Wednesday 15 July 2020

NUTP GESA WAJIBKAN PELAKSANAAN PROGRAM OSH DI SEKOLAH

Presiden NUTP, Aminuddin Awang. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Presiden NUTP, Aminuddin Awang.
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa supaya pelaksanaan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) diwajibkan di setiap sekolah.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang, berkata sudah tiba masanya langkah itu diambil untuk memberi kesedaran kepada guru bahawa setiap aktiviti yang dilakukan ada bahaya dan risiko.
Melalui Program OSH di tempat kerja, beliau berkata, setiap aktiviti berisiko tinggi seperti bekerja di tempat tinggi melebihi tiga meter yang tepinya terbuka, wajib dimulakan dengan pengeluaran dan kelulusan Permit Bekerja di Tempat Tinggi.
Katanya, pengeluar dan penerima permit itu wajib memastikan sebarang bahaya jatuh dari tempat tinggi, dihapuskan atau dikawal terlebih dahulu sebelum kerja berkenaan dibenarkan.
"Selain itu, setiap sekolah yang ada 40 atau lebih pekerja, wajib menubuhkan jawatankuasa OSH dan membuat pemeriksaan OSH setiap tiga bulan, sekali gus membentangkannya dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang juga wajib diadakan setiap tiga bulan.
"Ini disebutkan bawah Seksyen 30 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 di mana penaltinya ialah RM5,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali terhadap majikan, jika sabit kesalahan.
"Namun, sekolah tiada diberi bimbingan ke arah itu. Justeru, sudah tiba masanya kerajaan memulakan langkah ke arah usaha berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aminuddin memaklumkan bahawa pada September tahun lalu, Pekeliling 03/2019 daripada Ketua Setiausaha Negara mengehendaki setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan melaksanakan Program OSH.
"Arahan ini tidak sampai ke peringkat sekolah untuk dilaksanakan kerana sekolah hanya akan melaksanakan sesuatu yang diarahkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)," katanya.
Beliau sekali gus memberikan contoh insiden guru, Rosli Abdul Aziz, maut selepas terjatuh dari balkoni tingkat satu bangunan sekolahnya, semalam, ketika melakukan persiapan akhir menjelang pembukaan semula sekolah pada hari ini.
Katanya, tragedi itu menunjukkan betapa penting untuk melaksanakan Program OSH di sekolah.
"Cikgu Rosli ialah contoh seorang guru yang bertanggungjawab dan komited dalam memastikan anak muridnya mendapat perkhidmatan terbaik," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment