Wednesday 4 November 2020

KPT AKAN DIRUJUK STATUS PEPERIKSAAN ANTARABANGSA

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan bertemu dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai status peperiksaan sijil profesional yang dijadualkan berlangsung mengikut jadual.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih tidak mendengar sebarang pengumuman penangguhan peperiksaan dan ia akan diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Saya difahamkan ia akan diadakan mengikut SOP ketat seperti penjarakan sosial serta masa terhad berada dalam dewan tetapi timbul persoalan hari ini, ada cadangan ia tidak lagi diadakan.

"Saya akan bawa perkara ini kepada KPT untuk melihat semula keperluan meneruskan atau tidak," katanya pada sidang akhbar mengenai COVID-19, hari ini.

Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini memaklumkan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) dibenar meneruskan peperiksaan antarabangsa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), berdasarkan jadual asal.

Keputusan berkenaan membabitkan 3,031 pelajar tempatan dan 195 pelajar antarabangsa di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah yang dikenakan PKPB.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment