Monday, 24 August 2020

AJAR PERLEMBAGAAN DI SEKOLAH - PAKAR PERUNDANGAN

Ajar Perlembagaan di sekolah - Pakar perundangan - Media Adil
Prof Emeritus Dr Shad Saleem Faruqi
KUALA LUMPUR: Perlembagaan Persekutuan perlu diajarkan di peringkat sekolah memastikan pemahamannya dalam kalangan rakyat, selain mendidik rakyat Malaysia mengenai prinsip dan nilainya, kata pakar perundangan, Prof Emeritus Dr Shad Saleem Faruqi.
Beliau berkata, pengetahuan asas undang-undang di negara ini masih lemah, disebabkan Perlembagaan tidak diajar di peringkat sekolah rendah atau sekolah menengah termasuk di universiti sebagai satu mata pelajaran wajib.

"Pada masa sama, di Malaysia seseorang itu boleh menjadi seorang peguam ataupun hakim, tanpa perlu belajar dan memahami Perlembagaan walaupun untuk sehari.
"Malah mereka ini mungkin boleh menjadi seorang graduan undang-undang dari luar negara seperti dari England," katanya dalam rancangan bicara bertajuk Rukun Negara dan Perlembagaan yang disiarkan Bernama TV, hari ini.
Shad Saleem turut menyatakan Malaysia sebagai sebuah negara muda, pemahaman terhadap Perlembagaan masih rendah dalam kalangan penjawat awam dan orang awam.
"Jika tiada pemahaman Perlembagaan, patriotisme Perlembagaan akan menjadi lebih lemah dan beberapa kesulitan dalam beberapa dekad lalu menjadikan wujud kumpulan kecil cuba memperkecilkan Perlembagaan.
"Mereka membangkitkan isu agama dan cuma mengatakan Perlembagaan tidak boleh menjadi undang-undang utama dan perlu digantikan dengan suatu yang lain.
"Secara peribadinya saya katakan, tidak ada apa-apa dalam Perlembagaan yang menghalang kita daripada berakhlak mulia, beragama dan daripada melakukan perkara baik yang agama galakkan kita lakukan," katanya.
Pada rancangan itu juga Shad Saleem menyatakan Rukun Negara mempunyai nilai murni dan impiannya tersendiri dan saling melengkapi dengan Perlembagaan.
BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment