Friday, 6 November 2020

BELANJAWAN 2021: KPM TERIMA PERUNTUKAN TERBESAR RM50.4 BILION

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukan terbesar membabitkan sebanyak RM50.4 bilion yang meliputi 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan bawah Belanjawan 2021.

Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Katanya, antara inisiatif akan dilaksanakan ialah kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah kerajaan serta sekolah bantuan kerajaan bagi memastikan suasana pembelajaran yang kondusif, dengan membabitkan peruntukan RM800 juta.

Beliau berkata, peruntukan itu juga termasuk kerja menaik taraf dan membina dewan terbuka atau struktur berbumbung bagi menyediakan tempat berhimpun yang selesa serta selamat di sekolah kerajaan.

"Selain itu, kos tambahan sebanyak RM725 juta akan diperuntukkan bagi menaik taraf bangunan dan infrastruktur di 50 sekolah daif.

"Bagi sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak, kerajaan akan melaksanakan 184 projek pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM120 juta," katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM45 juta pula disediakan bagi memperkasakan pendidikan khas.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment