Thursday 6 August 2020

CADANG PERKENAL SUBJEK KEUSAHAWANAN DUI SEKOLAH

Halimah (dua kanan) menyampaikan hadiah kepada peserta kategori bawah 12 tahun, Muhammad Mukhriz Mahadzir sambil diperhatikan Lian Ker (kiri), Wan Suraya (kanan) dan Khairul Anwar (dua kiri) ketika majlis penghargaan Kelab Rukun Negara Sekretariat Rukun Negara dan penyampaian hadiah pertandingan video kreatif perpaduan di Kuala Lumpur. - Foto Hairul Anuar Rahim
Halimah (dua kanan) menyampaikan hadiah kepada peserta kategori bawah 12 tahun, Muhammad Mukhriz Mahadzir sambil diperhatikan Lian Ker (kiri), Wan Suraya (kanan) dan Khairul Anwar (dua kiri) ketika majlis penghargaan Kelab Rukun Negara Sekretariat Rukun Negara dan penyampaian hadiah pertandingan video kreatif perpaduan di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menimbang kemungkinan mewujudkan semula subjek berkisar kepada amalan Rukun Negara dalam sistem pendidikan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, kewujudan subjek berkenaan akan diperhalusi satu jawatankuasa teknikal, dianggotai Ketua Setiausaha (KSU) daripada empat kementerian.

Beliau berkata, ia akan disusun berkisar kepada subjek Tatarakyat yang pernah diwujudkan dalam sistem pendidikan negara satu ketika dahulu.
"Sempena sambutan 50 tahun Rukun Negara, kementerian menubuhkan jawatankuasa teknikal, yang turut dianggotai KSU mewakili tiga kementerian lain iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan.
"Kita akan lihat kembali kemungkinan meletakkan amalan Rukun Negara sebagai antara subjek, khususnya di peringkat awal persekolahan, sekolah rendah dan menengah," katanya kepada media selepas majlis penghargaan Kelab Rukun Negara (KRN) serta Sekretariat Rukun Negara (SRN).
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Ti Lian Ker, KSU Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Khairul Anwar Salleh.
Turut diadakan adalah penyampaian hadiah bagi pemenang video kreatif perpaduan.
Mengulas lanjut, Halimah berkata, kewujudan subjek terbabit adalah selaras dengan objektif kementerian yang mahu membangunkan semula penghayatan Rukun Negara di kalangan generasi muda.
"Jawatankuasa teknikal ini sudah diberi mandat untuk memperincikan perkara terbabit, melihat bagaimana kita dapat membawa semula pendidikan berkisarkan Rukun Negara ini.
"Antara lain, subjek berkenaan akan membawa pelajar menyelami prinsip sebenar Rukun Negara, Jalur Gemilang dan aspek berkaitan," katanya.
Terdahulu, Halimah menyerahkan sijil penghargaan kepada 10 wakil KRN dan SRN yang bersama menjayakan Majlis Pelancaran Sambutan 50 Tahun Rukun Negara oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 9 Julai lalu.
Sehingga kini terdapat 6,621 KRN seluruh negara meliputi 5,864 di sekolah rendah dan menengah kebangsaan, serta baki 757 di sekolah jenis kebangsaan manakala terdapat 172 SRN di institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment