KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) --
Penyediaan Laporan Akhir kehilangan aset alih mencecah RM400,000 di Kementerian
Pendidikan, lewat dikemukakan sehingga 4,087 hari.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun
(LKAN) 2019 Siri 1, ini berlaku kerana kelewatan pelantikan Jawatankuasa
Siasatan selain Laporan Awal Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang tidak lengkap.
Audit mendapati, kelewatan laporan
kehilangan aset alih itu membabitkan 13 negeri antaranya Melaka yang lewat
antara 269 hingga 4,087 hari, Kuala Lumpur (160 hingga 4,015), dan Johor (2,272
hingga 2,529).
Dalam laporan audit yang dikeluarkan hari
ini, turut menyebut bahawa penyediaan Laporan Awal bagi 13 kes kehilangan wang
awam mencecah RM700,000 di kementerian yang sama, lewat dikemukakan sehingga
mencecah 1,922 hari.
Audit mendapati, tempoh kelewatan PTJ
kementerian tersebut menyediakan Laporan Awal itu adalah tidak munasabah
berbanding masa yang ditetapkan iaitu lima hari bekerja.
“Pihak Audit mendapati, kelewatan
menyediakan Laporan Awal kehilangan wang awam adalah disebabkan pegawai yang
terlibat, kurang peka atau kurang pengetahuan terhadap prosedur kehilangan wang
awam menyebabkan mereka gagal mengambil tindakan segera apabila berlaku
kehilangan,” menurut laporan itu.
Penemuan laporan audit mendapati, Pahang
antara negeri yang lewat menyediakan laporan sehingga 1,922 hari, selain Sabah (221 hingga
1,518), Kelantan (539), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (498) dan Sarawak
(492).
Laporan itu turut menyebut bahawa Laporan
Awal bagi 62 kes kehilangan aset alih berjumlah RM1.28 juta di 59 PTJ dan 14
negeri dan wilayah persekutuan, yang lewat dikemukakan sehingga mencecah 1,791
hari.
Laporan audit juga mendapati, punca
kelewatan penyerahan Laporan Awal ini adalah kerana ia disemak Pejabat
Pendidikan Daerah (PPD) terlebih dahulu yang kemudiannya disemak Jabatan
Pendidikan Negeri sebelum dikemukakan kepada Bahagian Pengurusan Aset
Kementerian Pendidikan.
Audit kemudian mengesyorkan agar prosedur
kehilangan wang awam dan aset alih di Kementerian Pendidikan perlu
diperkemaskan dengan pematuhan kepada peraturan dan proses kerja yang
ditetapkan selain mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawai
bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Audit mendapati, terdapat
kelewatan dalam penyediaan Laporan Awal empat kes kehilangan wang awam di
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berjumlah
RM405,176, lewat dibuat sehingga mencecah 1,484 hari.
Audit mendapati, kelewatan PTJ itu
membabitkan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kinta (Perak), PKMD Alor
Gajah (Melaka), Jabatan Kebajikan Masyakat Johor dan Rumah Kanak-Kanak Tengku
Budriah Cheras (RKKTB) Kuala Lumpur.
“Pihak Audit mendapati, Laporan Awal lewat
disediakan kerana pegawai dan kakitangan terlibat tidak merujuk kepada Arahan
Perbendaharaan yang berkaitan prosedur yang sepatutnya dilaksanakan untuk
mengurus kes kehilangan wang awam,” demikian menurut laporan audit.
Laporan audit turut mengesyorkan agar
pegawai yang bertanggungjawab terhadap kehilangan wang awam, hendaklah membuat
laporan polis dengan segera selain KPWKM mengambil tindakan sewajarnya terhadap
pegawai yang tidak mematuhi kehendak atau arahan tertakhluk dalam peraturan
kewangan.
Menurut pernyataan audit, kelewatan
mengemukakan laporan akhir kepada Perbendaharaan menyebabkan kutipan balik, hapus kira, tatatertib dan
surcaj tidak dapat diambil tindakan segera dan keadaan menjadi lebih rumit sekiranya
pegawai terbabit bertukar atau meletak jawatan.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment