Thursday 9 July 2020

KEMENTERIAN, UA DIMINTA PERKENAL MODUL RASUAH

Kementerian dan pihak Universiti Awam (UA) diharap dapat memperkenalkan modul antirasuah dan integriti sebagai usaha menyekat peningkatan trend kesalahan itu dalam kalangan bawah 40 tahun.Kementerian dan pihak Universiti Awam (UA) diharap dapat memperkenalkan modul antirasuah dan integriti sebagai usaha menyekat peningkatan trend kesalahan itu dalam kalangan bawah 40 tahun. ARKIB NSTP
PUTRAJAYA: Kementerian dan pihak Universiti Awam (UA) diharap dapat memperkenalkan modul antirasuah dan integriti sebagai usaha menyekat peningkatan trend kesalahan itu dalam kalangan bawah 40 tahun.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, berkata modul berkenaan adalah sebagai persediaan kepada golongan muda supaya mereka lebih memahami dan bersedia apabila berada dalam dunia sebenar.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya, dengan adanya modul sedemikian budaya menolak rasuah dalam masyarakat Malaysia dapat ditanam dan diterapkan.
"Melalui Pelan Antirasuah Nasional itu, kita harap semua kementerian dan agensi kerajaan sama-sama memainkan peranan membendung rasuah dalam negara kita ini.
"SPRM sememangnya menjalankan usaha dari masa ke semasa untuk mendidik masyarakat membenci rasuah seperti kehendak Seksyen 7, Akta kita, bagi mendapatkan sokongan masyarakat untuk sama-sama membanteras rasuah," katanya ketika ditemubual stesen radio MACC.fm yang disiarkan secara langsung melalui laman sosial Facebook, pagi ini.
Shamshun berkata, SPRM kini bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memasukkan elemen antirasuah sama ada di sekolah mahu pun universiti.
Katanya, beliau difahamkan ketika ini, sudah ada elemen antirasuah dimasukkan dalam modul di sekolah rendah dan sekolah menengah iaitu sehingga tingkatan dua, selain berharap ia dapat diteruskan sehingga ke tingkatan lima dan enam.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah menjalankan projek rintis dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mewujudkan satu subjek khusus mengenai integriti dan rasuah selain kini dikembangkan ke Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
"Amat penting untuk kita mendedahkan pelajar ini terhadap isu integriti dan rasuah kerana antara faktor kita lihat trend pesalah rasuah majoriti membabitkan mereka yang muda, iaitu 40 tahun ke bawah.
"Sebab itu perkara ini perlu kita semaikan di peringkat awal lagi supaya pada masa hadapan budaya mengatakan tidak kepada rasuah dapat kita terapkan kepada seluruh rakyat Malaysia, dan tidak berkompromi dengan isu berkaitan dengan rasuah," katanya.
Pada masa sama, Shamshun berkata, beliau juga berharap Modul Pengurusan Integriti yang sudah ada sejak 1999, dapat dilihat semula supaya penjawat awam diwajibkan menghadiri kursus berkaitan integriti serta antirasuah sepanjang kerjaya mereka.
Ia berikutan, kajian SPRM juga mendapati, daripada 4,654 yang ditahan kerana kesalahan rasuah antara 2015 hingga 2019, sebanyak 47.6 peratus atau 2,217 membabitkan penjawat awam.
Beliau berkata, 70 peratus daripada jumlah berkenaan membabitkan kesalahan meminta dan menerima rasuah, juga membabitkan penjawat awam.
"Jika kita lihat tahun lalu, daripada seramai 1,101 orang yang ditahan, 525 terdiri daripada penjawat awam. Kalau kita lihat pula, 60 peratus membabitkan kesalahan menerima dan meminta wang rasuah.
"Ia diikuti dengan kesalahan tuntutan palsu iaitu kira-kira 27 peratus. Masyarakat mungkin berkata, kenapa SPRM memberi tumpuan kepada penjawat awam saja, tetapi kita kena ingat sejarah penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 1967 dulu memang fokus menangani isu rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam," katanya.
Bagaimanapun Shamshun berkata, ia tidak bermakna kesalahan rasuah tidak berlaku dalam kalangan pihak swasta dan orang awam.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment