Sunday, 23 August 2020

KAEDAH PENTAKSIRAN BAHARU MASUK SEKOLAH KHUSUS

KPM akan memperkenalkan kaedah pentaksiran baharu bagi tujuan kemasukan murid ke Sekolah Khusus. - Foto hiasan
KPM akan memperkenalkan kaedah pentaksiran baharu bagi tujuan kemasukan murid ke Sekolah Khusus.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan kaedah pentaksiran baharu bagi tujuan kemasukan murid ke Sekolah Khusus.
Sekolah Khusus terbabit adalah Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) untuk sesi pengajian tahun depan.
KPM dalam kenyataan hari ini menyebut ia membangunkan satu sistem permohonan kemasukan murid Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ke Sekolah Khusus menerusi saluran kemasukan berpusat.
Sistem ini membabitkan permohonan secara berpusat dan juga kaedah pentaksiran standard secara berpusat.
"Permohonan kemasukan ke Sekolah Khusus ini membabitkan Sekolah Berasrama Penuh (Tingkat Satu dan Empat), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Tingkatan Satu dan Empat), Sekolah Menengah Teknik (Tingkat Empat), Kolej Vokasional (Tahun Satu Sijil Vokasional Malaysia (SVM)) dan Maktab Tentera Diraja (Tingkatan Empat," kata kenyataan itu.
KPM memaklumkan permohonan untuk kemasukan ke Tingkatan Satu boleh diakses melalui pautan https//:spskt1.moe.gov.my dan permohonan ke Tingkatan Empat pula melalui pautan https//:spskt4.moe.gov.my.
Sehubungan itu, semua pemohon akan menduduki pentaksiran secara berpusat di 555 pusat pentaksiran yang ditetapkan di seluruh negara.
KPM menetapkan permohonan dalam talian bermula 7 September hingga 2 Oktober depan, masing-masing membabitkan Tingkatan Satu, Tingkat Empat dan Tahun Satu SVM.
Semakan pusat pentaksiran bagi Tingkatan Satu pula pada 7 hingga 23 Oktober depan. Bagi Tingkat Empat dan Tahun Satu SVM bermula 12 Oktober hingga 6 November depan.
Untuk pelaksanaan pentaksiran, ia bermula pada 12 hingga 23 Oktober depan bagi Tingkatan Satu dan 26 Oktober hingga 6 November membabitkan Tingkatan Empat serta Tahun Satu SVM.
"Untuk makluman, pentaksiran kemasukan Sekolah Khusus yang akan dilaksanakan ini merangkumi tiga bahagian iaitu Kecerdasan Insaniah (20 peratus), Kecerdasan Intelektual (70 peratus) dan Artikulasi Penulisan (10 peratus).
"Kaedah pelaksanaan Ujian Kecerdasan Insaniah dan Kecerdasan Intelektual adalah secara dalam talian, manakala kaedah pelaksanaan ujian Artikulasi Penulisan adalah secara bertulis.
"Maklumat lanjut berhubung pentaksiran ini akan dimaklumkan melalui portal KPM pada 1 September 2020," kata kementerian itu.
BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 22 August 2020

PERLIS SESUAI DIBANGUNKAN SEBAGAI HAB PENDIDIKAN - KSU



Datuk Yusran Shah Mohd Yusof

ARAU, 22 Ogos (Bernama) – Suasana negeri  Perlis yang aman, tenang dan tidak sibuk sesuai dibangunkan sebagai hab pendidikan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Beliau berkata perkara itu bukan sahaja akan memberi kesan positif dari segi pendidikan malah juga dari aspek ekonomi negeri.

Beliau berkata demikian kepada Bernama sebelum menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau di sini, hari ini. Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Dalam perkembangan lain, Yusran berkata projek pembinaan Sekolah Sukan  Perlis di Padang Besar yang terbengkalai sejak lapan tahun lalu dijangka siap akhir tahun ini.

“Selepas lantikan kontrator baharu, kerja-kerja pembaikan dan pembinaan telah siap sebanyak 92 peratus  walaupun tertangguh hampir tiga bulan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini,” katanya.


BERNAMA ONLINE

KREATIVITI PELAJAR ISTIMEWA SK GEMEREH SEMARAKKAN MERDEKA

Guru Besar SK Gemereh, Abdul Rahman Ibas (baju melayu tengah) bersama pelajar orang kurang upaya (OKU) menghasilkan pelbagai kreativiti dari Jalur Gemilang di kelas Pendidikan Khas. - Foto Ahmad Ismail
Guru Besar SK Gemereh, Abdul Rahman Ibas (baju melayu tengah) bersama pelajar orang kurang upaya (OKU) menghasilkan pelbagai kreativiti dari Jalur Gemilang di kelas Pendidikan Khas.
SEGAMAT: Pelajar istimewa kelas Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Gemereh, di sini, menunjukkan daya kreativiti masing-masing dengan menghasilkan pelbagai gubahan berasaskan warna Jalur Gemilang.
Antara gubahan hasil yang dihasilkan termasuk skaf rambut, tanjak, sampin, jaket dan pakaian.
Guru Besar SK Gemereh, Abdul Rahman Ibas berkata, pihak sekolah kagum dengan hasil kreativiti dan bakar pelajar istimewa berkenaan.
"Guru pembimbing hanya memaklumkan garis panduan kasar kepada pelajar projek gubahan Jalur Gemilang bersempena dengan sambutan kemerdekaan tahun ini," katanya, di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata, seramai 12 pelajar lelaki dan empat orang pelajar perempuan berumur antara tujuh sehingga 14 tahun itu adalah pelajar di bawah kategori masalah pembelajaran, autism, down sindrom, terencat akal ringan dan hiper aktif.
"Projek ini antara usaha pihak sekolah untuk memupuk kesedaran pelajar dan mengajak mereka menzahirkan rasa cinta terhadap negara melalui hasil seni tangan.
"Sempena sambutan hari kemerdekaan, setiap pelajar melaksanakan pelbagai kreativiti bebas menzahirkan semangat patriotik,"katanya.
Beliau juga berkata, bagi tujuan itu, pihak sekolah turut memberi kebebasan dan kelainan serta idea menghasilkan kraftangan seni menggunakan Jalur Gemilang kepada pelajar.
"Sebahagian Jalur Gemilang itu daripada sumbangan, guru, pelajar dan ibu bapa pelajar selain Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG).
"Walaupun projek ini membabitkan anak istimewa, semua yang dirancang berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah di sebalik pelajar yang bukan istimewa belum tentu mampu melakukannya.
"Pelajar terbabit memberi kerjasama baik tanpa perlu dibantu sepanjang masa.
"Pelajar mampu menyiapkan semua hasil seni berkenaan tidak sampai 24 jam. Walaupun mereka tidak dapat meluahkan rasa sayang dan cinta kepada negara menerusi tutur kata tetapi mampu menzahirkan dengan kreativiti idea.
Kelas Pendidikan Khas SK Gemereh Segamat mula ditubuhkan pada tahun 2013 dan kini mempunyai empat orang guru pembimbing dan pembantu pelajar.
BERITA HARIAN ONLINE

TEKNOLOGI DIGITAL AKSES PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA

Pandemik COVID-19 mengakibatkan gangguan terhebat yang pernah diperhatikan terhadap dunia pendidikan.
Pada kemuncak serangan virus itu, anggaran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melaporkan bahawa 90 peratus pelajar seluruh dunia terkesan akibat penutupan sekolah.
Pada Mac tahun ini sahaja, penggunaan Google Classroom meningkat dua kali ganda daripada 50 juta kepada 100 juta secara global.
Di Malaysia, penutupan sekolah turut dilaksanakan. Namun, COVID-19 juga mencipta peluang untuk menilai kembali di samping meneroka bagaimana kita boleh menggunakan teknologi untuk menjadikan sistem pendidikan kita lebih mudah diakses, adil, fleksibel dan kukuh.
Hampir dalam sekelip mata, pihak sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar di Malaysia terpaksa menyesuaikan diri terhadap cara pembelajaran dan kebergantungan teknologi pada sesuatu tahap tertentu yang sebelum ini tidak pernah kita alami.
Namun, Malaysia menyahut dengan kebingkasan dan keazaman. Jika berpandangan jauh, kita seharusnya mengambil peluang ini untuk belajar daripada pengalaman terbabit dan menangani cabaran pendidikan yang akan kita hadapi walaupun selepas tamat pandemik ini, terutama cabaran untuk memastikan lebih ramai belia kita mempunyai akses kepada pendidikan bertaraf dunia.
Pada 12 Ogos lalu, Google menganjurkan acara maya global - The Anywhere School - dengan guru, pemimpin sekolah, jabatan pendidikan, perniagaan dan organisasi bukan berasaskan keuntungan membincangkan peranan teknologi dalam masa hadapan pendidikan.
Kami berbesar hati atas peluang berkongsi kisah negara ini dengan kerjasama rakan kami daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Malaysia mampu membentuk perbahasan global ini. Untuk berbuat demikian dan membantu menjadi pemandu sistem pendidikan pasca COVID-19, kita harus menumpukan perhatian kepada tiga keutamaan kritikal dalam sistem pendidikan kita.
Pertama, pihak kerajaan dan syarikat teknologi boleh dan seharusnya bekerjasama dalam menyampaikan teknologi kepada lebih ramai pelajar daripada golongan yang amat memerlukannya.
Pada peringkat tempatan pula, kami menyediakan lima juta tempat buat Google Classroom dan G Suite for Education untuk 10,000 buah sekolah awam di Malaysia, manakala pihak Kementerian Pendidikan serta rakan industri bekerjasama untuk memastikan ketersambungan untuk semua itu menjadi satu kenyataan.
Kedua, kita harus menjadikan kemahiran teknologi dan digital sebagai asas bagi sokongan serta latihan yang diberikan kepada guru.
Kumpulan Google Educators Group kami sangat aktif di Malaysia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kami teruja untuk meraikan 5,000 penerima pertama daripada program pensijilan guru Google yang akan dianjurkan pada minggu-minggu akan datang.
Ketiga, semua sekolah harus dilengkapi dengan sistem teknologi yang cukup kuat untuk disesuaikan ketika krisis seperti sebuah pandemik, tetapi masih mampu memberikan faedah kepada guru dan pelajar secara lebih meluas melalui latihan dan tunjuk ajar yang sepatutnya.
Inisiatif pembelajaran hibrid DELIMa diterajui Kementerian Pendidikan - yang disertai Google dengan bangganya -- membuktikan kesediaan seluruh Malaysia untuk memikirkan semula sistem pendidikan awam demi norma baharu.
Kita mungkin tidak akan melihat lagi bagaimana hampir semua pelajar Malaysia terpaksa belajar di rumah sebagaimana ketika sekatan pergerakan COVID-19.
Tetapi, kita kini tahu bahawa fleksibiliti yang ditawarkan pendidikan jarak jauh adalah berguna buat banyak keluarga dan pelajar yang sebelum ini tidak mempunyai pilihan dalam menggunakannya, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman mahupun yang tidak selalunya mempunyai pengangkutan ke sekolah.
Mungkin masih terlalu awal untuk mengetahui realiti masa hadapan pendidikan, namun ia jelas integrasi teknologi dan pembelajaran digital yang lebih mendalam mampu membantu menjadikan pendidikan lebih mudah diakses dan lebih saksama walaupun lama selepas berakhirnya COVID-19 nanti.
Usaha sama diperlukan untuk mencapai semua ini. Salah satu iktibar sekatan pergerakan COVID-19 adalah bagaimana tekanan pendidikan tidak boleh digalas hanya oleh pihak sekolah dan barisan guru Malaysia sahaja.
Cara pendidikan disediakan sangat mempengaruhi cara hidup, cara kerja dan cara kita membesarkan anak-anak.
Kita semua memainkan peranan dalam menyokong tugas adiwira barisan guru kita baik daripada pihak ibu bapa, ahli politik, peneraju perniagaan hinggalah ke syarikat teknologi.
Tiada tujuan yang lebih penting selain memastikan generasi seterusnya memperoleh pendidikan yang terbaik.
Teknologi tidak akan 'menyelesaikan' semua cabaran yang dihadapi sistem pendidikan kita, namun ia mampu menyediakan alat yang diperlukan guru, pelajar dan ibu bapa untuk terus maju dan membantu pembentukan masa hadapan pembelajaran yang lebih baik.
Dalam dunia pasca virus COVID-19 ini, Malaysia boleh dan seharusnya menjadi sebahagian daripada perubahan itu.
Marc Woo
Google Malaysia

BERITA HARIAN ONLINE