Saturday 15 August 2020

PENUTUPAN SEKOLAH PERLU DILAKUKAN SEKURANG-KURANGNYA 14 HARI

Kementerian kesihatan dan MKN akan tentukan bila sekolah di Kedah dan Perlis yang ditutup akibat PKPD Secara Pentadbiran akan dibuka semula - Muslimin. Foto arkib NSTP
Kementerian kesihatan dan MKN akan tentukan bila sekolah di Kedah dan Perlis yang ditutup akibat PKPD Secara Pentadbiran akan dibuka semula - Muslimin.
SUNGAI BESAR: Penutupan sekolah di empat kawasan di Kedah dan dua di Perlis susulan penularan COVID-19 perlu dilakukan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum dibenarkan dibuka semula.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya, berkata Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menentukan jumlah bilangan hari yang sepatutnya pelajar dan murid bercuti.
"Selagi tidak mendapat persetujuan dan nasihat dari Kementerian Kesihatan dan MKN, selagi itu sekolah akan ditutup," katanya kepada media, hari ini.
Terdahulu, Muslimin yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar melepaskan Konvoi Jelajah Info On Wheels (IOW) Merdeka anjuran Jabatan Penerangan Selangor di Dataran Tonggak 9, Stadium Sungai Besar, di sini.
Pada 3 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di empat kawasan di Kedah iaitu Mukim Ah, Mukim Hosba serta Mukim Binjal di daerah Kubang Pasu; Kampung Ulu, Padang Sanai di Padang Terap berikutan penularan COVID-19 yang berpunca daripada Kluster Sivagangga.
Pada 10 Ogos pula, dua kawasan di Perlis iaitu Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul turut dikenakan PKPD Secara Pentadbiran sehingga 31 Ogos.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kes Jalur Gemilang yang dipamer secara terbalik, Muslimin menasihatkan supaya pemasangan bendera itu dilakukan oleh pihak pentadbir sekolah.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment