Monday 20 July 2020

SELESAIKAN ISU JURANG CAPAIAN INTERNET ANTARA SEKOLAH

Foto BERNAMA
Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian dan teknologi digital dalam bidang pendidikan perlu diperkemaskan, terutama dari segi capaian internet.
Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) berkata ketika lebih 10,000 sekolah ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, lebih lima juta pelajar sekolah rendah dan menengah tidak dapat ke sekolah, justeru ada antara mereka yang mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
Bagaimanapun katanya, kaedah itu hanya dapat dilaksanakan di sesetengah kawasan yang tidak mempunyai masalah internet.
"Dalam negara kita, ada empat kluster pendidikan iaitu pelajar di bandar, separa bandar, luar bandar dan pedalaman, yang mana bukan hanya di Sabah di Sarawak, tetapi juga kawasan di Semenanjung.
"Salah satu usaha berterusan adalah mempertingkatkan kebolehcapaian internet, bukan hanya dari zaman Barisan Nasional (BN) tapi juga di zaman Pakatan Harapan (PH).
Sekarang ini, saya amat yakin kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha mempertingkatkannya.
"Jadi, saya minta jawapan daripada Menteri Pendidikan dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, sejauh mana capaian (internet) dan apakah usaha untuk memberi capaian tertinggi, khususnya di luar bandar serta pedalaman untuk membolehkan ketika COVID-19 ini, anak-anak di rumah boleh berhubung dengan guru mereka.
"Saya pasti ada kawasan anak-anak di kampung dan pedalaman tidak dapat (berhubung) kerana masalah capaian internet ini," katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, Mahdzir turut meminta Kementerian Pendidikan mengkaji perkara berkaitan memberi kuasa autonomi kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk membuat keputusan, yang antara lain mengenai pentadbiran dan tenaga kerja yang perlu diputuskan segera.
Beliau mencadangkan penubuhan satu majlis membabitkan agensi di pelbagai kementerian supaya dapat sama-sama memainkan peranan dalam menawarkan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula kepada rakyat yang terjejas akibat COVID-19.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment