Friday, 3 July 2020

CIKGU IKUTI PEPERIKSAAN SPM, SUBJEK MATEMATIK 18 KALI

ZULKIFLI menunjukkan sebahagian sijil SPM yang dimilikinya selepas 18 kali mengambil peperiksaan itu sejak 2011. FOTO Ihsan Zulkifli Md Pungut
Zulkifli menunjukkan sebahagian  sijil SPM yang dimilikinya selepas 18 kali mengambilnya sejak 2011
DEMI menguji keberkesanan formula matematik diciptanya, Zulkifli Md Pungut sanggup menjadi calon dan mengikuti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk subjek Matematik setiap tahun sejak 2011.
Zulkifli, 50, yang juga guru Penolong Kanan Petang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Abdul Rahman Andak, Simpang Renggam, Johor, menduduki dua sesi peperiksaan bagi subjek Matematik pada Julai serta November setiap tahun sepanjang tempoh itu dan sudah mengikuti 18 peperiksaan.
Sepanjang mengambil SPM bagi subjek itu, 14 daripada keputusan peperiksaan berkenaan, Zulkifli memperoleh gred A+, manakala empat lagi dia memperoleh keputusan gred A.
Meskipun memiliki kelebihan pernah mengajar subjek Matematik hampir 20 tahun, Zulkifli tidak mengambil mudah setiap peperiksaan yang diikutinya, sebaliknya tetap membuat persediaan sebelum menduduki peperiksaan.
"Saya sering memperkenalkan formula kepada pelajar bagi memudahkan mereka memahami sesuatu topik dan membantu mereka menjawab soalan ketika peperiksaan.
"Namun, saya ada keinginan untuk mengetahui sama ada formula itu benar-benar membantu pelajar serta menepati piawaian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Disebabkan itu, saya jadikan diri testimoni dengan mendaftar sebagai calon untuk menimba pengalaman sama seperti yang dirasai pelajar," kata Zulkifli ketika dihubungi Harian Metro.
Bercerita lanjut pengalamannya, Zulkifli berkata, peluang menjadi calon peperiksaan juga membolehkannya menganalisa soalan yang keluar setiap tahun seterusnya merangka formula yang memudahkan pelajar.
"Segelintir pelajar menyifatkan Matematik sebagai subjek yang susah jadi menjadi tanggungjawab saya untuk menarik minat mereka sekali gus membuang persepsi itu.
"Salah satu caranya adalah dengan menduduki peperiksaan dan berdasarkan pengalaman, soalan untuk setiap sesi peperiksaan adalah berbeza.
"Daripada situ, saya dapat melihatnya dan berkongsi dengan pelajar jenis soalan serta topik yang perlu diberi perhatian," katanya yang digelar guru pakar dan sering diundang sebagai penceramah serta tutor peribadi di seluruh negara.
Zulkifli yang juga bapa kepada dua anak itu berkata, inisiatifnya menjadi calon peperiksaan bukan saja mendapat sokongan keluarga tetapi pengurusan sekolah.
"Alhamdulillah, semua pihak memberi sokongan malah pelajar turut teruja setiap kali saya bersama menduduki peperiksaan di dalam dewan dengan mereka.
"Walaupun seorang guru, tiada layanan istimewa diberikan kerana tetap perlu mengikut peraturan sama seperti calon lain," katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pentadbiran Awam lulusan, Universiti Malaya (UM).

HARIAN METRO ONLINE

No comments:

Post a Comment