Monday 3 August 2020

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TERUSKAN DLP

Kerajaan teruskan DLP dan benarkan sekolah yang mahu Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. - Foto hiasan
Kerajaan teruskan DLP dan benarkan sekolah yang mahu Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneruskan Program Dwibahasa (DLP) dengan memberi kebenaran kepada pihak sekolah yang memilih untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata KPM tidak berhasrat memperkenalkan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Beliau berkata, DLP diperkenalkan secara rintis pada 2016 di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) membabitkan 377 sekolah iaitu 132 sekolah rendah dan 245 sekolah menengah.
"Selepas empat tahun pelaksanaan program DLP ini, jumlah sekolah yang terbabit meningkat kepada 2,291 buah pada 2020 iaitu 739 sekolah rendah dan baki 1,552 sekolah menengah.
"Buat sementara waktu, kita menekankan program DLP dan akan teruskan. Jika ada sekolah memilih untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam DLP, kita akan benarkan, " katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Hasan Ariffin (BN-Rompin) sama ada kerajaan akan membuat kajian berhubung pelaksanaan PPSMI.
Hang Soon berkata, KPM sedang berusaha menambah baik pendidikan bahasa Inggeris bagi meningkatkan penguasaannya dalam kalangan guru dan murid untuk keperluan datang dengan melaksanakan pelbagai program pengukuhan.
Sebelum ini, wujud gesaan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis bahasa supaya kerajaan memansuhkan DLP kerana secara dasarnya ia sama seperti PPSMI.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPM merancang melaksanakan pengambilan guru pendidikan khas secara kontrak tahun depan mengikut keperluan dalam menampung jumlah Murid Berkeperluan Khas (MBK) yang meningkat selepas pelaksanaan Dasar Sifar Penolakan sejak tahun lalu.
Bagi memenuhi keperluan guru pendidikan khas, katanya, KPM meneruskan pengambilan pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (PISMP) opsyen Pendidikan Khas di Institusi Pendidikan Guru (IPG).
"Tahun ini, seramai 180 pelajar PISMP opsyen Pendidikan Khas ditawarkan tempat dan bekalan guru untuk tahun 2022 hingga 2025 ialah 516 orang.
"Tidak dinafikan pelaksanaan Dasar Sifar Penolakan ini usaha yang baik dan akan dibuat secara berperingkat namun KPM berdepan pelbagai cabaran antaranya aspek penyediaan infrastruktur sekolah, sumber manusia, kepakaran guru dan pembantu pengurusan murid, " katanya.
Beliau menjawab soalan Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang mahu tahu berhubung jumlah MBK, guru pendidikan khas dan rancangan untuk menambah bilangan guru pendidikan khas.
Sehingga 30 Jun lalu, Hang Soon berkata, seramai 92,755 orang MBK mendapat pendidikan iaitu 2,644 di Sekolah Pendidikan Khas (SPK), 73,656 di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan 16,455 di Program Pendidikan Inklusif (PPI).
"Bilangan keseluruhan guru pendidikan khas ialah 16,492 orang, " katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment