Thursday, 16 July 2020

TIADA PERANTI SUKARKAN PEMBELAJARAN DALAM TALIAN

Gambar fail Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Md Jidin.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Md Jidin.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati sebahagian besar murid tidak dapat mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian dengan berkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tidak memiliki peranti bersesuaian.
Dalam kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajaran Secara dalam Talian (Online Learning) membabitkan 670,118 responden merangkumi ibu bapa kepada 893,331 murid, KPM mendapati 36.9 peratus murid tidak mempunyai peranti bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Md Jidin, berkata dapatan kajian menunjukkan enam peratus murid memiliki komputer peribadi, 9.3 peratus murid memiliki komputer riba, 5.8 peratus murid memiliki tablet dan 46.5 peratus murid memiliki telefon pintar.
"Ada murid memiliki lebih daripada satu peranti bagi kegunaan pembelajaran secara dalam talian," katanya dalam jawapan bertulis kepada Larry Soon (PH-Julau) di Dewan Rakyat, semalam.

Radzi berkata, kajian dijalankan bermula 28 Mac hingga 2 April lalu.
Pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian adalah sesuatu yang baharu untuk kebanyakan guru, murid dan ibu bapa serta memerlukan masa untuk mereka menyesuaikan diri. - NSTP/Fathil Asri
Pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian adalah sesuatu yang baharu untuk kebanyakan guru, murid dan ibu bapa serta memerlukan masa untuk mereka menyesuaikan diri. 
Mengulas lanjut, beliau berkata, ia adalah satu cabaran besar kerana pembelajaran tidak dapat berlaku secara menyeluruh dan seragam kepada semua murid.
Selain itu, katanya, pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian adalah sesuatu yang baharu untuk kebanyakan guru, murid dan ibu bapa serta memerlukan masa untuk mereka menyesuaikan diri.
"Bagi membantu kumpulan murid yang tidak mempunyai akses kepada talian internet dan alat peranti yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian, Home-based Learning turut dilaksanakan melalui siaran TV Pendidikan.
"Siaran dilaksanakan melalui saluran TV Okey dan saluran Tutor TV Astro di saluran 601 dan 603. Bagi murid yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman khususnya, guru melaksanakan PdP melalui serahan bahan pembelajaran kepada murid," katanya.
Menjawab soalan William Leong (PH-Selayang), Radzi berkata, kerajaan tidak merancang untuk mengembalikan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) buat masa ini.
Leong meminta Menteri Pendidikan memberi sebab untuk melaksanakan semula PPSMI dan apakah penambahbaikan yang akan dibuat untuk mengatasi kelemahan ketika ia pertama kali dilaksanakan.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment