAK KURSUS DALAM TALIAN UNTUK GURU

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Siti Faridah Matt, 34, (kiri) melihat Siti Suria Shaari mengajar mengunakan kemudahan dalam talian. - Foto hiasan NSTP/AMRAN HAMID
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Siti Faridah Matt, 34, (kiri) melihat Siti Suria Shaari mengajar mengunakan kemudahan dalam talian.
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan memperbanyak kursus dalam talian untuk guru kerana menjimatkan masa dan kos.
Pada masa sama, guru sedia ada lebih mahir dengan pembelajaran dan pengajaran dalam talian tanpa perlu meninggalkan sekolah atau rumah.
Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim, berkata kurikulum guru pelatih di Institut Pendidikan Guru (IPG) juga akan ditambah dengan elemen pembelajaran dalam talian kerana itulah kaedah pengajaran masa depan.
Beliau berkata, kurikulum di sekolah dan IPG sentiasa berkembang dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Katanya, kementerian itu mengambil kira keperluan digital untuk kira-kira 6,000 guru pelatih yang bakal memasuki 27 IPG tahun ini dan lebih 400,000 guru dalam perkhidmatan sekarang.
"Sebelum PKP, memang sudah banyak pembangunan profesional secara latihan dalam talian. Sekarang perlu mempergiat lagi supaya ia menjadi normal baharu bagi guru.
"Ini lebih mudah, murah dan boleh dicapai bila-bila masa," katanya di sini.
Habibah berkata, pembelajaran dalam talian sesuai dengan murid generasi sekarang kerana mereka memang lahir pada era digital.
Sebaliknya, beliau berkata, guru bukan dari era itu atau dipanggil 'digital migrant' dan mereka perlu dilengkapkan dengan kemahiran baharu.
"Pendekatan yang kita ingin perkenal dan perluaskan ini sesuai dengan generasi masa ini," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment