Tuesday 14 July 2020

LAPORAN KETUA AUDIT 2018: BAHAN KERING DI ASRAMA LEPAS TARIKH LUPUT LEBIH SETAHUN

Penolong Pengarah Audit, Jabatan Audit Negara, Rosliza Razi bersama Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Penolong Pengarah Audit, Jabatan Audit Negara, Rosliza Razi bersama Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 di Putrajaya.
KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 mendedahkan sejumlah bahan makanan kering di beberapa sekolah berasrama, sudah melepasi tarikh luput sehingga lebih setahun.
Menurut laporan itu, sebanyak 28 bahan kering di 13 sekolah berasrama didapati tidak mempunyai tarikh luput, atau sudah luput antara satu hingga 427 hari.


"Ini disebabkan tiada pemeriksaan dibuat oleh kontraktor dan Penyelia Asrama terhadap tarikh luput stok bahan dan kaedah pengeluaran stok oleh kontraktor yang tidak menggunakan konsep 'First In First Out' (FIFO).
"Keadaan ini boleh menyebabkan risiko keracunan makanan kepada murid," jelas laporan itu yang diterbitkan hari ini.
Selain itu, laporan itu turut mendedahkan bahan kering di 30 daripada 42 sekolah yang diaudit, tidak mempunyai logo halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), atau langsung tidak memiliki logo halal.
Perkara itu bertentangan dengan Pekeliling Persijilan Halal Malaysia Bil 2 Tahun 2014 – Pelaksanaan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Semakan Ketiga) 2014 dikeluarkan JAKIM, yang menetapkan Logo Halal Malaysia perlu dicetak atau ditampal dengan terang pada setiap produk, serta menepati spesifikasi yang ditetapkan.
"Hal ini disebabkan kurang kepekaan pihak sekolah dan kontraktor dalam memastikan setiap bahan kering mempunyai logo halal yang diiktiraf JAKIM.
"Penggunaan logo halal penting bagi memastikan produk berkenaan adalah selamat, bersih dan suci," jelas laporan itu.
Dalam maklum balasnya kepada Jabatan Audit Negara, Kementerian Pendidikan memaklumkan sebanyak 12 lawatan pematuhan ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) membabitkan 284 premis sudah dilakukan.
Selain itu, kementerian juga sudah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada 42 sekolah pada hujung September tahun lalu atas ketidakpatuhan kontrak, selain surat peringatan kepada JKN berhubung pematuhan pengurusan kontrak.
Bagaimanapun, laporan audit menegaskan ketidakpatuhan syarat kontrak dalam pelaksanaan program Bekalan Makanan Bermasak (BMB) berpunca daripada kelemahan pemantauan di peringkat kementerian, JPN, sekolah serta Penyelia Asrama.
"Keadaan ini juga memberi kesan pada kualiti dan nutrisi makanan yang diterima murid di asrama," jelas laporan itu.
Sehubungan itu, LKAN mencadangkan kementerian mengadakan pemantauan berkala terhadap pengurusan asrama supaya lebih cekap dalam memantau pelaksanaan perkhidmatan BMB.
"(Pemantauan itu) supaya kuantiti, kualiti, spesifikasi makanan yang sepatutnya, kebersihan, keselamatan dan perkhidmatan pekerja perlu ditekankan.
"Penyeliaan dan penguatkuasaan juga perlu ditingkatkan oleh Kementerian Pendidikan, JPN/Bahagian dan sekolah bagi memastikan syarat kontrak dipatuhi sepenuhnya oleh kontraktor dan mengambil tindakan tegas pada kontraktor yang gagal mematuhi syarat kontrak," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment