Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim.
PUTRAJAYA: Kira-kira 400,000 pelajar dijangka memohon untuk menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) yang akan diadakan September hingga Oktober ini, bagi tujuan penempatan ke lima jenis sekolah khusus seluruh negara.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, berkata ia meliputi Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).
"Berdasarkan pengalaman sebelum ini, kita anggarkan kira-kira 200,000 pelajar akan memohon mendapatkan tempat bagi tingkatan satu dan 200,000 lagi untuk tempat di tingkatan empat. Namun, hanya 44,653 tempat keseluruhan disediakan.
"PKSK bagaimanapun tidak akan membabitkan kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kerana institusi itu mempunyai instrumen sendiri pemilihan murid iaitu Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM)," katanya ketika taklimat media mengenai PKSK di sini, hari ini.
Beliau berkata, untuk tidak mengelirukan ibu bapa dan orang awam, PKSK bukan bertujuan menggantikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)
Sebaliknya, katanya PKSK adalah mekanisme saringan pemilihan murid bagi memastikan mereka mempunyai ciri-ciri selaras matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), iaitu mengenal pasti potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu merangkumi kecerdasan intelek, emosi dan rohani.
Mengenai format PKSK, Habibah berkata pentaksiran dimulakan dua tahun lalu itu, kali ini diberi penambahbaikan dengan elemen artikulasi penulisan berbanding dua komponen sedia ada iaitu Kecerdasan Insaniah dan Kecerdasan Intelektual.
Mengulas lanjut, beliau komponen Kecerdasan Insaniah mencakupi elemen Kecerdasan Emosi (EQ), Kecerdasan Rohani (SQ) dan Kecerdasan Kemahiran Insaniah yang digunakan untuk mengenal pasti karakter murid, di mana murid perlu menjawab 30 item objektif bergred dengan wajaran skor 20 peratus.
Komponen Kecerdasan Intelek pula, katanya mencakupi elemen Kecerdasan Intelektual (IQ), Pengetahuan Am dan Penyelesaian Masalah yang digunakan untuk mengukur tahap kognitif murid, dengan murid perlu menjawab 70 item objektif aneka pilihan dengan wajaran skor 70 peratus.
"Elemen baharu iaitu Artikulasi Penulisan digunakan untuk mengenal pasti kebolehan percambahan idea dan tahap kreativiti serta kecenderungan dalam sesuatu bidang.
"Melaluinya, murid dikehendaki menulis karangan berdasarkan tajuk diberi. Panjang karangan sekurang-kurangnya 100 patah perkataan bagi kemasukan ke Tingkatan Satu dan sekurang-kurangnya 250 patah perkataan bagi kemasukan ke Tingkatan Empat dan murid diberi tempoh masa 45 minit dengan wajaran skor 10 peratus," katanya.
Mengulas komponen Artikulasi Penulisan, katanya ia perlu diselesaikan dalam fasa 1 pentaksiran itu, manakala dua lagi komponen dijawab pada fasa dua dalam satu sesi mengikut tarikh, tempat dan masa ditetapkan.
Habibah berkata, walaupun komponen Artikulasi Penulisan dijawab dalam bahasa Melayu, ujian dalam komponen Kecerdasan Intelek akan turut membabitkan elemen bahasa Inggeris dan sains.
"Murid yang melepasi pentaksiran akan dipilih mengikut jenis sekolah pilihan masing-masing, namun bagi sekolah aliran tertentu seperti SMKA, pelajar mungkin akan penilaian lain mengikut keperluan spesifik institusi terbabit," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment