Thursday 6 August 2020

CADANG PERKENAL SUBJEK KEUSAHAWAN DI SEKOLAH

 - Foto hiasan
Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (MEDAC) akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperkenalkan subjek keusahawanan di sekolah.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata walaupun agak sukar memperkenalkan subjek 'luar' di sekolah, pihaknya akan memperhalusi perkara itu dengan KPM.
"Berdasarkan pengalaman saya di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk memperkenalkan alam sekitar sebagai subjek dalam kajian di sekolah, prosesnya begitu teliti berdasarkan kajian KPM.
"Kita boleh berbincang dengan KPM bagaimana untuk melaksanakan subjek ini di sekolah dalam usaha memperkenalkan keusahawanan sebagai alternatif kepada pekerjaan pada masa depan.
"Kita belum ada dasar khusus untuk mewajibkan pendidikan keusahawanan ini, jadi saya hanya boleh menyebut saya bersedia berbincang dengan Kementerian Pendidikan berkenaan projek ini," katanya
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi MEDAC di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengenai pengoperasian koperasi di sekolah, Wan Junaidi berkata, setakat ini 2,941 koperasi beroperasi di sekolah seluruh negara.
Katanya, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) mengadakan kursus dan latihan kepada guru di sekolah bertujuan membimbing golongan itu mengenai koperasi.
"Setakat ini, sebanyak 300 guru dilatih dan sasaran ialah melatih 700 guru untuk pakar dalam bidang keusahawanan dan koperasi," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment