Proses PdP dilaksanakan secara dalam talian dengan menggunakan pelbagai aplikasi tersedia.
JIKA dahulu, peranti telekomunikasi seperti telefon pintar dan gajet dilarang untuk dibawa ke sekolah. Kini, perkara sebaliknya berlaku apabila dunia pendidikan perlu diakses secara dalam talian dan kelas boleh dilaksanakan di mana-mana tempat yang mempunyai capaian internet.
Krisis global akibat penularan wabak COVID-19 bukan sahaja menyebabkan pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka tertangguh, bahkan menjadikan tugasan guru semakin mencabar apabila perlu menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu.
Ia menuntut proses PdP dilaksanakan secara dalam talian dengan menggunakan pelbagai aplikasi tersedia. Contohnya WhatApps, Zoom dan Cisco Webex.
Mengambil kira konteks pendidikan masa kini, ia memerlukan guru untuk memiliki tahap literasi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
Bertemakan 'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu' sambutan Hari Guru tahun ini menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu dan modal insan berguna untuk memajukan negara yang lebih aman dan sejahtera pada masa akan datang.
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu, sebelum dilanjutkan ke beberapa fasa sehingga kini memasuki pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), guru tidak duduk diam.
Sebaliknya, mereka terus mencurah ilmu menerusi PdP dalam talian. Oleh itu, guru perlu lebih mendalami ilmu teknologi yang baharu dengan menggunakan cara lebih efektif untuk berkomunikasi dengan pelajar.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berpendapat warga pendidik, khususnya guru, perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan mengenai penguasaan dalam teknologi digital yang baharu dan menguasai ilmu berkaitan e-pembelajaran supaya lebih senang untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar.
Kesiapsiagaan ini akan dapat dilihat perubahannya dari aspek pengajaran, pentaksiran dan penyampaian ilmu yang mencabar tugas keguruan.
Perkara yang paling penting ialah kita perlu memastikan pelajar tidak hilang semangat untuk menimba ilmu dan guru juga tidak hilang semangat untuk menyampaikan ilmu.
Kepada semua guru di Malaysia, meskipun tiada sorak sorai dan kegirangan anak murid serta pelajar meraikan Hari Guru di sekolah kali ini, penghayatan bagi menghargai pengorbanan guru dalam mendidik, membimbing serta membentuk anak bangsa pastinya sentiasa tersemat di hati setiap orang.
Jasa insan bergelar pendidik ini amat besar dan setiap orang menginsafi hakikat bahawa kehadiran guru dalam kehidupan banyak membentuk keperibadian dan keterampilan seseorang untuk menjadi manusia berguna.
Ong Yao Ping,
Universiti Utara Malaysia
Universiti Utara Malaysia
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment