Tuesday 14 July 2020

KPM RAKAM UCAPAN TAKZIAH KEMATIAN CIKGU ROSLI

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merakamkan ucapan takziah terhadap keluarga guru yang meninggal dunia akibat terjatuh dari balkoni tingkat satu bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah, tengah hari tadi.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, menerusi status di Facebook turut mendoakan roh mangsa dicucuri rahmat Allah SWT.
"Hari ini kami menerima perkhabaran dukacita di atas pemergian Allahyarham Cikgu Rosli Abd Aziz, guru di SK Batu Gajah, Tanah Merah.
"Arwah terbabit dalam kemalangan semasa melaksanakan kerja-kerja akhir bagi persiapan pembukaan semula sekolah.
"Seluruh warga KPM menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah dan berdoa agar rohnya dicucuri rahmat Allah SWT," katanya.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang juga guru Matematik tergelincir dari balkoni belakang tingkat satu sekolahnya ketika melakukan persiapan akhir sempena pembukaan sekolah itu.
Mangsa terjatuh pada ketinggian tiga meter, cedera parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima anak berusia antara lima hingga 21 tahun.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment