Sunday, 23 August 2020

KAEDAH PENTAKSIRAN BAHARU MASUK SEKOLAH KHUSUS

KPM akan memperkenalkan kaedah pentaksiran baharu bagi tujuan kemasukan murid ke Sekolah Khusus. - Foto hiasan
KPM akan memperkenalkan kaedah pentaksiran baharu bagi tujuan kemasukan murid ke Sekolah Khusus.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan kaedah pentaksiran baharu bagi tujuan kemasukan murid ke Sekolah Khusus.
Sekolah Khusus terbabit adalah Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) untuk sesi pengajian tahun depan.
KPM dalam kenyataan hari ini menyebut ia membangunkan satu sistem permohonan kemasukan murid Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ke Sekolah Khusus menerusi saluran kemasukan berpusat.
Sistem ini membabitkan permohonan secara berpusat dan juga kaedah pentaksiran standard secara berpusat.
"Permohonan kemasukan ke Sekolah Khusus ini membabitkan Sekolah Berasrama Penuh (Tingkat Satu dan Empat), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Tingkatan Satu dan Empat), Sekolah Menengah Teknik (Tingkat Empat), Kolej Vokasional (Tahun Satu Sijil Vokasional Malaysia (SVM)) dan Maktab Tentera Diraja (Tingkatan Empat," kata kenyataan itu.
KPM memaklumkan permohonan untuk kemasukan ke Tingkatan Satu boleh diakses melalui pautan https//:spskt1.moe.gov.my dan permohonan ke Tingkatan Empat pula melalui pautan https//:spskt4.moe.gov.my.
Sehubungan itu, semua pemohon akan menduduki pentaksiran secara berpusat di 555 pusat pentaksiran yang ditetapkan di seluruh negara.
KPM menetapkan permohonan dalam talian bermula 7 September hingga 2 Oktober depan, masing-masing membabitkan Tingkatan Satu, Tingkat Empat dan Tahun Satu SVM.
Semakan pusat pentaksiran bagi Tingkatan Satu pula pada 7 hingga 23 Oktober depan. Bagi Tingkat Empat dan Tahun Satu SVM bermula 12 Oktober hingga 6 November depan.
Untuk pelaksanaan pentaksiran, ia bermula pada 12 hingga 23 Oktober depan bagi Tingkatan Satu dan 26 Oktober hingga 6 November membabitkan Tingkatan Empat serta Tahun Satu SVM.
"Untuk makluman, pentaksiran kemasukan Sekolah Khusus yang akan dilaksanakan ini merangkumi tiga bahagian iaitu Kecerdasan Insaniah (20 peratus), Kecerdasan Intelektual (70 peratus) dan Artikulasi Penulisan (10 peratus).
"Kaedah pelaksanaan Ujian Kecerdasan Insaniah dan Kecerdasan Intelektual adalah secara dalam talian, manakala kaedah pelaksanaan ujian Artikulasi Penulisan adalah secara bertulis.
"Maklumat lanjut berhubung pentaksiran ini akan dimaklumkan melalui portal KPM pada 1 September 2020," kata kementerian itu.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment