KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) --
Pendidikan berkenaan Rukun Negara perlu diterapkan dalam kurikulum sekolah
seawal peringkat tadika lagi dan hendaklah disemak semula setiap lima tahun
dalam usaha mengukuhkan perpaduan rakyat.
Felow Utama Institut Kajian Etnik (KITA)
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata
situasi yang berlaku kini, Rukun Negara tidak lebih sekadar hafalan untuk murid
dan pelajar sekolah selain diikrarkan hanya pada majlis tertentu sahaja.
“Sepatutnya perlu ada pendidikan terhadap
kelima-lima prinsip itu untuk difahami anak bangsa, kena ada kurikulum,
misalnya prinsip pertama kalau nak terapkan di tadika, perkara apa yang perlu
‘diangkat’ dan ditonjolkan kepada anak sekecil mereka.
Apabila ada kurikulum, ia harus diajar
selain ada latihan dan saya pasti Rukun Negara akan terkesan pada pemikiran
serta tingkah laku rakyat. Sayang ia (Rukun Negara) sudah berusia 50 tahun, tetapi hanya pada
nama sahaja.
Ia sepatutnya boleh jadi patriotik kerana
ia adalah gagasan kenegaraan dan dalam hal ini sektor pendidikan memainkan
peranan penting untuk mendidik anak bangsa memahami falsafah Rukun Negara itu,
bukan hanya di peringkat sekolah rendah tetapi pada peringkat yang lebih
tinggi,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan
Bernama TV, hari ini.
Katanya di peringkat universiti pula,
mahasiswa boleh membuat analisis, menilai dan mencipta sesuatu dalam
memperincikan setiap prinsip itu agar mereka akan lebih mendalami dan tahu
kepentingannya.
Sementara itu, Veteran Akademi Tentera
Malaysia Lt Jen (B) Datuk Seri Zaini Mohd Said berkata falsafah rukun negara
masih relevan bukan sahaja dalam kehidupan masa lalu, tetapi pada masa kini dan
akan datang.
Ini kerana katanya, kelima-lima prinsip
berkenaan merupakan ideologi negara dan set kepercayaan untuk rakyat agar tidak
tersasar selain mampu mengukuhkan perpaduan negara berbilang kaum di negara
ini.
“Malangnya masyarakat tak nampak kebaikan
prinsip Rukun Negara itu, mereka tak tahu tujuan dan maknanya, padahal ia
sebenarnya untuk diri mereka dan generasi akan datang, kalau negara ini
mempunyai rakyat yang mengamalkan Rukun Negara, Malaysia akan jadi negara
hebat,” katanya.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment