Sunday 16 August 2020

TOKOH PENDIDIKAN NEGARA MENINGGAL DUNIA

Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.45 pagi tadi di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang, Selangor. - Foto fail NSTP
Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.45 pagi tadi di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang, Selangor
KUALA LUMPUR: Jenazah tokoh pendidikan negara, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, 84, yang meninggal dunia hari ini akan dikebumikan di kampung kelahirannya di Melaka.
Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu difahamkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.45 pagi tadi di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang, Selangor.
Bahagian Governan dan Sekretariat Universiti, Pejabat Pendaftar UiTM Shah Alam dalam satu kenyataan, memaklumkan jenazah dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Jamiul-Huda, Jalan Pinang, Kampung Melayu, Ampang.
"Jenazah kemudian akan dibawa pulang ke Kampung Air Limau, Masjid Tanah, Melaka untuk dikebumikan. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman," kata kenyataan berkenaan.
Abdul Rahman yang juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan dilantik sebagai Pro Canselor UiTM pada 15 Disember 2002.
Allahyarham dilahirkan di Masjid Tanah dan mendapat pendidikan awal di negeri sama, sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM).
Beliau kemudian meneruskan pengajian di University of Singapore, University of Reading, New Zealand Administrative Staff College dan Harvard Business School, sebelum bergelar doktor falsafah (PhD) apabila tamat pengajian di University of East London.
Selain Ketua Pengarah Pendidikan, Abdul Rahman pernah dilantik menyandang beberapa jawatan penting lain, termasuk sebagai Perunding Pendidikan kepada Bank Negara.
Allahyarham yang juga pernah berkhidmat sebagai diplomat di Maghribi, Manila dan Thailand, meninggalkan seorang balu, Puan Sri Noor Hayati Mohamed.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment