Wednesday 22 July 2020

PENDIDIKAN RUKUN NEGARA DITERAPKAN DI SEKOLAH

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique.
KUALA LUMPUR: Pendidikan rukun negara akan diserapkan semula dalam kurikulum sekolah, selari usaha kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan antara rakyat.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique, ketika mengumumkan perancangan itu berkata langkah itu sedang diteliti bersama dengan Kementerian Pendidikan.
"Kalau dulu kita ada pendidikan sivik, masa saya dulu ada pendidikan tata negara, kita nak masukkan balik supaya dapat dipertimbangkan, terutama daripada Kementerian Pendidikan.
"Kita nak serapkan balik pendidikan ini (Rukun Negara) di sekolah rendah dan menengah, selain aktiviti sekretariat Rukun Negara bersama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) mengenai sama ada pendidikan sivik yang pelaksanaannya ditangguhkan pada 2003 akan dikembalikan dalam kurikulum pengajian di sekolah.
Kepada soalan tambahan Datuk Seri Rohani Karim (GPS-Batang Lupar) berhubung perancangan kerajaan untuk mengekalkan status Kuching sebagai bandar raya perpaduan, Halimah berkata, pencapaian yang dilakar pada 1 Ogos 2015 itu akan dijadikan penanda aras terhadap usaha selanjutnya.
"Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tentukan 148 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, termasuk enam hibrid, bermaksud 154 PBT dalam mewujudkan program secara bersama.
"Menerusi pendekatan ini, lebih banyak lagi bandaraya perpaduan berupaya 'dilahirkan' pada masa akan datang," katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai langkah penguatkuasaan bagi mengekang perbuatan mencetuskan provokasi dengan memanipulasi isu perkauman dan agama, Halimah berkata kerajaan mempunyai peruntukan perundangan berkaitan untuk mengawal polemik sedemikian.
Bagaimanapun, katanya, kaedah lebih 'lembut' akan diberi keutamaan untuk menyemarakkan perpaduan, berbanding menggunakan kaedah punitif menerusi undang-undang sedia ada.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment