Friday 10 July 2020

MAMPUKAH PEMBELAJARAN MAYA KEKAL PENGANTARABANGSAAN IPT?

FOTO hiasan.
Foto Hiasan
DASAR pendidikan tinggi Malaysia sejak 2007 menyediakan landasan untuk institusi pendidikan tinggi (IPT) negara menarik bakat antarabangsa ke Malaysia.
Inisiatif dilaksanakan dalam konteks pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia.
Secara umum, pengambilan akademik antarabangsa bertujuan melonjakkan kedudukan universiti dalam liga global penarafan universiti.
Akan tetapi, usaha untuk menarik bakat akademik khususnya dari negara maju ke Malaysia tidak berhasil.
Dalam hal ini, akademik antarabangsa dari negara membangun yang sudi berkhidmat di Malaysia bertugas sebagai 'work horse' untuk memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan, seperti penerbitan dalam jurnal Indeks Saintifik Antarabangsa (ISI) dan lain-lain.
Masyarakat dalam mahupun luar universiti melihat pembabitan akademik antarabangsa sebagai 'work horse' ini suatu yang tidak sihat dan akan memberi gambaran kurang baik terhadap sistem pengajian tinggi Malaysia.
Namun, jika dilihat dari sudut lain, terdapat suatu yang menarik dalam amalan merekrut pelajar luar negara yang berpotensi dan bergraduat di universiti tempatan untuk berkhidmat di Malaysia.
Dalam konteks kerjasama Selatan-Selatan, Malaysia memberi latihan kepada bakal akademik dari negara membangun seperti Nigeria, Bangladesh dan beberapa negara anggota Komanwel lain di Afrika.
Malah, Persidangan Menteri-Menteri Pendidikan Komanwel di Mauritius pada 2012 memberi mandat kepada Malaysia untuk berkongsi dengan negara membangun dalam rangka kerja itu mengenai pengalaman dan kejayaan dalam membangun sistem pendidikan tinggi yang mantap.
Sehubungan mandat ini, Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF) ditubuhkan di Malaysia, iaitu di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2013 untuk melaksanakan hasrat dan harapan murni ini.
Ramai pelajar lepasan ijazah doktor falsafah (PhD) yang berbakat dari Nigeria, Bangladesh direkrut sebagai tenaga akademik universiti di Malaysia. Ramai juga pulang ke negara asal dan mula berkhidmat di universiti di negara masing-masing.
Ada juga yang merantau jauh selaras dengan aspirasi yang lazim dikaitkan dengan hujah di sebalik mobiliti akademik antarabangsa. Mereka berbekalkan pendidikan dan pengalaman diperoleh di Malaysia.
Awal Mac lalu, CTEF dan Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) di USM mengendalikan bengkel dua hari berkaitan University Governance and Leadership di Kaduna State University (KASU) di Nigeria.
Bengkel ini diadakan atas jemputan KASU dan membabitkan 60 pengurusan tertinggi dan ahli akademik KASU serta pegawai utama agensi seperti National Universities Commission, Nigeria.
Dalam kalangan peserta, beberapa orang mendapat ijazah tinggi dari universiti awam di Malaysia. Ada yang berkhidmat di universiti di Malaysia selepas berijazah.
Ketika bengkel, mereka yang mendapat pendidikan dan pernah berkhidmat di Malaysia berinteraksi dan berhujah dengan matang.
Mereka mengutamakan adab dan lebih tertib dalam berhujah. Setiap pernyataan pemudah cara mengenai sistem pendidikan tinggi di Malaysia disusuli dengan tanda persetujuan mereka yang memberangsangkan. Pendek kata, mereka adalah duta Malaysia yang amat berkesan di Nigeria.
Universiti di Malaysia adalah batu loncatan bagi akademik luar negara yang berasal dari negara membangun, tetapi ini suatu yang menguntungkan Malaysia.
Pengantarabangsaan bukan merujuk kepada penerbitan jurnal ISI, Scopus dan penyelidikan bertaraf tinggi sahaja. Jangkauan dan liputan pengantarabangsaan lebih luas daripada itu.
Pengalaman dan nostalgia mereka yang pernah belajar seterusnya bekerja di Malaysia adalah suatu petanda positif dan bermakna kepada akademik dan institusi pendidikan tinggi Malaysia.
Hal ini kerana proses pendidikan dan penyeliaan dilaksanakan secara bersemuka. Justeru, apakah pembelajaran dan penyeliaan secara maya pasca COVID-19 ini akan membentuk pola nostalgia yang berbeza mengenai pendidikan di Malaysia?
Apakah bentuk layanan Malaysia kepada pelajar antarabangsa di negara ini ketika pandemik akan mengalih pandangan pelajar dan bakal akademik negara membangun, khususnya daripada Komanwel ke negara lain?
Hasil kajian mengenai hal ini boleh menjadi panduan dalam membentuk dasar pengantarabangsaan Malaysia pasca COVID-19.
Prof Datuk Dr Morshidi Sirat 
Penasihat Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) dan Pengarah Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF)

BERITA  HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment