Sunday, 17 January 2021

HENTI TOHMAH GURU 'MAKAN GAJI BUTA' - NUTP

Pelajar Tingkatan Lima, Syazwin Nisa Saiful Hizam (kanan) bersama rakannya Nurul Huda Sukor tekun mendengar pembelajaran secara dalam talian bersama guru di kedai makan milik ayahnya bagi menghadapi pemeriksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

KUALA LUMPUR: Masyarakat diminta menghentikan tohmahan kononnya guru kurang bekerja apabila melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik COVID-19.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata sejak pelaksanaan PKP fasa awal lalu, warga pendidik sering dilemparkan dengan pelbagai tuduhan seperti `makan gaji buta' sedangkan mereka sudah cuba melakukan yang terbaik.

Beliau berkata, sepanjang PdPR dilaksanakan, ramai guru sanggup berkorban demi memastikan murid dapat mengikuti sesi pembelajaran, malah apabila kaedah itu dilaksanakan hampir kesemua kos berkaitan ditanggung oleh guru sendiri, terutama membabitkan utiliti.

"Ada guru berkorban gunakan wang sendiri untuk melanggan data Internet, malah ada juga guru buat studio sendiri di rumah untuk memastikan sesi pengajaran lebih menarik," katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Januari ini di seluruh negara hanya membabitkan calon yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020.

Semua murid sekolah rendah dan murid tingkatan 1 hingga 5 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR mulai 20 Januari.

Mengakui pembelajaran secara bersemuka lebih memberikan impak dan mencapai objektif jika dibandingkan dengan PdPR, Aminuddin berkata dalam keadaan sekarang, semua pihak harus menerima kenyataan bahawa PdPR adalah satu-satunya pilihan yang ada.

"Kami anggap segala permasalahan sebagai cabaran dan guru-guru akan melakukan yang terbaik dalam ruang lingkup kemampuan dan kesesuaian murid.

"Proses pengajaran dan pembelajaran guru adalah berasaskan keupayaan murid dan kesediaan sumber yang ada," katanya.

Dalam hal ini, kerjasama ibu bapa amat diperlukan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah dapat berlangsung dengan lebih berkesan, tegasnya.

Sebelum ini, KPM menyediakan manual PdPR meliputi pendekatan secara dalam talian, luar talian dan 'off-site', sama ada menggunakan modul pembelajaran atau pembelajaran berasaskan projek, selain sentiasa berusaha memastikan semua murid mendapat akses pembelajaran.

Pada 20 Disember lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Muslimin Yahaya berkata sebanyak 2.699 juta sesi PdPR dilaksanakan membabitkan guru dan murid sekolah rendah dan menengah di bawah KPM di seluruh negara bagi tempoh 17 hingga 30 November tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 64 peratus adalah PdPR secara dalam talian, 17 peratus luar talian manakala 19 peratus gabungan kedua-dua kaedah berkenaan. 

BERNAMA ONLINE

LOMPANG PdP BOLEH WUJUDKAN 'GENERASI KETINGGALAN'

Ibu bapa perlu mencabar fikiran masing-masing supaya lebih kreatif dan kritikal dalam membentuk anak yang berdaya saing walaupun terpaksa menjalani pembelajaran secara PdPR

KUALA LUMPUR: Anak golongan kurang berkemampuan berdepan risiko menjadi 'generasi ketinggalan' atau 'lost generation' jika kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.

Pakar psikologi, Prof Datin Dr Mariani Mohd Noor, berkata keadaan itu didorong faktor kemudahan pembelajaran terhad dan kurang pemantauan daripada ibu bapa.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia (Majlis ECCE), berkata kerjasama erat antara ibu bapa, guru dan murid penting untuk mewujudkan titik pertemuan bagi menjayakan kaedah PdP digunakan dalam keadaan pandemik.

"Kita tak boleh kata semua murid akan tergolong sebagai 'lost generation' kerana sistem pendidikan kita tetap berlaku secara PdP di Rumah (PdPR) dan imbangan kekal ada.

Pakar psikologi, Prof Datin Dr Mariani Mohd Noor.

"Bagaimanapun, perlu diakui ada segelintir murid akan keciciran jika tidak dipantau, berasal daripada keluarga kurang berkemampuan dan mempunyai kemudahan terhad," katanya kepada BH, hari ini.

Mariani berkata, ibu bapa perlu mencabar fikiran masing-masing supaya lebih kreatif dan kritikal dalam membentuk anak yang berdaya saing walaupun terpaksa menjalani pembelajaran secara PdPR.

Selain itu, katanya, daya saing murid mampu diwujudkan menerusi platform pendidikan disediakan guru dan dipadankan dengan sokongan padu ibu bapa, di samping penyediaan prasarana pembelajaran kondusif.

"Ibu bapa perlu kerap mengadakan aktiviti bersama anak dalam usaha mewujudkan keseimbangan antara akademik dan sahsiah.

"Ia memadai dengan memperhebat kualiti pergaulan adik-beradik atau sering solat berjemaah.

"Kemahiran insaniah perlu digarap melalui aktiviti bersama dan inilah peranan ibu bapa ketika berdepan pandemik," katanya.

Mengenai kekangan dihadapi pasangan bekerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata, peranan perlu dialih kepada pembantu rumah atau ahli keluarga paling berusia.

"Mereka ini perlu diberi panduan supaya elemen berkenaan dapat diterapkan kepada murid.

"Peranan keibubapaan sekarang semakin mencabar tetapi semua pihak perlu bertolak ansur demi memastikan anak masing-masing tidak tergolong sebagai 'lost generation'," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

CAPAIAN INTERNET, KURANG GAJET BOLEH SUKARKAN PdPR

Capaian internet dan pemilikan gajet antara cabaran proses PdPR. 

KUALA LUMPUR: Faktor capaian internet dan pemilikan gajet dilihat menjadi antara faktor utama menyebabkan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kurang berkesan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, berkata ia menyumbang kepada beberapa kesan negatif dan merumitkan keadaan golongan berpendapatan rendah.

Selain itu, katanya, kaji selidik NUTP mendapati 93 peratus guru memilih kaedah PdP secara bersemuka walaupun mengakui berpuas hati dengan kerjasama diberikan ibu bapa bagi menjayakan PdPR.

"Kemahiran guru mengendalikan PdPR semakin baik dan masing-masing sudah mempunyai pengalaman ketika pelaksanaan PKP, Mac tahun lalu.

"Diakui, guru berdepan cabaran dan kesukaran menjalankan PdPR bagi murid Tahun Satu kerana pelajar tidak pernah menjalani proses sedemikian sebelum ini.

"Bagaimanapun, kita tak boleh menolak PdPR kerana ia satu-satunya kaedah yang ada ketika negara berdepan pandemik COVID-19," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) melaporkan, sesi persekolahan secara bersemuka mulai 20 Januari ini di seluruh negara dihadkan kepada calon peperiksaan utama bagi 2020.

Sehubungan itu, hanya calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020, perlu ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran bersemuka.

Turut tersenarai, pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) 2020 serta peperiksaan antarabangsa setara.

Ditanya sama ada murid berdepan masalah keciciran sistem pendidikan apabila hanya bergantung kepada PdPR, Aminuddin berkata, ia mungkin mengakibatkan perkembangan pelajar terencat.

Bagaimanapun katanya, ia tidak boleh menjadi pengukur bagi keberkesanan menghasilkan modal insan yang seimbang.

"Dalam hal ini tak boleh nak dibandingkan dan semua pihak mesti terima keadaan PdPR adalah berasaskan kepada kesediaan murid, selain objektif pengajaran guru terhad dan perlu dipelbagaikan mengikut kreativiti.

"Apabila keadaan kembali baik, mungkin guru boleh lakukan langkah lain untuk baik pulih masalah sepanjang pelaksanaan PdPR," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, mencadangkan kerajaan memberi pengecualian cukai untuk pembelian peranti, selain menumpukan usaha bagi menggembleng pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta bagi penyediaan infrastruktur yang kondusif.

"Kita ada menerima maklum balas dan cadangan radikal supaya PdPR diadakan di luar waktu kerja (bagi memastikan fokus murid ketika belajar), tetapi ia perlu dipersetujui semua pihak," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 16 January 2021

HANYA CALON PEPERIKSAAN UTAMA 2020 KE SEKOLAH

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan secara bersemuka mulai 20 Januari ini di seluruh negara hanya membabitkan calon peperiksaan utama bagi 2020.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan di sini menjelaskan, pendekatan itu diambil selepas mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sehubungan itu, mereka yang perlu ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran bersemuka ialah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020.

Turut tersenarai, pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) 2020 serta peperiksaan antarabangsa setara.

"Semua murid sekolah rendah dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)

"Pendekatan mengikut kesesuaian guru dan murid ini, akan mula dilaksanakan mulai Rabu depan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berhubung pelajar yang mula mendaftar masuk ke asrama mulai hari ini susulan arahan terdahulu, KPM mengambil keputusan untuk membuat beberapa ketetapan.

Katanya, pelajar Tingkatan 4 dan 5 di sekolah berasrama penuh boleh kekal berada di institusi masing-masing serta mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP), secara dalam talian di sekolah.

"Mereka juga boleh pulang ke rumah dan mengikuti PdPR. Ibu bapa atau penjaga dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang pada bila-bila masa yang sesuai dengan mematuhi garis panduan ditetapkan.

"Pelajar Tingkatan 5 (2020) dan Tingkatan 6, sama ada di sekolah berasrama penuh atau asrama sekolah harian akan mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah hingga selesai peperiksaan.

"Bagi pelajar Tingkatan 1, 4 dan 5 di asrama sekolah harian, mereka boleh kekal berada di institusi masing-masing serta mengikuti PdP secara dalam talian di sekolah.

"Mereka dibenarkan pulang ke rumah dan mengikuti PdPR. Ibu bapa atau penjaga dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang pada bila-bila masa yang sesuai dengan mematuhi garis panduan ditetapkan," katanya.

KPM menjelaskan mana-mana pelajar yang perlu berada di asrama atau mengambil keputusan berada di institusi berkenaan akan diberi keperluan makan dan minum oleh pengurusan sekolah.

Bagi tujuan pengoperasian sekolah, arahan terdahulu oleh KPM masih terpakai yang memerlukan semua guru untuk kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari.

"Guru yang terbabit dengan kelas peperiksaan SPM, SVM, SKM, STPM, STAM, DVM 2020 perlu hadir ke sekolah untuk tujuan PdP secara bersemuka.

"Guru lain akan melaksanakan PdPR dan kehadiran ke sekolah adalah berdasarkan keperluan ditetapkan ketua jabatan.

"Pelajar kolej matrikulasi perlu kekal di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid," katanya.

Sementara itu, KPM menjelaskan semua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) yang berada di asrama perlu kekal berada di asrama kampus, manakala yang belum mendaftar boleh memilih untuk masuk ke asrama atau kekal berada di rumah masing-masing.

PdP untuk semua pelajar IPG akan dilaksanakan secara dalam talian mulai esok dan perincian berkaitan pelaksanaan praktikum serta tempoh pelatih IPG akan dimaklumkan kelak.

"Pada masa sama, semua tadika swasta yang berdaftar dengan kementerian boleh terus beroperasi secara bersemuka.

"Semua ketetapan ini turut disaran untuk diikuti oleh sekolah yang tidak berdaftar dengan kementerian, termasuk sekolah di bawah kerajaan negeri," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 13 January 2021

INFORMASI MUJALLAH GURU 1953

Datuk Usman Awang (Sasterawan Negara ke-3) pernah berkata, “Lahirnya seorang Perdana Menteri, doktor, peguam dan pensyarah merupakan hasil titik peluh daripada seorang guru yang mengajarnya membaca, menulis dan mengira”. Ini membuktikan jasa guru sangat besar dalam mendidik anak bangsa.



SUMBER : PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA

Tuesday, 12 January 2021

KAPASITI DALAM KELAS MENGIKUT PENJARAKAN FIZIKAL - RADZI

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan tiada menetapkan bilangan khusus untuk pelajar berada dalam setiap bilik darjah di sekolah, sebaliknya ia bergantung pada kapasiti maksimum mengikut penjarakan fizikal.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata prosedur operasi standard (SOP) dalam pelaksanaan baharu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sama seperti arahan sebelum ini, namun ia akan berlangsung dengan lebih ketat.

"Kapasiti dalam bilik darjah adalah berdasarkan penjarakan fizikal.

"Kita tidak menetapkan berapa orang tetapi kapasiti maksimum selagi penjarakan fizikal boleh dilakukan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ujian calitan tidak akan dilakukan terhadap pelajar susulan kekangan sistem kesihatan ketika ini.

"Insya-Allah jika semua mematuhi SOP ditetapkan, kita dapat mengurangkan risiko kesihatan yang ada," katanya.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, antara cabaran utama akan dihadapi pihak sekolah ialah pergerakan pelajar ketika tamat waktu persekolahan.

"Pihak sekolah dan ibu bapa perlu bekerjasama ketika murid bersurai supaya ia berlangsung dengan lebih baik. Kita memohon supaya penjarakan fizikal terus diamalkan ketika tamat waktu persekolahan," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

GURU KELAS AKAN HUBUNGI IBU BAPA MURID TAHUN SATU

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ibu bapa murid Tahun Satu sesi 2021 akan dihubungi guru kelas masing-masing apabila sesi persekolahan bermula.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata walaupun tidak bersemuka di sekolah, guru kelas bertanggungjawab untuk menyelia dan berhubung bagi tujuan pembelajaran kumpulan murid baharu itu.

"Kita mempunyai senarai murid yang akan masuk ke sekolah dan akan ditempatkan di mana. Jadi guru berkenaan akan berhubung dengan ibu bapa untuk melaksanakan pembelajaran itu," katanya.

Mengenai buku teks, Radzi berkata, proses pemulangan dan pengambilan bahan pengajian itu akan dimaklumkan pihak sekolah dalam masa terdekat.

"Kita sedar penggunaan buku teks adalah penting untuk pembelajaran di rumah," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE