KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan pendidikan dan perusahaan sosial pertama di Malaysia, LeapEd, hari ini melancarkan edisi Bahasa Melayu e-buku antarabangsa yang popular, 'Coronavirus: A Book For Children About COVID-19', untuk mendidik kanak-kanak mengenai virus berkenaan.
Pengerusinya, Shahnaz Al-Sadat, berkata terjemahan e-buku 'Coronavirus: Buku Untuk Kanak-kanak' sebanyak 17 halaman itu, adalah satu usaha untuk meningkatkan kesedaran dan memupuk kefahaman dalam kalangan kanak-kanak Malaysia mengenai wabak COVID-19.
"Adalah penting untuk kanak-kanak dilengkapi dengan pengetahuan dan pemahaman yang relevan mengenai virus itu serta bagaimana mereka memainkan peranan untuk melindungi diri sendiri dan orang di sekitarnya," katanya dalam satu kenyataan.
E-buku berkenaan pada asalnya diterbitkan di United Kingdom oleh Nosy Crow dan diilustrasi oleh Axel Scheffer dan LeapEd diberi hak ekslusif untuk menterjemah bagi mengubah cara kanak-kanak belajar dan pendidik mengajar.
Pengarah Urusan Nosy Crow, Kate Wilson berkata: "E-buku ini dihasilkan dengan teliti dengan bantuan ramai pakar seperti guru, pakar psikologi kanak-kanak dan pakar dalam bidang berkaitan, kami gembira dapat menyediakan bahan rujukan berguna seperti ini."
E-buku berkenaan boleh dimuat turun secara percuma di www.leapedservices.com/coronavirus-book, serta dilengkapi panduan membaca bagi membantu ibu bapa memanfaat buku itu dengan berkesan.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment