Thursday, 5 November 2020

JARINGAN DALAM TALIAN BERI IMPAK POSITIF

Sharifah Norizah (kanan) kongsi bagaimana golongan muda patut berperanan dalam masyarakat bagi berdepan survive sejajar dengan perubahan zaman yang terlalu pantas

PUTRAJAYA: Penularan COVID-19 sejak Disember tahun lalu di seluruh dunia menuntut banyak perubahan dalam menjalani kehidupan dan cara kerja berkaitan pelbagai aspek lain.

Malah, isu kesihatan awam sejagat ini turut memberi impak dan menjadi perhatian golongan muda terutama apabila ia memberi impak langsung terhadap pekerjaan dan pendidikan.

Penyelaras Kaukus Serantau (Asia Pasifik) bagi United Nations Major Group for Children and Youth (UN MGCY), Sharifah Norizah Syed Ahamad Kabeer, berkata pandemik COVID-19 mengajar semua pihak keperluan untuk tadbir urus lebih kukuh dan saling bergantungan.

Beliau berkata, sebagai masyarakat, semua pihak perlu akur bahawa simbiosis antara masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan belia dan golongan profesional dan sektor kerajaan adalah sangat penting.

"Kita perlukan satu sama lain, khasnya apabila membabitkan teknologi dan inovasi baharu yang diusahakan oleh golongan profesional contohnya dalam penyediaan sistem, infrastruktur dan kelengkapan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang lebih baik dan berkos rendah.

"Dari sudut pengurangan pengangguran, golongan profesional muda lebih kreatif dengan inovasi perniagaan secara dalam talian dan membantu lebih ramai peniaga 'offline' dan golongan B40 menggunakan peluang meningkatkan perniagaan.

"Simbiosis inilah maksud saya amat penting untuk kita fahami dan guna peluang membantu membina semula negara yang berdepan dengan cabaran COVID-19," katanya kepada BH.

Sharifah Norizah yang sebelum ini, antara empat belia di seluruh dunia yang menyampaikan ucaptama di Majlis Pembukaan Perasmian Ulang Tahun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-75 secara maya, turut melihat penggunaan teknologi mengubah cara masyarakat berkomunikasi dan berhubung termasuk merentasi sempadan negara.

Beliau melihat sesi perkongsian seperti webinar dan sebagainya secara dalam talian sebagai sesuatu yang positif dan dapat membantu masyarakat meningkatkan kemahiran dan berkongsi pengetahuan bersama rakan lain di dalam dan di luar negara.

Aplikasi seperti Zoom menjadi antara platform utama yang diguna pakai oleh masyarakat untuk mengadakan perjumpaan atau perkongsian secara maya.

"Kalau dahulu kita menjadikan alasan tidak mempunyai rakan luar negara kerana tiada duit untuk melancong atau mengembara ke luar negara, sekarang bagi saya alasan itu tidak boleh diguna pakai lagi.

"Terlalu banyak platform di media sosial seperti Facebook yang boleh kita dapatkan kenalan dan jaringan dan boleh kita terbabit dalam perbincangan dan berkongsi amalan terbaik dari Malaysia sendiri, terkait dengan pelbagai isu berikutan COVID-19," katanya.

Beliau berkata, semua masyarakat mempunyai peranan masing-masing dan sebagai golongan muda, mereka perlulah mencari peluang dan ruang untuk menjalankan peranan itu berikutan perubahan zaman terlalu pantas.

Katanya, ilmu juga bukan sekadar apa yang dipelajari dalam bilik kelas semata-mata, sebaliknya mereka perlu bersikap terbuka untuk belajar melalui mana-mana platform yang ada. Sharifah Norizah berkata, ia berikutan Malaysia dikenali dengan sistem dan pelan pembangunan yang baik, yang tidak dipunyai oleh semua negara.

Justeru, kelebihan itu boleh digunakan untuk membantu negara lain yang tidak memiliki sistem dan pelan pembangunan seperti dinikmati di negara ini.

"Jadi, menerusi konsep perkongsian amalan terbaik ini, ia dapat membantu negara yang memerlukan khususnya yang terkesan dengan COVID-19.

"Wadahnya adalah menerusi e-learning. Golongan muda perlu luaskan jaringan dengan rangkaian organisasi di luar negara. Jika tidak dengan negara lain, mulakan perkongsian sesama negeri, sesama masyarakat bandar dan luar bandar," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 4 November 2020

KPT AKAN DIRUJUK STATUS PEPERIKSAAN ANTARABANGSA

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan bertemu dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai status peperiksaan sijil profesional yang dijadualkan berlangsung mengikut jadual.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih tidak mendengar sebarang pengumuman penangguhan peperiksaan dan ia akan diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Saya difahamkan ia akan diadakan mengikut SOP ketat seperti penjarakan sosial serta masa terhad berada dalam dewan tetapi timbul persoalan hari ini, ada cadangan ia tidak lagi diadakan.

"Saya akan bawa perkara ini kepada KPT untuk melihat semula keperluan meneruskan atau tidak," katanya pada sidang akhbar mengenai COVID-19, hari ini.

Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini memaklumkan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) dibenar meneruskan peperiksaan antarabangsa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), berdasarkan jadual asal.

Keputusan berkenaan membabitkan 3,031 pelajar tempatan dan 195 pelajar antarabangsa di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah yang dikenakan PKPB.

BERITA HARIAN ONLINE

BELANJAWAN 2021: PERKASA PENDIDIKAN SECARA DIGITAL ANTARA HARAPAN PEMEGANG TARUH


KUALA LUMPUR: Memperkasa pendidikan negara secara digital adalah antara yang diharap akan diberi tumpuan utama pada Belanjawan 2021 pada Jumaat, demi kelestarian dan kelangsungan sistem pendidikan terutamanya dalam berhadapan dengan cabaran COVID-19, demikian menurut persatuan-persatuan berkaitan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang, berkata harapan itu berasaskan pengalaman negara berhadapan dengan pandemik, memandangkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) terus berlangsung melepasi sempadan kelas atau bilik kuliah, dan ini membuktikan kaedah secara maya itu adalah amat penting dan sangat perlu.

Beliau berkata sehubungan itu NUTP berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan besar disediakan khusus bagi memperkasa pendidikan secara digital.

"Antaranya seperti penyediaan gajet khas untuk pembelajaran secara maya kepada murid miskin, rebat RM1,000 kepada guru bagi pembelian gajet atau komputer riba khusus untuk pengajaran secara maya, selain peruntukan untuk peningkatan kemahiran guru bagi pengajaran secara maya," katanya ketika dihubungi Bernama.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 31 October 2020

KPT PERUNTUK RM24 JUTA BANTUAN PELAN DATA UNTUK PELAJAR IPT B40

Bantuan Pelan Data kepada pelajar membolehkan mereka mendapat persekitaran pembelajaran kondusif dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP)

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperuntukkan RM24 juta bagi Bantuan Pelan Data kepada 320,396 pelajar dari kategori B40 bagi memastikan mereka mendapat persekitaran pembelajaran yang kondusif dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian susulan pandemik COVID-19.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata melalui pelan data itu sebanyak 225,784 unit kad SIM diagihkan kepada pelajar dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, Yayasan YTL dan Lembaga Tabung Haji.

"Baki seramai 94,612 pelajar pula akan mendapat pemberian tunai bagi tujuan pembelian pelan data," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pakej Pelan Data dan Peranti Kepada Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di KPT di sini, semalam.

Noraini berkata, sebanyak 8,965 unit peranti komputer riba khusus diperuntukkan kepada pelajar (IPT) di bawah kategori B40 secara bersasar.

Beliau berkata, 5,965 pelajar bakal menerima bantuan komputer riba secara percuma. Selain itu, seramai 2,700 pelajar pula akan menerima bantuan dalam bentuk pemberian tunai bagi tujuan yang sama manakala seramai 300 pelajar akan menikmati bantuan pinjaman kewangan bagi memiliki komputer riba yang diperlukan pada harga istimewa.

"Jumlah keseluruhan yang diperuntukkan bagi membiayai bantuan pemberian peranti ini adalah dianggarkan sebanyak RM13 juta," katanya.

Kata Noraini, dalam usaha meringankan beban pelajar untuk menanggung kos bagi mengikuti PdP secara dalam talian, KPT menawarkan pemberian bantuan tunai RM50 kepada semua pelajar baharu sesi 2020/2021 yang keseluruhannya bernilai RM3.8 juta.

Melalui bantuan tunai ini, seramai 76,153 pelajar bakal menikmati faedah yang diharap dapat membantu mereka mengikuti PdP secara dalam talian, katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan kelangsungan atau kemampuan untuk pelajar meneruskan PdP secara dalam talian, KPT dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) melancarkan inisiatif crowdfunding melalui Tabung Prihatin Siswa.

Katanya, inisiatif ini dilihat sebagai satu platform bagi mengajak pihak luar bersama-sama dengan KPT dalam menyalurkan sumbangan untuk membantu meringankan kesulitan pelajar yang berkeperluan dalam meneruskan PdP tanpa kekangan.

"KPT berharap bantuan dan inisiatif yang ditawarkan akan dapat meringankan beban yang dihadapi oleh pelajar dalam situasi semasa berkaitan pandemik COVID-19 dan dimanfaatkan sebaiknya," katanya. 

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 20 October 2020

DEMONSTRASI u-PUSTAKA

Semuanya percuma! Buku atau e-buku boleh dicapai dengan mudah di u-Pustaka. Demonstrasi menggunakan u-Pustaka anjuran Bahagian Gerakan Literasi Maklumat, Perpustakaan Negara Malaysia ini boleh diakses di https://buff.ly/3dDXZVw



SUMBER : PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA




Monday, 12 October 2020

INSTITUSI PENDIDIKAN DI SABAH, KL, SELANGOR DAN PUTRAJAYA DITUTUP - KPM

(Gambar hiasan) Sekolah di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup mulai esok dan lusa

KUALA LUMPUR: Lebih 2,700 institusi pendidikan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Sabah akan ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Institusi pendidikan di Sabah ditutup mulai esok hingga 26 Oktober ini, manakala di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya pula bermula Rabu hingga 27 Oktober.

Menurut KPM dalam satu kenyataan, hari ini, penutupan membabitkan kira-kira 1.7 juta murid dan pelajar itu meliputi TADIKA, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, kolej vokasional, kolej matrikulasi serta institut pendidikan guru (IPG).

"Keputusan ini akan membabitkan sebanyak 1,336 institusi dengan 511,349 murid dan pelajar di Sabah, termasuk institusi yang sudah ditutup di daerah dikenakan PKPB sebelum ini.

"Selain itu, 1,088 institusi pendidikan membabitkan 935,984 murid dan pelajar di Selangor, termasuk sekolah di mukim Klang serta Petaling yang telah ditutup lebih awal.

"Penutupan ini juga membabitkan 344 institusi pendidikan dengan 254,639 murid dan pelajar di Kuala Lumpur; serta 29 institusi pendidikan bersama 31,917 murid dan pelajar di Putrajaya," katanya.

Berikutan penutupan itu turut membabitkan institusi pendidikan yang mempunyai asrama, menurut kenyataan berkenaan, ibu bapa atau penjaga boleh mengambil murid atau pelajar terbabit untuk pulang.

Bagaimanapun, katanya, murid atau pelajar yang menunggu diambil ibu bapa atau yang ingin terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan itu, akan berada bawah penjagaan warden asrama.

"Keperluan makan dan minum murid atau pelajar sepanjang tempoh berkenaan akan disediakan oleh pihak institusi pendidikan.

"Bagi ibu bapa atau penjaga yang hanya dapat mengambil murid atau pelajar dari asrama ketika tempoh PKPB, mereka perlu memaklumkan kepada pihak institusi pendidikan dan seterusnya, pentadbir akan mengeluarkan surat kepada ibu bapa atau penjaga berkenaan.

"Ini adalah sebagai rujukan kepada pihak berkuasa jika mereka perlu merentas daerah untuk mengambil murid atau pelajar pulang dari asrama," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pelajar yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh PKPB pula hendaklah mendapatkan surat daripada sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

"Pembelajaran bagi murid dan pelajar sepanjang tempoh penutupan juga perlu diberi perhatian.

"Justeru, pentadbir institusi pendidikan diarah memastikan guru atau pensyarah serta murid atau pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

"Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM: www.moe.gov.my," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

5 TONGGAK STRATEGI KESELAMATAN SIBER MALAYSIA 2020-2024


SUMBER : BERNAMA