Tuesday 25 August 2020

SEBUAH SEKOLAH DI KEDAH DITUTUP ANGKARA COVID-19

Dr Noor Hisham ketika sidang media harian di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Dr Noor Hisham ketika sidang media harian di Kementerian Kesihatan, Putrajaya.
PUTRAJAYA: Sebuah lagi sekolah rendah di Kedah diarahkan tutup berikutan lima kes COVID-19 baharu dikesan membabitkan murid di sekolah berkenaan yang juga dari Kluster Tawar.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, berkata murid terbabit dikesan positif selepas membuat pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat kes positif kluster berkenaan yang kini menjangkiti 70 individu.
Katanya, hasil siasatan mendapati murid terbabit ialah kontak rapat kepada kes ke 9,197 yang juga murid pra-sekolah yang dilaporkan positif pada 16 Ogos lalu dan berkemungkinan dijangkiti ketika di sekolah.
"Sekolah itu ditutup dan pihak kami sudah jalankan siasatan, berkemungkinan jangkitan itu daripada ibu kepada kanak-kanak terbabit dan kemudian anaknya pergi ke sekolah sebelum menjangkiti rakan lain.
"Pelajar ini dikesan daripada generasi ketiga dalam Kluster Tawar, bukannya dari generasi pertama atau kedua. Kami sedang jalankan saringan mereka yang terdedah dengan pelajar terbabit," katanya pada sidang media, hari ini.
Sehubungan dengan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan pihak sekolah terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pendidikan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sementara itu katanya, sehingga kini 3,547 individu sudah disaring dalam Kluster Tawar di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment