Tuesday 21 July 2020

PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH DIDAKWA RASUAH

SEREMBAN: Seorang pegawai pendidikan daerah (PPD) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini, atas tuduhan menerima wang tunai RM6,000 dalam urusan pemilihan pembekal dan penyediaan makanan daripada seorang kontraktor pada 2016.
Tertuduh, Faridah Din, 54, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan itu dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Madihah Harullah.
Berdasarkan pertuduhan, Faridah pada jam 7.15 malam 6 April 2016 di sebuah restoran di Sikamat, Seremban, yang bertugas di Institut Perguruan Kampus Raja Melewar (IPGKRM) Seremban sebagai penyelaras Program Transformasi Minda anjuran IPGKRM pada 14 Mac 2016 hingga 18 Mac 2016, menerima wang tunai berjumlah RM6,000 daripada kontraktor, Zainal Abidin Abdul Wahab, yang juga pemilik syarikat Mas Zee Enterprise.
Tertuduh mengetahui bahawa Zainal mempunyai hubungan dengannya selaku penyelaras Program Transformasi Minda yang bertanggungjawab menguruskan hal berkaitan kerja pemilihan pembekal dan menyediakan makanan yang dianugerahkan kepada syarikat milik Zainal.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 165, Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Prosiding pendakwaan itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zainab Yahaya, memohon agar mahkamah mengenakan jaminan RM12,000 dengan syarat perlu melaporkan diri ke SPRM setiap bulan.
Tertuduh yang diwakili peguam bela, Datuk Hanif Hassan, memohon agar mahkamah mengenakan jaminan yang minimum, memandangkan tertuduh masih dalam perkhidmatan dan sepanjang tempoh sejak 2016, tertuduh akur kepada syarat yang dikenakan SPRM, walaupun tanpa jaminan wang dikenakan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dibenarkan ikat jamin RM8,000 dengan syarat perlu melaporkan diri kepada SPRM pada minggu pertama setiap bulan.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Ogos depan sebagai tarikh untuk sebutan semula kes itu.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment