Thursday, 11 August 2022

PERLU TELITI JIKA MAHU PINDA AKTA PENDIDIKAN 1996

Datuk Dr Radzi Jidin

SERDANG: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menimbang secara mendalam cadangan beberapa pihak termasuk ahli akademik dan pakar perundangan yang mahu kerajaan meminda Akta Pendidikan 1996 bagi mewajibkan persekolahan sehingga ke Tingkatan Lima.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata banyak perbincangan sudah dibuat berikutan ia membabitkan pelbagai aspek kerana pindaan akta tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

"Dalam konteks ini, banyak perbincangan sudah dibuat kerana ia membabitkan pelbagai sudut.

"Banyak perkara kita teliti daripada perspektif yang berbeza. Jadi sebab itu apabila kita bercakap mengenai akta pendidikan ini, ia tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Wacana Dr Radzi Jidin bertajuk Eksplorasi Dunia Pertanian di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Radzi berkata, apabila pindaan akta ingin dibuat, ia perlu dilakukan dengan sebaiknya kerana apa-apa yang menyalahi akta akan diambil tindakan.

"Jadi kita kena teliti satu persatu apabila kita bercakap tentang akta pendidikan. Sebab itu apabila kita dengar perbincangan di luar sana, kita memang sentiasa melihat apakah penambahbaikan yang boleh dibuat.

"Bagaimanapun pada masa sama, kita melihat daripada pelbagai sudut, bukan sahaja boleh lihat secara umum tapi kita perlu lihat secara mendalam berkaitan dengan akta pendidikan dalam mengambil kira pelbagai aspek termasuk nanti aspek penguasaannya," katanya

Dalam perkembangan lain ditanya media mengenai penggabungan sekolah murid, Radzi berkata perkara itu perlu diteliti berikutan membabitkan banyak proses.

"Pelbagai aspek perlu diteliti sebelum kita membuat sebarang keputusan berkaitan dengan penggabungan itu.

"Sebab kita tidak mahu perkara ini dipolitikkan. Apabila bercakap penggabungan, bukan proses baharu kerana ia memerlukan kajian dan penelitian," katanya.

BERNAMA ONLINE

Tuesday, 9 August 2022

UPSR, PT3 TIDAK AKAN DIADAKAN SEMULA

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin bergambar bersama peserta latihan khusus Pegawai Integriti Bertauliah selepas merasmikan penutupan Majlis Seminar Kelestarian Integriti (SKI) Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di Putrajaya. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Pengarah Akademik Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Timbalan Pesuruhjaya Datuk Idris Zaharudin.

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) kekal dengan pendiriannya memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) walaupun terdapat permintaan daripada ibu bapa yang mahu ia dilaksanakan semula.

Timbalan Menteri Pendidikan ll, Datuk Mohamad Alamin, berkata UPSR dan PT3 dimansuhkan kerana KPM mahu melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang dan tidak terhad dalam bidang akademik sahaja.

Beliau berkata, perkara itu sudah diputuskan sebelum ini dan pihaknya berulang kali memberikan penerangan kepada masyarakat serta ibu bapa berkaitan dengan pemansuhan dua peperiksaan berkenaan.

Katanya, keputusan itu dilakukan kerana KPM mahu mengambil pendekatan yang lebih inklusif dan tidak mahu pelajar berkenaan hanya bergantung kepada peperiksaan semata-mata.

"Kita sudah putuskan untuk hapuskan kerana mahu jadikan dan lahirkan modal insan yang berkebolehan dalam banyak bidang lain, bukannya soal akademik semata-mata.

"Kita mahu Malaysia ini bergerak sebagai sebuah negara yang lebih maju, (maka) kita ingin bekalkan negara dengan modal insan yang mempunyai kepakaran pelbagai, bukan hanya dalam bidang akademik tetapi bidang lain juga.

"KPM tidak akan lahirkan modal insan yang hanya berorientasikan peperiksaan, itu tujuan utamanya. Percayalah kita akan bantu negara untuk lahirkan modal insan yang lebih berkebolehan, bukan hanya akademik sahaja," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program Pegawai Intergiriti Bertauliah (CEIO) Siri 31, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan semakin ramai ibu bapa yang menuntut supaya UPSR dan PT3 dikembalikan dalam sistem pendidikan negara kerana berpendapat KPM masih belum bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai pendekatan tunggal kepada sistem penilaian di sekolah.

Perkara itu disebabkan tiga prasyarat utama PBD masih belum dipenuhi hingga kini sekali gus menambah keresahan ibu bapa terhadap keberkesanan pendekatan baharu berkenaan.

Tiga prasyarat itu ialah bilangan murid yang ideal antara 20 hingga 25 orang dalam kelas bagi memudahkan guru memantau dan menilai; kedua ialah sukatan pelajaran yang tidak terlalu padat bagi memberi laluan kepada pelbagai aktiviti di dalam kelas dan syarat ketiga ialah guru perlu diberikan autonomi sepenuhnya untuk mentaksir murid.

Pada 28 April tahun lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan UPSR dimansuhkan sepenuhnya manakala pada tahun yang sama PT3 turut dibatalkan.

Selaras dengan pemansuhan berkenaan, Radzi berkata, pihaknya akan melaksanakan PBD untuk mengukur pencapaian murid dan pelajar terbabit.

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul manakala PT3 dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Sementara itu, dalam ucapannya sempena majlis berkenaan, Mohamad meminta guru KPM supaya menggunakan media sosial dengan sewajarnya kerana secara tidak langsung mereka membawa imej kementerian kepada umum.

Beliau berkata, KPM sudah mengeluarkan Garis Panduan dan Etika Penggunaan Media Sosial bagi Guru dan Murid pada Januari 2017, untuk menerangkan tatacara, peraturan serta kawalan kandungan media sosial yang perlu dipatuhi oleh guru dan murid supaya penyebaran dan perkongsian maklumat terkawal, selain tidak menjejaskan kepentingan perkhidmatan awam juga kedaulatan negara.

"Dokumen ini dengan jelas menyatakan perkara yang dilarang dilakukan oleh guru dan murid ketika menggunakan media sosial antaranya membuat sebarang penyataan menyentuh perkara yang boleh menjejaskan imej dan dasar kerajaan.

"Sebenarnya kementerian sudah selangkah ke hadapan untuk mengawal risiko penggunaan media sosial dengan mewujudkan dokumen ini. Oleh itu, perlu untuk setiap warga kementerian, ibu bapa dan murid sekolah cakna akan kewujudan dan garis panduan ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) Datuk Idris Zaharudin dalam ucapannya pula berkata KPM adalah kementerian pertama yang melaksanakan program CeIO secara 'in house' bersama MACA membabitkan 57 pegawai kanan.

"Ini menunjukkan KPM komited dalam memartabatkan nilai integriti khususnya pada warga KPM. Program CeIO ini dilihat selari dengan visi dan misi KPM untuk membangunkan potensi individu bagi melahirkan insan terdidik," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 6 August 2022

KPM LAKSANA PEMUTIHAN TANAH SEKOLAH

Datuk Dr Radzi Jidin

KAJANG: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan proses pemutihan ke atas pemilikan tanah yang digunakan untuk pembinaan sekolah di seluruh negara.

Ini kerana, banyak pemilikan tanah membabitkan pembinaan sekolah KPM yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan dikenal pasti bukan milik Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) mahupun kerajaan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata proses pemutihan itu perlu dibuat bagi memastikan semua pemilikan tanah bagi pembinaan sekolah seliaan KPM adalah milik JKPTG atau kerajaan.

Beliau berkata, keadaan itu akan memudahkan pelaksanaan sebarang projek pembinaan sekolah, sekali gus menyelesaikan isu pemilikan tanah yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Selain itu, katanya, KPM turut menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyelesaikan beberapa perkara berbangkit, terutama membabitkan sebarang kelulusan berkaitan pengurusan berkenaan.

"Kerjasama dengan PBT juga antara perkara ditekankan. Kadang-kadang (isu pengambilan tanah) selesai tetapi sangkut di PBT. Ada perkara yang kita perlu duduk dan bincangkan bagi memastikan perkara ini tak menjadi penghalang kepada pembinaan sekolah.

"Banyak perkara membabitkan pelbagai kelulusan dan kelemahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 diambil kira bagi memastikan ia tidak menjejaskan pembangunan infrastruktur berkaitan sekolah," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kejohanan Olahraga Tahunan Keenam Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 17(1) di sini, hari ini.

Beliau mengulas LKAN 2021 Siri 1 yang mendapati pengurusan projek pembinaan sekolah kurang cekap dan kurang berkesan, berdasarkan skop dan sampel audit projek meliputi 19 projek pembinaan sekolah baharu antara 2016 hingga 2021 di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Ia dikesan susulan berlaku kelemahan di peringkat perancangan, prapelaksanaan dan pelaksanaan projek KPM, perunding dan kontraktor, selain masalah koordinasi dengan kerajaan negeri, PBT dan syarikat utiliti serta isu ketersediaan tapak projek turut menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan projek.

Radzi berkata, pihaknya turut memberikan keutamaan kepada usaha menyambung semula pelaksanaan projek sekolah terbengkalai di seluruh negara bagi mengelak struktur bangunan bertambah teruk.

"Fokus kita adalah untuk menyiapkan pembinaan sekolah terbengkalai kerana keadaannya semakin teruk dan kos pembinaan asal itu sudah bertambah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, pihaknya berusaha untuk membawa perbincangan mengenai penetapan kadar baharu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bersama Kementerian Kewangan (MOF).

"Ini kerana, MOF adalah pihak yang akan menentukam kadar baharu RMT dan kita sentiasa memperjuangkan perkara ini. Kita tahu ada keperluan (menaikkan kadar RMT) namun perlu mengambil kira kekangan kewangan kerajaan," katanya.

Mengenai 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak menyambung pengajian, Radzi meminta Jabatan Perangkaan (DOSM) memperincikan data hasil kaji selidik dilakukannya itu secara menyeluruh.

Ini kerana, katanya, kaji selidik itu membabitkan dimensi masa yang panjang, selain hasilnya tidak memperincikan kohort dan golongan umur responden yang terbabit dalam kajian berkenaan.

"Antara contoh soalan ditanya ketika itu ialah belajar setakat mana? Jadi kita tak tahu kohort umur mana kerana ia diambil secara menyeluruh. Justeru, untuk mendapat maklumat lanjut, kena teliti kohort dan golongan umur mana.

"Kalau kita bercakap tentang tak sambung pengajian membabitkan kohort berusia 60 tahun ke atas, pastinya akses pendidikan ketika itu berbeza berbanding sekarang.

"Jadi DOSM perlu memperincikan hasil kajian dengan memberi tumpuan apakah dimaksudkan mengenai peratusan itu, selain ia merujuk kepada kohort mana bagi mengelak kekeliruan," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, 4 August 2022

SEKOLAH TAK SIAP JEJAS KUALITI PENDIDIKAN

SMK Jalan Sungai Besi, antara sekolah tersenarai projek lewat dimulakan.

KUALA LUMPUR: Projek pembinaan sekolah yang gagal disiapkan mengikut perancangan berupaya mewujudkan kesan domino, selain menjejaskan kualiti pendidikan negara.

Pakar pendidikan dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Rosna Awang Hashim, berkata keadaan itu juga boleh menyebabkan tekanan kepada ibu bapa yang mungkin perlu menghantar anak ke sekolah lebih jauh.

"Pembangunan sekolah selalunya dibuat berdasarkan keperluan komuniti, seiring dengan pembangunan setempat membabitkan peningkatan penduduk.

"Jika ada sekolah tidak siap, kapasiti sekolah sedia ada mungkin akan ditingkatkan, yang menyebabkan bilangan murid di kelas bertambah.

"Apabila ini berlaku, kualiti pendidikan mungkin akan terjejas, selain menyukarkan ibu bapa dari segi jarak bagi menghantar anak ke sekolah," katanya kepada BH.

Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 1 semalam, menyebut i pengurusan projek pembinaan sekolah didapati tidak cekap dan kurang berkesan menyebabkan 19 projek pembinaan sekolah baharu di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, tidak siap sepenuhnya.

Ia menyebabkan objektif untuk menampung lebihan murid melalui pembinaan sekolah baharu dan sekolah satu sesi sukar dicapai.

Laporan itu menyebut, Kementerian Pendidikan KPM perlu memperkemaskan prosedur dan proses pelaksanaan projek pembinaan sekolah supaya pengurusan lebih teratur dan mematuhi semua peraturan semasa yang berkuat kuasa, selain menjalankan kajian semula untuk mengenal pasti keperluan semasa skop pembinaan sekolah bagi projek yang lewat dimulakan pelaksanaannya.

Pada masa sama, Rosna berkata, sekolah bersaiz kecil disifatkan lebih efektif kerana bilangan murid yang sedikit memudahkan guru dan komuniti sekolah untuk mendampingi mereka, sekali gus dapat meningkatkan kualiti pendidikan yang disampaikan.

Sementara itu, Pakar Pendidik, Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata projek sekolah yang tidak siap itu bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada perbelanjaan negara namun turut memberi kesan kepada perancangan pembelajaran dan penyediaan suasana persekolahan yang selesa kepada murid.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) dan agensi terbabit perlu menjelaskan berhubung status projek berkenaan dan alasan ia tidak dapat disiapkan.

"Perkembangan ini amat mengecewakan dan ia adalah kerugian besar dari segi kemajuan pendidikan negara sebab kita tahu bilangan sekolah di negara kita sememangnya tidak cukup untuk menampung lebihan murid.

"Kita bukan sahaja kecewa, namun timbul persoalan mengapa KPM khususnya badan urus setia tidak dapat menjayakan projek ini dengan baik walaupun peruntukan sudah diberikan kerajaan.

"Justeru, kerajaan perlu tegas terhadap pihak dipertanggungjawabkan, yang nampaknya tidak berjaya melaksanakan tugas dengan baik. Ketegasan perlu ada bagi memastikan sistem pendidikan kita berada dalam keadaan baik," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 2 August 2022

KPM TELITI KEPERLUAN NAIKKAN KADAR PROGRAM RMT

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang berbincang dengan agensi pusat mengenai penetapan kadar baharu bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata bagaimanapun, perkara itu tertakluk kepada kelulusan dan keupayaan kewangan semasa kerajaan.

"Kadar semasa RMT adalah sebanyak RM2.50 di Semenanjung Malaysia dan RM3 di Sabah, Sarawak serta Labuan. Kadar ini digunakan mulai 2016," katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) di Dewan Rakyat.

Katanya, KPM sentiasa menambah baik program RMT dari semasa ke semasa, termasuk melaksanakan pemberian susu kepada murid sekolah rendah yang layak sudah disediakan sebanyak dua kali seminggu bawah Program Susu Sekolah (PSS) mulai 1980.

"PSS kemudian digabungkan dengan RMT yang mana mulai 2022 pemberian susu ditingkatkan kepada setiap hari persekolahan," katanya.

Program RMT adalah pemberian makanan tambahan kepada murid sekolah rendah yang layak mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini mencadangkan supaya kadar RMT bagi murid sekolah rendah dinaikkan kepada RM4 di Semenanjung Malaysia dan RM5 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Beliau berkata, kementeriannya sudah mengemukakan syor supaya peruntukan KPM bagi RMT ditingkatkan kepada Kabinet bagi memastikan murid mendapat makanan berkhasiat.

Khairy dipetik berkata, berdasarkan pemantauan kepatuhan menu program RMT yang dijalankan Bahagian Pemakanan KKM dari Januari hingga Jun lalu, hanya 61 peratus sekolah dipantau mematuhi menu RMT.

BERITA HARIAN ONLINE

Monday, 1 August 2022

PBS DIPERKASA SUSULAN PEMANSUHAN UPSR, PT3

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) ketika ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) susulan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Pelaksanaan PBS bertujuan menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang diperkenal di peringkat sekolah rendah mulai 2011, manakala sekolah menengah pada 2012.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata pelaksanaannya membabitkan komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Mengenai konteks PBD, katanya, guru memantau perkembangan, kemajuan dan penguasaan murid dalam proses pembelajaran, termasuk kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Beliau berkata, melaluinya, guru boleh merancang dan mengubah suai kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi membantu setiap murid meningkatkan tahap penguasaan pembelajaran mereka.

Pelaksanaan PBD secara berterusan dapat mempersiapkan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai sebagai asas kukuh untuk mengikuti pembelajaran di peringkat seterusnya.

"Antara pendekatan dalam pengukuhan PBD bagi murid Tahun 4 hingga Tingkatan 3 adalah menambah baik pengurusan ujian akhir sesi akademik melalui penyediaan soalan setara standard oleh KPM, mulai 2022.

"Soalan ini disediakan guru berkepakaran dalam pembinaan item dan disimpan dalam sistem bank soalan dibangunkan KPM.

"Bagi tujuan pelaksanaan ujian akhir sesi akademik, pihak sekolah akan menjana set soalan daripada sistem berkenaan dan ditadbir di sekolah seperti ujian akhir tahun sebelum ini. Panduan penskoran juga akan disediakan untuk kemudahan guru," katanya.

Beliau menjawab soalan Natrah Ismail (PKR-Sekijang) mengenai impak jangka panjang pemansuhan UPSR, pada 2021 dan PT3, tahun ini, di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Radzi berkata, penambahbaikan ujian akhir sesi akademik bertujuan membolehkan guru dan ibu bapa bersama-sama membantu membangunkan potensi murid bermula daripada peringkat sekolah rendah.

Katanya, pelaporan ujian akhir sesi akademik itu akan digunakan bagi membolehkan intervensi awal dilakukan bagi mengoptimumkan potensi murid dan bukan untuk tujuan perbandingan pencapaian antara murid atau sekolah.

Beliau berkata, kejayaan dan kemenjadian murid haruslah dilihat secara holistik dan bukan semata-mata berdasarkan prestasi dalam bidang akademik sahaja.

Justeru, pentaksiran melalui PAJSK dan PPsi juga diperkukuh bagi menilai perkembangan murid dalam aspek sukan, kokurikulum, nilai murni, minat dan kecenderungan serta pembentukan sahsiah.

"KPM juga akan menambah baik kaedah pelaporan PBD. Melalui kaedah ini, pencapaian murid dilaporkan secara menyeluruh sebanyak dua kali setahun iaitu pada pertengahan dan akhir sesi akademik, menggunakan deskriptor tahap penguasaan komprehensif sert jelas.

"Pelaporan ini juga menilai tahap usaha murid dalam pembelajaran, selain guru kelas dan mata pelajaran akan memberi ulasan serta cadangan intervensi bagi mengoptimumkan potensi murid," katanya.

Beliau berkata, laporan akhir sesi akademik akan turut disertakan dengan pelaporan PAJSK dan PPsi, selain daripada pelaporan PBD.

Secara keseluruhan, katanya, penambahbaikan pelaporan PBS dapat memberi gambaran mengenai kemenjadian murid secara menyeluruh, komprehensif dan bermakna.

"Pemerkasaan PBS adalah antara pendekatan KPM untuk beralih daripada pembelajaran berorientasi peperiksaan kepada pembelajaran lebih menyeronokkan untuk murid, selain mempergiat program latihan pentadbir dan guru bagi meningkatkan kemahiran serta memantapkan pelaksanaan pentaksiran berterusan di sekolah.

"Guru juga akan terus dilatih untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran termasuk penggunaan teknologi digital.

"KPM yakin pentaksiran bersifat holistik dan berterusan melalui PBS adalah pendekatan terbaik bagi mengoptimumkan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu," katanya.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata, KPM sudah memperkenalkan sistem permohonan berpusat ke sekolah khusus iaitu Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK), mulai 2020.

PKSK adalah kaedah pentaksiran standard secara berpusat dan dilaksanakan kepada murid yang memohon kemasukan ke sekolah khusus iaitu sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah menengah teknik, kolej vokasional, sekolah menengah kebangsaan agama dan Maktab Tentera Diraja.

Ia merangkumi tiga komponen utama iaitu kecerdasan insaniah, kecerdasan intelek dan artikulasi penulisan.

"Semua murid warganegara yang berdaftar dengan sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid, KPM dari sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama bantuan kerajaan atau sekolah swasta adalah layak memohon kemasukan ke sekolah khusus.

"Syarat pemilihan murid ke sekolah khusus adalah melepasi syarat minimum PKSK serta aktif dalam aktiviti kokurikulum.

"Selain itu, komponen PBD, PAJSK serta status sosial ekonomi (SES) turut digunakan dalam pemilihan murid ke sekolah khusus. PKSK juga akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

ELAUN JKM, IMPAK PEMANSUHAN UPSR, ANTARA TUMPUAN SIDANG DEWAN RAKYAT

Dewan Rakyat di Parlimen.

KUALA LUMPUR: Isu kenaikan kadar bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selaras dengan kenaikan kos sara hidup antara perkara yang akan dibangkitkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Persoalan itu akan diajukan oleh Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Mohd Salim ingin tahu sama ada kementerian mempunyai rancangan untuk menaikkan kadar bantuan bulanan kepada penerima sedia ada supaya ia selari dengan kenaikan kos hidup masa kini.

Turut menjadi perhatian Ahli Parlimen ialah impak jangka panjang pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dibangkitkan oleh Natrah Ismail (PH-Sekijang) kepada Menteri Kanan Pendidikan.

Beliau juga ingin tahu mengenai mekanisme Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengukur kelayakan kemasukan pelajar ke asrama penuh atau ke kolej lepasan tingkatan tiga selepas peperiksaan UPSR dan PT3 dimansuhkan.

Sementara itu, Pang Hok Liong (PH-Labis) meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah rizab negara setakat Mei 2022 dan jumlah rizab antarabangsa Bank Negara setakat Mei 2022 serta rancangan kerajaan untuk meningkatkan rizab negara.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula mengutarakan soalan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berkenaan kriteria yang akan diperhalusi oleh kementerian dalam membuka sempadan negara kepada lebih banyak negara luar seperti China.

Persidangan Dewan Rakyat hari ini juga akan menyaksikan sambungan perbahasan rang undang-undang bacaan kali kedua antaranya Rang Undang-Undang Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 serta Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

BERNAMA ONLINE