Friday, 19 February 2021

DidikTV: PELUANG IBU BAPA, PIBG MAIN PERANAN DEMI KECEMERLANGAN PENDIDIKAN


KUALA TERENGGANU: Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Ia membawa maksud segala-galanya yang dikehendaki atau diperlukan sudah pun diperoleh.

Itu peribahasa tepat untuk menggambarkan sistem pendidikan di negara ini yang semakin lengkap dengan adanya saluran khusus TV pendidikan secara terestrial iaitu DidikTV Kementerian Pendidikan (KPM) yang dilancarkan Rabu lalu, untuk membantu proses Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR).

Presiden Persatuan Lepasan Asasi Sains Universiti Malaya (PLAS), Datuk Ir Wan Nazari Yusoff, berkata ketika ini keberkesanan pendidikan sangat bergantung kepada sikap ibu bapa dalam memantau aktiviti anak mereka di rumah memandangkan kerajaan sudah menyediakan pelbagai kemudahan yang sesuai bagi semua golongan rakyat untuk membantu melancarkan lagi pelaksanaan PdPR.

"DidikTV KPM ini sepatutnya dilaksanakan lebih awal lagi pada tahun lalu semasa sekolah diarah tutup, namun ia masih belum terlambat untuk rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan baharu ini.

"Kini, tiada lagi alasan masalah peranti atau capaian Internet yang lemah kerana DidikTV KPM adalah penyelesaian terbaik. Saya juga melihat pentingnya peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah agar pemantauan untuk menilai tahap kefahaman pelajar dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau yang juga bekas Yang Dipertua PIBG Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit di Kuala Nerus berkata, setiap ahli jawatankuasa PIBG juga boleh dilantik menjadi mentor untuk setiap tingkatan di sekolah.

"Konsep mentor mentee antara ibu bapa, guru dan AJK PIBG yang dilantik sebagai pemantau ini penting untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan DidikTV KPM dan kaedah PdPR yang lain agar berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan," katanya.

Pada Rabu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan DidikTV KPM menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI, bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari untuk meningkatkan akses pendidikan seluruh negara.

Bagi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Felda Tersat, Hulu Terengganu, Nor Suhaimi Abdul Latif pula, DidikTV KPM akan lebih menarik minat murid kerana sistem audio visualnya yang lebih cantik, jelas dan besar bergantung kepada saiz televisyen di rumah.

Katanya, ia lebih mudah kerana boleh ditonton pada bila-bila masa, sama ada secara siaran langsung atau ulangan, malah ibu bapa juga akan menikmati penjimatan dalam pembelian data Internet.

"Apa yang perlu dilakukan ibu bapa hanya pantau anak mereka agar mengikuti PdPR dengan mengikut jadual yang disediakan. Bagi guru pula, mereka boleh menyediakan soalan secara salinan kerja rumah atau 'google sheet' kepada murid sama ada sebelum atau selepas siaran.

"Murid boleh menghantarnya di pondok jaga sekolah atau di pusat komuniti terpilih dan dipungut oleh guru. Jika secara 'google sheet', guru boleh memeriksa kerja sekolah murid secara terus apabila murid menyiapkannya secara dalam talian," katanya yang yakin DidikTV KPM akan menjadi pilihan terbaik untuk murid terutama di kawasan pedalaman.

Sementara itu, Pengetua SMK Seri Cheneh, Kemaman Mohamad Saberi Salleh berkata, tempoh siaran DidikTV KPM dari pagi hingga ke malam dapat memberi peluang kepada ibu bapa untuk sama-sama memantau aktiviti PdPR anak mereka selepas waktu kerja atau apabila mereka berada di rumah.

"Setiap pengajaran dan pembelajaran kebiasaannya dirancang mengikut Rancangan Pelajaran Tahunan dan Mingguan oleh guru.

Dalam hal ini, guru perlu ada jadual Rancangan DidikTV KPM ini supaya apa yg dirancang selari dengan jadual mereka.

"Dari segi menilai kefahaman pelajar pula, guru masih boleh memantau dengan menggunakan aplikasi WhatsApp untuk terus membimbing pelajar mereka," katanya sambil berharap semua pihak khususnya ibu bapa dan murid memanfaatkan sepenuhnya DidikTV KPM demi kecemerlangan anak mereka.

BERNAMA ONLINE

Thursday, 18 February 2021

DidikTV KPM PERKASA BUDAYA ILMU

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap ketika pelancaran DidikTV KPM semalam

KUALA LUMPUR: Selepas hampir setahun penularan pandemik COVID-19 merencatkan sistem pendidikan negara, pengenalan platform mencerminkan iltizam kerajaan dalam meneruskan usaha memperkasakan ilmu.

Kaedah belajar seeara menonton televisyen yang lebih selesa berhanding melihat paparan skrin telefon, dengan sendirinya menjadikan DidikTV KPM sebagai pelengkap proses Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang kerap berdepan isu peranti dan capaian internet. 

Sejajar usaha menerapkan nilai murni dalam diri dan mewujudkan masyarakat berpengetahuan, Kementerian Pendidikan memastikan pengisian jadual diimbangi dengan program bercorak didik hibur serta kandungan hasil kreativiti murid.

Ketika melancarkan DidikTV KPM yang kini disiarkan sepenuh masa menerusi saluran ntv7 bermula semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin optimis inisiatif itu berupaya membantu pelaksanaan PdPR secara lebih menyeluruh.

Perdana Menteri berkata, saluran yang dipancarkan di seluruh negara bermula semalam itu diharap mampu menyediakan pembelajaran berkualiti, khususnya bagi murid yang tidak mempunyai capaian kepada pendidikan secara dalam talian.

Selain itu, katanya, ibu bapa yang ketika ini perlu menggalas sehahagian tanggunmawah sebagai guru memandangkan sekolah ditutup berikutan pandemik COVID-19, boleh meluangkan masa untuk menonton DidikTV KPM bersama anak-anak mereka.

"Segala usaha ini memerlukan sokongan padu dan kerjasama erat daripada semua pemegang taruh, khususnya murid, guru dan juga ibu bapa.

"Marilah kita bersatu hati melaksanakan tanggungjawab dalam menjayakan agenda besar pendidikan negara ke arah yang lebih cemerlang demi masa depan generasi pewaris negara.

"Besar harapan saya supaya saluran DidikTV KPM akan menjadi platform untuk memperkasakan lagi budaya ilmu, menerapkan nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi," katanya pada ucap tama pelancaran DidikTV KPM yang disiarkan secara langsung, semalam.

Mengimbau usaha terdahulu, Muhyiddin berkata, siaran televisyen pendidikan yang disiarkan secara terestrial sekitar 1972 melalui pelbagai dalam aspek kandungan siaran dan kaedah penyampaian.

Pada 1 Mac 2008, katanya, televisyen pendidikan secara terestrial ditukar kepada format dalam talian melalui portal EduwebTV dan seterusnya ditamatkan pada 1 Januari 2009.

"Namun demikian, KPM mengambil inisiatif menghidupkan kembali slot program televisyen pendidikan secara terestrial pada awal tahun lalu, iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020.

"Ini sebagai usaha untuk mem- bolehkan murid mendapat akses kepada bahan melalui televisyen.

"Baru-baru ini saya berkesempatan menonton slot 'Road to Success SPM 2020' bagi subiek Matematik Kertas 1 oleh Cikgu Arzman Saad.

"Antara yang menarik perhatian sava ialah cara penyarnpaian guru yang begitu kreatif Serta mudah diterima dan difahami oleh murid, malah difahamkan bahawa hanya guru berpengalaman dalam bidang masing-masing ditampilkan supaya kualiti pengajaran ialah pada tahap yang terbaik.

"Tahniah kepada guru-guru yang begitu komited mendidik anak murid dalam apa juga keadaan. Program sebegini adalah sangat baik bagi membantu calon peperiksaan Sijil Pelaiaran Malaysia (SPM) yang akan mula menduduki peperiksaan pada minggu depan," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin kata. DidikTV KPM akan menyiarkan program yang berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM.

Selain itu, katanya, saluran khas yang akan bersiaran dari jarn 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari itu akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan daripada peringkat pra-sekolah hingga Tingkatan Enam, program bercorak didik hibur serta kandungan hasil kreativiti murid.

"Malah, kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai-nilai murni dan pembangunan karakter murid akan turut disiarkan," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

DIDIKTV KPM TINGKAT AKSES PENDIDIKAN


 

Wednesday, 17 February 2021

DidikTV KPM PELENGKAP PdPR


KUALA LUMPUR: Langkah Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan saluran khusus TV Pendidikan, DidikTV KPM yang mula bersiaran hari ini, mampu mengatasi banyak isu dalam proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Antara lain, inisiatif berkenaan akan dapat membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan miskin yang berdepan masalah mengikuti PdPR kerana tiada gajet atau masalah capaian internet.

Dekan Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Abdul Rahim Razalli juga percaya, DidikTV bakal merapatkan jurang di antara pelajar di bandar dan luar bandar, selain menjadi pelengkap kepada PdPR.

"Saluran TV pendidikan memang ditunggu-tunggu ibu bapa dan guru kerana ia boleh meliputi seluruh negara, membantu mengatasi isu pelajar keciciran atau ketinggalan ketika tempoh pandemik kerana faktor gajet dan internet.

"Kandungannya biasanya menggunakan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), bermakna KPM dapat memastikan kurikulum pelajar di seluruh negara dalam tempoh pandemik ini adalah selaras.

"Saluran itu juga menggunakan guru cemerlang dan mahir menggunakan kaedah pengajaran yang boleh diterima semua, sekali gus memastikan standard pengajaran yang sama di seluruh negara.

"Melalui TV Pendidikan, konsep kesamarataan dalan pendidikan dapat diterjemahkan dan tiada jurang yang terlalu besar antara golongan bandar dan luar bandar," katanya ketika dihubungi BH.


Abdul Rahim berkata, kebiasaannya, kandungan TV Pendidikan adalah sama dengan sukatan pelajaran yang diajar di sekolah, sekali gus membantu murid untuk lebih faham apa yang diajar guru dalam PdPR.

"Jika sesi persekolahan secara bersemuka kembali pada masa depan, guru boleh terus menyambung daripada apa yang dipelajari melalui PdPR dan DidikTV KPM kerana kandungannya selaras DSKP dan buku teks," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik, berkata pihaknya turut menyokong penuh usaha KPM memperkenalkan saluran DidikTV dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk murid di seluruh negara.

"Tepat pada masanya, saluran TV pendidikan seperti ini diperlukan demi membantu murid seluruh negara mendapat akses pembelajaran melalui televisyen di rumah ketika wabak COVID-19 melanda seluruh dunia.

"Mengikuti pendidikan secara dalam talian memang bagus, tetapi terdapat kekangan dalam kalangan sesetengah murid dan keluarga yang tidak mampu menyediakan peranti. Pada masa sama, ada beberapa kawasan alami liputan internet tidak stabil, malah ada langsung tiada internet," katanya.

Beliau berkata, DidikTV memudahkan pengajaran kerana rata-rata setiap keluarga memiliki televisyen dan mudah mendapat capaian siaran.

Jasni berharap ibu bapa dapat membimbing anak-anak mereka mengikut penjadualan yang bakal disediakan DidikTV dan apabila sesi persekolahan dibuka semula kelak, guru masih boleh menjadikan DidikTV sebagai nilai tambah kepada PdP di kelas.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bangsar, Mohd Yazid Mohd Yasin, yakin DidikTV akan memberi banyak manfaat kepada pelajar.

Sambil menyambut baik inisiatif KPM itu, beliau berharap saluran berkenaan akan membantu mengatasi isu pembelajaran dalam talian dihadapi sesetengah pelajar, ibu bapa dan guru.


"Yang penting, kandungannya perlu menjurus pada silibus KPM. Ini memang harapan ibu bapa kerana jika pengisian hanya bersifat pengetahuan umum, ia tidak memberi impak mendalam. DidikTV akan melengkapkan pendidikan pelajar dalam tempoh pandemik ini," katanya.

Bagi Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, Nazri Ahmad, DidikTV ditunggu-tunggu ibu bapa yang berdepan kekangan kos untuk membeli data internet dan gajet kepada anak-anak untuk mengikuti PdPR.

Katanya, ramai pelajar, sama ada di bandar atau luar bandar, ketinggalan pelajaran apabila terpaksa bergantung pada PdPR dalam talian semata-mata kerana terpaksa berkongsi penggunaan telefon pintar atau peranti lain dengan adik-beradik atau ketika ibu bapa keluar bekerja.

"Saya yakin usaha ini tidak akan menjadi pembaziran dan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Kita kena cuba dulu. Mungkin ia boleh menjadi siaran yang ditunggu-tunggu pelajar seperti zaman dahulu," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 16 February 2021

IBU BAPA, PELAJAR LUAR BANDAR TERUJA DidikTV


Kuala Lumpur: Ibu bapa dan pelajar di luar bandar antara yang paling teruja menunggu siaran saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM yang bermula esok.

Mereka berharap dengan inisiatif diambil KPM itu, proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, berbanding secara dalam talian yang sering terganggu disebabkan liputan internet yang lemah.

Di Sik, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Chepir, Nurul Ain' Muhamad Nazri, 12, mengakui sangat teruja apabila mengetahui DidikTV KPM akan mula bersiaran, esok.

"Capaian internet di rumah saya kurang memuaskan untuk belajar secara maya. Saya juga kurang selesa belajar kerana saiz telefon saya kecil. Jadi, apabila ada DidikTV, saya lebih senang dan yakin akan lebih puas belajar sebab layar televisyen lebih besar.


"Kami murid di luar bandar pasti akan mendapat manfaat dengan saluran khusus diperkenalkan KPM ini dan tak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada internet," kata anak keempat daripada lima beradik ini.

Jumaat lalu, KPM mengumumkan akan memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM mulai 17 Februari.

Majlis pelancaran saluran yang bersiaran dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari itu, akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada jam 8 pagi hari pertama siaran.

KPM memaklumkan, saluran DidikTV itu juga satu platform untuk memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakai di Kuala Ketil, Baling, Habibah Md Tanziri, 33, juga mengakui inisiatif KPM itu akan memberi banyak manfaat dan dimensi baharu untuk pelajar mengikuti PdPR.


Katanya, sebagai pendidik di kawasan luar bandar, beliau melihat sendiri cabaran dihadapi pelajarnya disebabkan capaian internet yang perlahan.

"Sebelum ini, jika saya kongsi video tutorial, proses untuk memuat naik atau memuat turun video sangat lambat kerana masalah internet. Sekarang dengan DidikTV, pelajar akan lebih mudah untuk belajar tanpa gangguan.

"Sekiranya pelajar kurang faham subjek yang diajar menerusi tontonan TV, pasti guru akan lebih mudah memberi penerangan lanjut kerana kami juga melihat dan mendengar perkara yang sama di televisyen," katanya.

Bagi Tan Guang Cheong, 56, beliau sangat gembira apabila kerajaan memperkenalkan saluran khusus berkenaan selepas hampir setahun anaknya terpaksa belajar di rumah.

"Sekiranya anak dapat belajar menerusi televisyen, kami ibu bapa juga dapat duduk sekali untuk menghayati apa yang guru ajar, sama seperti belajar secara bersemuka. Anak akan lebih memberi tumpuan berbanding PdPR dalam talian.

"Apa yang saya lihat, apabila belajar dalam talian, anak kurang serius kerana tidak dipantau sepenuhnya, saya dan isteri pun bekerja. Apabila ada DidikTV, saya yakin anak akan lebih mudah faham setiap subjek yang diajar," katanya yang tinggal di Jitra.

Di Gua Musang, ibu bapa kepada murid Orang Asli di lapan sekolah pedalaman daerah ini menyambut baik usaha KPM yang diyakini memudahkan semua pelajar mengikuti pengajian lebih berkesan sepanjang sekolah ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lapan sekolah di perkampungan Orang Asli di Gua Musang adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Bihai, Tohoi, Pasik, Pasir Linggi, Hendrop, Pos Brooke dan Pulat.

Penghulu Orang Asli Pos Tuel, Halim Shariff mengakui murid Orang Asli di pedalaman sukar belajar dalam talian kerana capaian internet yang lemah, malah ada sesetengah kampung masyarakat itu langsung tiada liputan internet dan rata-rata penduduk tiada telefon pintar.

"Kami harap dengan adanya DidikTV, ia akan membawa perubahan dalam dunia pendidikan dan boleh ikuti di rumah," katanya.

Kamal Rami, 52, dari Pos Brooke, berkata beliau mahu melihat anak-anaknya belajar dalam keadaan sempurna, sekali gus melihat DidikTV sebagai langkah yang bijak demi memastikan tiada jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar .

Di Johor Bahru, pekerja swasta, R Chitra, 42, berharap DidikTV dapat memenuhi silibus pembelajaran takwim terbaru pelajar, selain mampu menarik minat pelajar mengikuti pembelajaran.

"Pembelajaran secara visual lebih digemari anak, teknik penyampaian perlu menarik perhatian supaya pelajar kekal di hadapan televisyen serta memahami subjek. Dalam keadaan semasa, saya yakin DidikTV boleh membantu dan menyokong kaedah PdPR.

"Ia dijangka mampu menyelesaikan 70 peratus masalah capaian internet yang digunakan dalam PdPR kerana semua rumah mempunyai siaran televisyen berbanding capaian internet," katanya.

Dua anaknya, P Sacheen, 11, dan P Rovan, 9, juga berharap DidikTV dapat memberi kefahaman lebih mendalam mengenai sesuatu subjek kerana pembelajaran di televisyen lebih mudah dan menyeronokkan.




"Kalau guna telefon, skrin agak kecil dan capaian internet perlahan. Mungkin pembelajaran di televisyen berbeza, menarik dan lebih selesa. DidikTV antara pilihan yang perlu ada bagi menyokong PdPR, selain latihan," kata mereka.

BERITA HARIAN ONLINE

CUEPACS SOKONG PdPR 2.0 DITANGGUH


SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyokong penuh kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkenaan permohonan penangguhan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) 2.0.

Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, pelbagai masalah dalam PdPR 1.0 perlu diperbaiki secara menyeluruh sebelum PdPR 2.0 dilaksanakan.

Menurutnya, NUTP telah melakukan kajian dan mempunyai sebab yang kukuh untuk memohon penangguhan PdPR 2.0 berdasarkan kepada realiti pembelajaran rakyat Malaysia sepanjang tempoh Covid-19.

“Pelbagai pendapat serta pandangan bagi pihak yang terlibat termasuk ibu bapa dan guru telah diambil kira dalam kajian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya merasakan sudah tiba masanya ia ditangguhkan disebabkan pelbagai faktor seperti capaian internet, gajet untuk pembelajaran serta keadaan ruang belajar yang selesa.

“Ini dapat dilihat di kawasan pedalaman yang mempunyai masalah capaian internet dan guru-guru terpaksa mencari alternatif lain seperti terpaksa meredah sungai atau hutan untuk memberi tugasan kepada murid.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang, ramai penjawat awam tidak mampu menyediakan gajet untuk lima anak dan harga gajet sekarang mahal kerana permintaan yang tinggi pada waktu ini.

"Kemudahan jalur lebar dan telefon pintar serta komputer riba sangat penting bagi memastikan proses PdPR berjalan secara lancar sepanjang pandemik Covid-19,” katanya.

SINAR HARIAN ONLINE

MANSUH PdPR 2.0, GUNA KAEDAH PdPR 1.0

Aminuddin Awang

SHAH ALAM- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mengekalkan cara pembelajaran Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah 1.0 (PdPR 1.0) yang lebih flekisibel berbanding PdPR 2.0 yang digunapakai hari ini.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, ini memandangkan jadual waktu PdPR 2.0 yang diselarasakan, diatur seperti jadual sesi persekolahan secara bersemuka sekitar jam 7 pagi hingga 1 petang yang menimbulkan pelbagai masalah.

Katanya, KPM perlu mengekalkan cara pembelajaran PdPR 1.0 yang hanya memperuntukkan masa beberapa jam sahaja untuk murid sekolah rendah dan juga pelajar sekolah menengah.

“Perkara ini dibangkitkan kerana KPM seolah-olah tidak mengambil kira situasi semasa yang menambah bebanan kepada murid yang terpaksa berkorban menggunakan peranti iaitu telefon bimbit yang turut dikongsi dengan adik beradik yang lain dan juga ada yang menggunakan telefon ibu dan bapa mereka.

“Maka Pihak KPM seharusnya melihat situasi semasa yang dihadapi guru, murid dan ibu bapa yang amat tertekan dengan situasi semasa ketika negara masih lagi berperang dengan wabak Covid-19.

“Ada ibu bapa yang tidak berkemampuan membeli telefon bimbit untuk anak-anak mereka, maka ramai antara pelajar ini terpaksa berkongsi telefon bimbit dan ini menimbulkan masalah yang tidak berkesudahan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Aminuddin berkata, pelaksanaan PdPR versi 2.0 perlu dilakukan dengan merujuk kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang menetapkan setiap murid mendapat akses kepada pendidikan untuk mencapai potensi diri bagi menghadapi kehidupan masa hadapan.

Menurut beliau lagi, seharusnya semua golongan pelajar berhak mendapat peluang mengikuti pendidikan, meskipun mereka tidak dapat hadir ke sekolah.

Justeru Aminuddin menegaskan, pihak KPM harus memikirkan pendekatan terbaik bagi meneruskan pembelajaran anak-anak di rumah dengan tidak menambah bebanan dan tekanan kepada mereka.

Tegasnya, KPM seharusnya memudahkan dan menambah baik PdPR 1.0 yang lebih baik dan fleksibel dan boleh diterima oleh murid-murid dan ibu bapa.

"Panduan pelaksanaan jadual waktu PdPR 2.0 dilihat agak membebankan dengan peruntukan masa yang ditetapkan mulai jam 7.30 pagi hingga jam 1.00 tenga hari iaitu lima jam setengah dan peruntukkan masanya yang lebih lama.

"Berbanding sebelum ini dalam PdPR versi 1.0 yang hanya memperuntukkan masa untuk pra sekolah selama dua jam, sekolah rendah dua hingga tiga jam dan menengah rendah dan atas tiga hingga empat jam," katanya lagi.

Aminuddin menambah, peruntukkan masa tempoh layar maksimum mengikut umur itu adalah berdasarkan sumber daripada www.eyepromise.com dengan merujuk kepada The American Of Pediatrics (AAP) dan World Health Organization [WHO].

Aminuddin menegaskan, pihak KPM dengan jelas tidak mematuhi panduan tempoh layar maksimum tersebut dan perkara itu perlu diteliti semula.

SINAR HARIAN ONLINE