Wednesday, 26 August 2020

KOMENTAR : PEMBELAJARAN PINTAR LONJAK AKTIVITI PELAJAR

Persekitaran pembelajaran pintar juga merujuk ekologi pembelajaran yang mengamalkan hubung jalin komunikasi menerusi pembelajaran mudah alih. - NSTP/Rohanis Shukri
Persekitaran pembelajaran pintar juga merujuk ekologi pembelajaran yang mengamalkan hubung jalin komunikasi menerusi pembelajaran mudah alih.
MALAYSIA mengalami defisit penghasilan kandungan tempatan, khususnya kerana lambakan kandungan digital luar negara, terutama dari Barat. Kandungan digital termasuklah video, permainan, aplikasi perisian dan animasi.
Menurut laman sesawang Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), penghasilan kandungan digital tempatan meraih RM7.9 bilion untuk pendapatan negara bagi 2017.
Jualan kandungan digital mencecah RM1.42 bilion dengan 11,590 peluang pekerjaan diwujudkan.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), TV Pendidikan tidak mampu menampung pembelajaran dalam talian pelajar tempatan
sama ada subjek berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) atau sebaliknya.
Pelbagai rangka kerja kaedah pembelajaran dan adaptasi dilaksanakan. Salah satunya menerusi rangka pembelajaran mudah alih Reka Bentuk, Peluang dan Aplikasi (m-DOA).
Salah satu pendekatan pintar m-DOA ialah pembelajaran konstruktif berdasarkan pengalaman. Melaluinya, pensyarah dilihat sebagai fasilitator, manakala penghasilan kandungan pembelajaran diperkasakan pelajar sendiri sebagai pembangun kandungan digital.
Proses ini merangkumi pembelajaran konstruktif menerusi pengalaman aktif, refleksi terhadap tugasan, konseptualisasi abstrak tugasan mengaitnya dengan prinsip pembelajaran mahupun teori dan strategi baharu untuk diaplikasikan.
Persekitaran pembelajaran pintar juga merujuk ekologi pembelajaran yang mengamalkan hubung jalin komunikasi menerusi pembelajaran mudah alih, dengan penggunaan perkakasan dan peranti mudah alih; kesedaran sosial menerusi penggunaan media sosial untuk komunikasi dalam melestarikan kemampanan pembelajaran pintar dan sambungan rangkaian yang lancar menerusi hubung jalin rangkaian tanpa wayar.
Antara fungsi pembelajaran pintar ialah menyiapkan tugas dan aktiviti harian yang mempunyai nilai tambah untuk kehidupan. Ia dapat menyuntik nilai tambah bermanfaat untuk pekerjaan dan aktiviti seharian.
Pembelajaran pintar memupuk nilai kehidupan bermakna untuk aktiviti - sama ada untuk penggunaan masa lapang, peribadi, atau untuk melakukan tugas berkaitan aktiviti harian pengguna.
Sebagai contoh, pelajar dapat menggunakan telefon pintar untuk meningkatkan kemahiran peribadi seperti mempelajari kemahiran baharu dan menyusun jadual aktiviti peribadi harian. Seterusnya, ia dapat meningkatkan pengetahuan dan pengurusan tugas kerja harian.
Salah satu kelebihan penggunaan telefon pintar adalah kemampuan fungsi multimedia. Terdapat potensi besar untuk belajar kerana semua pelajar universiti di Malaysia memiliki telefon pintar.
Pelajar dapat menggunakan fungsi multimedia pada telefon pintar seperti membuat rakaman video, audio dan fotografi serta untuk penggunaan harian peribadi.
Banyak peluang pendidikan pintar secara pembelajaran mudah alih. Kebanyakan pelajar menggunakan telefon pintar untuk membuat rakaman digital multimedia dan menyelesaikan tugasan mereka seperti di ladang, makmal sains atau tapak arkeologi.
Salah satu penggunaan telefon pintar untuk tujuan pendidikan menerusi pendekatan 'membawa peranti sendiri' (BYOD) yang dapat mengurangkan kos pembelian perkakasan mudah alih untuk belajar.
Pendekatan pembelajaran pintar menerusi perkakasan dan peranti telefon pintar dapat memperkasakan aktiviti pelajar menerusi kepercayaan diberikan. Aktiviti pembelajaran secara kreatif dan inovatif memberi manfaat positif kepada pembangunan kandungan digital multimedia tempatan.
Pelajar dapat berkolaborasi, aktif dan bermotivasi serta lebih seronok membabitkan diri menerusi aktiviti membangunkan kandungan digital multimedia.
Menerusi kaedah pembelajaran pintar, pelajar lebih memahami subjek diajar. Ini ditunjukkan menerusi peningkatan prestasi pelajar menerusi pembangunan digital kandungan multimedia berkualiti.
Justeru, sokongan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting untuk menyediakan prasarana ekologi pembelajaran pintar seperti penyediaan perkakasan, peranti, latihan, infrastruktur dan kandungan digital tempatan, yang boleh dimiliki rakyat tempatan.
Kesimpulannya, penjanaan aktiviti pelajar menerusi perkakasan mudah alih disyor terus diperkembangkan sebagai salah satu pendekatan mewujudkan pekerjaan baharu terutama bagi anak muda, selain mengurangkan masalah kekurangan kandungan digital tempatan.
Dr Shamsul Arrieya Ariffin
Profesor Madya
Jabatan Komputeran Fakulti Seni, Komputeran, dan Industri Kreatif, 
Universiti Pendidikan Sultan Idris
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment