Friday 6 November 2020

BELANJAWAN 2021: NUTP HARAP PERUNTUKAN SELENGGARA SEKOLAH DISALUR SEGERA

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berharap peruntukan yang diberikan kerajaan melalui Belanjawan 2021 terutama menambah baik dan menyelenggara sekolah dapat disalurkan secepat mungkin.

Presidennya, Aminuddin Awang, berkata NUTP menghargai pengiktirafan kerajaan kepada sektor pendidikan dan pihaknya sejak dulu sentiasa memohon lebih banyak peruntukan diberikan bagi penyelenggaraan sekolah.


"Kita harap sekolah tidak akan dibebankan dengan birokrasi untuk menggunakan wang ini. Sebagai contoh, jika sekolah memerlukan RM50 untuk membaiki paip yang rosak, prosesnya perlu cepat dan mudah, supaya ia dapat diselesaikan dan tukang paip dapat dibayar segera.

"Sebanyak RM750 juta diperuntukkan untuk memperbaiki sekolah yang usang adalah baik, namun ia mesti disalurkan dengan segera kerana sekolah ini sudah berdepan dengan keadaan itu selama bertahun-tahun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 hari ini, Kementerian Pendidikan terus menerima peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM50.4 bilion, termasuk RM800 juta bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan serta kos tambahan RM725 juta bagi menaik taraf bangunan dan infrastruktur di 50 sekolah daif.

Selain itu, Aminuddin berkata, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan penyediaan bekalan susu daripada dua kali seminggu kepada setiap hari persekolahan akan memberi manfaat kepada murid jika peruntukan yang disediakan digunakan untuk membeli susu tanpa perisa.

"Inisiatif untuk menyediakan komputer riba kepada ramai penerima adalah baik dan kami merasakan capaian akan lebih komprehensif jika kerajaan boleh menyediakan pinjaman tanpa faedah kepada keluarga berpendapatan sederhana rendah.

"Kami juga meminta pusat komuniti penjagaan kanak-kanak turut diwujudkan dengan segera di sekolah besar atau institusi pendidikan bagi guru serta kakitangan sokongan,yang mana 70 peratus guru ini ialah wanita," katanya.

Aminuddin berkata, NUTP turut berharap kerajaan dapat mengubahsuai belanjawan bagi menyediakan warden sepenuh masa di sekolah berasrama, yang mungkin dapat dicapai melalui Program Pekerjaan Jangka Pendek (MyStep).

"Kami juga berharap guru sementara yang membantu kekurangan guru di negara ini dapat dikekalkan sepanjang tahun.

"Selain itu, pas bas bagi perjalanan tanpa had RM5 dapat diberikan kepada semua pelajar tanpa mengambil kira kedudukan ekonomi mereka," katanya.

Beliau berkata, NUTP bagaimanapun kecewa kerana guru tidak diberikan sebarang insentif bagi menambah baik kecekapan dan capaian digital, dalam aspek peralatan dan capaian.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment