Wednesday, 3 February 2021

LEBIH 200,000 PELAJAR TERIMA MANFAAT TUISYEN CIKGU SAARANI

Saarani (tengah) menyerahkan sumbangan RM2.7 juta kepada Mohd Suhaimi bagi Program TCS sempena pelancaran program itu hari ini

IPOH: Lebih 200,000 pelajar dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah (B40) menerima manfaat menerusi pelaksanaan Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) di Perak.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad, berkata program itu merangkumi lima inisiatif dan bantuan khusus iaitu tuisyen dan kelas tambahan, bantuan khas makanan, program latih tubi, seminar dan penyediaan bahan pengajaran interaktif.

Beliau berkata, program yang bermula sejak Isnin lalu bertujuan membantu pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama, termasuk seramai 40,642 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, selain 37,894 pelajar menduduki peperiksaan utama pada tahun ini.

"Kita (kerajaan negeri) turut membantu seramai 30,320 pelajar Tingkatan Empat, pelajar Tingkatan Satu (31,761) dan murid Tahun Satu (31,742).

"Jabatan Pendidikan negeri pula akan menyediakan guru dan tenaga pengajar yang memberikan kelas tuisyen atau kelas tambahan,' katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Bagi program tuisyen, ia hanya merangkumi empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

Yang turut hadir, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Pengarah Pendidikan negeri, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali.

Saarani berkata, untuk permulaan kerajaan negeri memperuntukkan RM2.7 juta bagi bantuan khas makanan kepada 35,639 calon SPM yang menghadiri sesi persekolahan dan kelas tambahan di sekolah sebagai persiapan akhir menjelang peperiksaan.

Katanya, calon terbabit diberikan makanan tengah hari bernilai RM5 secara harian selama tempoh 15 hari sehingga mereka menduduki peperiksaan yang dijadualkan bermula pada 22 Februari ini.

"Ia membabitkan sebanyak 244 sekolah menengah harian dengan 488 guru yang turut berhak menerima bantuan makanan itu,' katanya.

Sementara itu, Ahmad Saidi berkata, bantuan khas makanan itu tidak membabitkan calon atau pelajar dari sekolah berasrama memandangkan pelajar dari golongan itu sedia menerima bantuan makanan daripada kerajaan.

"Program secara tidak langsung memanfaatkan pengusaha kantin sekolah di negeri ini yang rata-ratanya terjejas akibat kemerosotan kehadiran pelajar ke sekolah susulan pandemik COVID-19," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

BANGSAL USANG, TEMPAT REHAT KAWASAN PERKELAHAN JADI LOKASI PdPR

Sebahagian pelajar yang terpaksa menjadikan bangsal usang untuk mengikuti PdPR. 

SETIU: Lebih 100 pelajar di Kampung Payong, di sini menjadikan bangsal usang di dalam kebun sawit dan tempat rehat kawasan perkelahan sebagai tempat bagi mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Liputan internet yang lemah di kampung berkenaan menyebabkan mereka tiada pilihan dan menjadikan kawasan itu sebagai 'pusat PdPR' bagi menuntut ilmu dan supaya tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

Liputan internet yang lemah di Kampung Payong menyebabkan mereka tiada pilihan dan menjadikan kawasan ini sebagai ‘pusat PdPR’. 

Malah, ada antara mereka terpaksa berada di kawasan berkenaan sehingga jam 11 malam bagi mengikuti PdPR sambil ditemani ibu bapa masing-masing.

Masalah liputan internet yang sukar dicapai dan keadaan tidak selesa serta berdepan ancaman haiwan berbisa adakala menyebabkan ada di antara pelajar terbabit berputus asa untuk mengikuti PdPR.

Sebahagian pelajar menjadikan pondok rehat kawasan perkelahan di Kampung Payong sebagai tempat mengikuti PdPR

Pelajar Sekolah Menengah Sains Setiu, Muhammad Fakrul Fattah Abdul Gani, 16, berkata, dia bersama pelajar lain terpaksa mengikuti PdPR di kawasan itu, berikutan rangkaian internet yang lemah di rumah.

"Walaupun keadaan di sini tidak selesa dan liputan internet tidak stabil, kami tiada pilihan kerana tidak mahu ketinggalan kelas," katanya.

Penuntut institusi pengajian tinggi, Nurul Aliana Mat Arif, 21, pula berkata liputan internet tidak stabil menyebabkannya sering ketinggalan ketika mengikuti pembelajaran secara dalam talian dan hilang fokus.

Bagi Rosliza Salleh, 43, berkata, dia terpaksa menemani dua anaknya berusia 12 dan 13 tahun ke lokasi itu bagi menyelesaikan kerja sekolah kerana bimbang dengan keselamatan mereka.

"Tiada kemudahan internet di rumah, jadi mahu atau tidak terpaksa juga ke sini dan adakala saya menemani mereka di sini pada waktu malam," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Payong, Mohd Abdul Jalal Ibrahim berharap, masalah yang berlarutan sejak tiga tahun itu dapat diselesaikan segera.

"Masalah ini sudah lama dan apabila PdPR dilaksanakan, ia lebih merumitkan keadaan, jadi kita harap ada penyelesaian terbaik untuk pendidikan anak kampung ini," katanya.

Sebahagian pelajar yang terpaksa menjadikan bangsal usang untuk mengikuti PdPR berikutan rangkaian internet yang lemah di Kampung Payong



BERITA HARIAN ONLINE

u-PUSTAKA : PANGKALAN DATA PRESS READER PNM

Setakat ini terdapat 2,446 surat khabar daripada dalam dan luar negara yang sentiasa dikemaskimi dari semasa ke semasa bagi memastikan anda mendapat berita terkini yang berlaku di seluruh dunia. 

Semua ini percuma di hujung jari anda. Baca segalanya dalam pangkalan data Pressreader PNM di:

www.u-pustaka.gov.my

Untuk maklumat dan pertanyaan berkaitan pendaftaran dan keahlian u-Pustaka, anda boleh berhubung dengan petugas di Perpustakaan Za'ba IPG Kampus Tuanku Bainun.




u-PUSTAKA : PANGKALAN DATA OVERDRIVE

Perpustakaan Negara Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menyediakan komik untuk dibaca secara percuma. Komik ini boleh diakses dalam pangkalan data OverDrive PNM di:

 www.u-pustaka.gov.my

Untuk maklumat dan pertanyaan berkaitan pendaftaran dan keahlian u-Pustaka, anda boleh berhubung dengan petugas di Perpustakaan Za'ba IPG Kampus Tuanku Bainun.


Tuesday, 2 February 2021

KELAS DALAM TALIAN : DULU TERPAKSA, SEKARANG TERBIASA

Gambar hiasan

PENULARAN wabak COVID-19 menjadi saksi masyarakat dunia terpaksa melalui hari membingungkan dengan norma baharu perlu dipatuhi.

Peristiwa tidak pernah dijangka ini memberi kesan besar kepada semua pihak terutama mereka terbabit dalam sektor ekonomi dan pendidikan.

Di negara ini, pelbagai langkah tegas diambil kerajaan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak ini daripada terus menular dan melumpuhkan negara.

Tindakan itu juga penting untuk memastikan survival masyarakat di negara ini untuk meneruskan kelangsungan hidup, selain perlu membiasakan diri dengan norma baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Institusi pendidikan tidak terlepas daripada tempias penularan wabak COVID-19 hingga sekolah, kolej dan universiti awam (UA) serta swasta terpaksa ditutup bagi mengelak kesan lebih besar.

Walaupun institusi pendidikan ditutup, pendidik tetap perlu meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada semua pelajar tidak kira peringkat sekolah, kolej atau universiti.

Matlamat kerajaan untuk melahirkan generasi cemerlang dan berakhlak tetap perlu diteruskan walaupun ancaman COVID-19 menjejaskan keadaan.

Arahan untuk meneruskan pengajaran dari rumah perlu digalas rapi dan amanah tersebut perlu dilaksanakan dengan baik supaya tidak ada mana-mana pelajar yang tercicir atau ketinggalan dalam pelajaran.

Pelbagai usaha dilakukan semua pihak dalam merealisasikan pembelajaran tanpa bersemuka secara dalam talian dan semestinya pelbagai cabaran terpaksa dihadapi untuk melaksanakannya.

Sebelum penularan wabak COVID-19, institusi pendidikan mengambil langkah sederhana untuk menggalakkan golongan pendidik khususnya di UA dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) untuk memulakan pengajaran menggunakan kaedah dalam talian.

Saranan itu mendapat sambutan baik daripada golongan pendidik namun begitu kaedah pelaksanaan pengajaran secara dalam talian ini memerlukan kreativiti, usaha dan ilmu mencukupi terutama kecekapan menggunakan teknologi canggih, selain pemilihan platform bagi menyampaikan ilmu kepada pelajar.

Pada peringkat awal, pengajaran dalam talian yang terpaksa dilakukan secara drastik ini, sukar dilaksanakan kerana masyarakat sendiri sudah terbiasa dan selesa menerima serta menyampaikan ilmu melalui kaedah bersemuka.

Keadaan menjadi agak mencabar apabila timbul beberapa permasalahan daripada pihak tertentu seperti kekurangan data untuk melayari internet, kekurangan ilmu dalam melaksanakan kelas dalam talian dan komitmen ibu bapa serta pelajar untuk memastikan proses pembelajaran berjalan baik.

Namun, isu ini tidak mematahkan semangat golongan pendidik daripada terus menyampaikan ilmu bahkan permasalahan ini diambil sebagai cabaran perlu ditangkis daripada terus menjadi penghalang kepada pelaksanaannya.

Kerajaan sentiasa memberikan sokongan kepada orang ramai bahkan turut menyediakan data internet secara percuma kepada setiap rakyat untuk memudahkan tenaga pengajar dan pelajar di seluruh negara.

Azam pendidik sama sekali tidak pernah luntur ini menjadi penguat dan hasilnya kaedah pembelajaran dalam talian berjaya dilaksanakan dengan baik.

Kebanyakan institusi pendidikan menyediakan pelbagai latihan bagi membimbing guru dan pensyarah untuk mengendalikan kelas secara dalam talian. Walaupun pada peringkat awal agak sukar dilakukan, hari ini hampir kesemua tenaga pengajar di negara ini mahir mengendalikan kelas secara maya bahkan ramai berjaya mempertingkatkan kualiti pembelajaran mengikut kreativiti tersendiri.

Benar seperti pepatah Melayu mengatakan di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalannya.

Dr Syaimak Ismail dan Dr Mohamad Zaim Isamail
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor

BERITA HARIAN ONLINE

IBU BAPA, PELAJAR DAN GURU WAJAR MANFAAT DATA 1GB PERCUMA UNTUK MEMENUHI KEPERLUAN PDPR

Ibu bapa, pelajar dan guru wajar manfaat data 1GB percuma untuk memenuhi keperluan PdPR.

KUALA LUMPUR: Pelajar, guru dan ibu bapa perlu memanfaatkan sepenuhnya data percuma 1GB setiap hari atau 30GB data percuma sebulan bagi tujuan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, ia susulan peruntukan data percuma ditawarkan syarikat telekomunikasi itu dilanjutkan sehingga 30 April ini.

"SKMM sentiasa mengalu-alukan bantuan daripada syarikat telekomunikasi yang prihatin untuk terutama membantu menjayakan PdPR, iaitu Celcom, Digi, Maxis, UMobile dan Telekom Malaysia (TM).

"Peruntukan data percuma sejak April 2020 ini adalah tambahan kepada pakej langganan data sedia ada dan boleh digunakan untuk mengakses platform sidang video serta menguruskan bahan pengajaran menerusi e-mel sepanjang hari tanpa sekatan waktu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

SKMM berkata, peruntukan itu bagaimanapun tidak terpakai untuk melayari media sosial, menonton video, permainan dalam talian dan melayari muzik.

Suruhanjaya itu berkata, syarikat telekomunikasi juga menyediakan pakej langganan khas untuk pelajar bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sejak 6 Januari hingga April ini.

"Pakej prabayar Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan TM ini menawarkan data 15 GB dengan harga serendah RM20 sebulan.

"Pengguna pakej ini turut dapat menikmati peruntukan 1GB data percuma tambahan setiap hari seperti juga pelanggan pakej lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, SKMM berkata, YTL Communications Sdn Bhd (YTL) turut melanjutkan inisiatif Learn From Home (LFH) sehingga 30 April ini yang turut merangkumi penuntut IPT.

"Pakej istimewa ini menyediakan kad sim percuma dengan data sebanyak 40 GB, kandungan percuma dan telefon percuma untuk pelajar daripada keluarga B40.

"Semua usaha ini diharap dapat membantu mengurangkan bebanan ibu bapa, guru dan pelajar untuk mengikuti PdPR serta memastikan pendidikan generasi muda diberi keutamaan sewajarnya," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Monday, 1 February 2021

SK PAYA BUNGOR EDAR MODUL KEPADA PELAJAR ORANG ASLI

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bungor, Kuantan (kiri) membuka bonet kereta ketika mengedarkan modul pembelajaran kepada pelajar Orang Asli Semoq Beri di Kilometer 56 Jalan Kuantan-Maran dan Kampung Gedung Siam

KUALA LUMPUR: Menyedari pentingnya semua pelajar mendapat akses kepada pendidikan mendorong pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bungor, di Kuantan, menyediakan modul pembelajaran bagi pelajar Orang Asli yang tidak mempunyai liputan internet.

Modul membabitkan lima subjek iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Agama Islam, dihantar sendiri guru SK Paya Bungor ke perkampungan Orang Asli Semoq Beri di Kilometer 56 Jalan Kuantan-Maran dan Kampung Gedung Siam, di sini.

Sejak dimulakan, inisiatif itu memanfaatkan hampir 100 pelajar Orang Asli di peringkat prasekolah serta Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah berkenaan.

Guru SK Paya Bungor, Noor Syazuan Zulkifli, 36, berkata kaedah pemberian modul itu lebih berkesan dalam memastikan tiada pelajar di pedalaman tercicir daripada mengikuti Pengajian dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hanya disebabkan capaian internet tidak stabil.

Selain edaran modul, katanya, pelajar juga diberi lembaran kerja untuk membuat latihan dan perlu dipulangkan melalui bakul disediakan di sekolah bagi memudahkannya disemak oleh guru.

Sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP), modul disediakan akan diletakkan di dalam bonet kereta guru dan diambil secara bergilir-gilir oleh ibu bapa atau pelajar.


"Usaha ini juga mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) yang akan menghebahkan kedatangan guru ke perkampungan berkenaan.

"Disebabkan sambutan baik terhadap inisiatif ini, pengurusan SK Paya Bungor berhasrat memperluaskan edaran modul dan lembaran kerja ke kampung lain yang berdepan masalah capaian internet.

"Edaran ini akan dilakukan dengan ketat mengikut SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan tidak berlaku penularan COVID-19," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sementara itu, ibu pelajar, Sainon Li, mengucapkan terima kasih atas inisiatif SK Paya Bungor menghantar sendiri modul dan lembaran kerja ke perkampungan itu bagi memastikan tiada pelajar ketinggalan dalam mengikuti PdPR.

Ibu kepada dua anak yang menuntut di SK Paya Bungor itu berkata, capaian internet di Kampung KM56 Jalan Kuantan-Maran tidak menentu, sekali gus menyukarkan pelajar menumpukan kepada PdPR dalam talian.

"Sebagai ibu tentulah saya mengambil berat hal pembelajaran anak-anak tetapi jarak sekolah dan kampung yang jauh menyukarkan kami ke sekolah untuk mengambil modul pembelajaran, tambahan lagi dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

"Justeru, kesanggupan guru memandu sendiri ke kampung ini bagi membantu pelajar adalah suatu usaha yang perlu dipuji," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE