Sunday, 26 July 2020

ADA SEKOLAH BERDEPAN MASALAH LAKSANAKAN SOP - NUTP

AMINUDDIN Awang. - Foto/NSTP
AMINUDDIN Awang. 
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) tidak menolak kemungkinan terdapat sekolah dan guru berdepan masalah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) terutama membabitkan murid sekolah rendah.
Presidennya, Aminuddin Awang, berkata sekolah baru dibuka sepenuhnya, 22 julai lalu dan mungkin boleh menyukarkan
operasi dan penjarakan sosial seperti mempunyai ruang terhad dan jumlah murid yang ramai.
"Sekolah baru dibuka tiga hari lalu dan kita boleh nampak ada sedikit masalah terutama bagi menguruskan murid Tahun 1, 2 dan 3.
"Mungkin juga ada sedikit masalah dari sudut operasi, bagaimana pihak guru menguruskan sesi menyukat suhu.
"Ini berikutan ada sekolah terletak di tepi jalan dan dengan jumlah pelajar yang ramai tidak ada ruang cukup bagi penjarakan sosial dan pihak kami sedar masalah itu," katanya kepada BH, hari ini.
Aminuddin berkata, bagaimanapun, pihaknya melihat guru menunjukkan komitmen tinggi bagi memastikan murid patuh kepada SOP.
"Setakat ini, NUTP tidak menerima rungutan guru dan belum ada aduan. Semua aspek dilihat lancar sejak pembukaan semula sekolah sepenuhnya, cuma ibu bapa perlu menunjukkan teladan dengan menjaga penjarakan sosial supaya pematuhan ini diteruskan di luar sekolah," katanya.
Beliau berkata, setakat ini model penggiliran dua sesi juga tidak dilihat memberikan masalah besar atau membebankan guru.
"Maklumat dari pihak Kementerian Pendidikan (KPM), majoriti sekolah beroperasi satu sesi.
"Setakat ini, tiada halangan dari segi operasi kerana tidak banyak sekolah menggunakan sistem penggiliran ini. Cuma 57 sekolah melaksanakannya bagi memastikan penjarakan sosial berlaku," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, tidak sepatutnya timbul isu mengenai bekalan penyukat suhu tidak mencukupi di sekolah kerana KPM menyediakan peruntukan bagi pembelian peranti itu.
"KPM sudah memberikan peruntukan bagi penyukat suhu di atas nisbah, satu alat untuk 50 orang murid.
"Sepatutnya tidak ada isu kerana semua sekolah dapat (peruntukkan) dan membelinya untuk kegunaan di sekolah," katanya.
Beliau turut mengulas kemungkinan berlaku ketidakpatuhan SOP peniaga yang menjual makanan di luar pagar sekolah.
"Penjaja dilarang menjual dalam lingkungan jarak 40 meter dari pagar sekolah. Jadi, dalam hal ini, bagi peniaga yang menjual makanan dalam jarak berkenaan, di luar radar sekolah.
"Pematuhan SOP sudah luar daripada kawalan guru dan kuasa pihak sekolah. Pihak berkuasa tempatan (PBT) berperanan memastikan pematuhan SOP itu," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment