Saturday 22 August 2020

KREATIVITI PELAJAR ISTIMEWA SK GEMEREH SEMARAKKAN MERDEKA

Guru Besar SK Gemereh, Abdul Rahman Ibas (baju melayu tengah) bersama pelajar orang kurang upaya (OKU) menghasilkan pelbagai kreativiti dari Jalur Gemilang di kelas Pendidikan Khas. - Foto Ahmad Ismail
Guru Besar SK Gemereh, Abdul Rahman Ibas (baju melayu tengah) bersama pelajar orang kurang upaya (OKU) menghasilkan pelbagai kreativiti dari Jalur Gemilang di kelas Pendidikan Khas.
SEGAMAT: Pelajar istimewa kelas Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Gemereh, di sini, menunjukkan daya kreativiti masing-masing dengan menghasilkan pelbagai gubahan berasaskan warna Jalur Gemilang.
Antara gubahan hasil yang dihasilkan termasuk skaf rambut, tanjak, sampin, jaket dan pakaian.
Guru Besar SK Gemereh, Abdul Rahman Ibas berkata, pihak sekolah kagum dengan hasil kreativiti dan bakar pelajar istimewa berkenaan.
"Guru pembimbing hanya memaklumkan garis panduan kasar kepada pelajar projek gubahan Jalur Gemilang bersempena dengan sambutan kemerdekaan tahun ini," katanya, di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata, seramai 12 pelajar lelaki dan empat orang pelajar perempuan berumur antara tujuh sehingga 14 tahun itu adalah pelajar di bawah kategori masalah pembelajaran, autism, down sindrom, terencat akal ringan dan hiper aktif.
"Projek ini antara usaha pihak sekolah untuk memupuk kesedaran pelajar dan mengajak mereka menzahirkan rasa cinta terhadap negara melalui hasil seni tangan.
"Sempena sambutan hari kemerdekaan, setiap pelajar melaksanakan pelbagai kreativiti bebas menzahirkan semangat patriotik,"katanya.
Beliau juga berkata, bagi tujuan itu, pihak sekolah turut memberi kebebasan dan kelainan serta idea menghasilkan kraftangan seni menggunakan Jalur Gemilang kepada pelajar.
"Sebahagian Jalur Gemilang itu daripada sumbangan, guru, pelajar dan ibu bapa pelajar selain Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG).
"Walaupun projek ini membabitkan anak istimewa, semua yang dirancang berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah di sebalik pelajar yang bukan istimewa belum tentu mampu melakukannya.
"Pelajar terbabit memberi kerjasama baik tanpa perlu dibantu sepanjang masa.
"Pelajar mampu menyiapkan semua hasil seni berkenaan tidak sampai 24 jam. Walaupun mereka tidak dapat meluahkan rasa sayang dan cinta kepada negara menerusi tutur kata tetapi mampu menzahirkan dengan kreativiti idea.
Kelas Pendidikan Khas SK Gemereh Segamat mula ditubuhkan pada tahun 2013 dan kini mempunyai empat orang guru pembimbing dan pembantu pelajar.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment