Saturday 6 August 2022

KPM LAKSANA PEMUTIHAN TANAH SEKOLAH

Datuk Dr Radzi Jidin

KAJANG: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan proses pemutihan ke atas pemilikan tanah yang digunakan untuk pembinaan sekolah di seluruh negara.

Ini kerana, banyak pemilikan tanah membabitkan pembinaan sekolah KPM yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan dikenal pasti bukan milik Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) mahupun kerajaan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata proses pemutihan itu perlu dibuat bagi memastikan semua pemilikan tanah bagi pembinaan sekolah seliaan KPM adalah milik JKPTG atau kerajaan.

Beliau berkata, keadaan itu akan memudahkan pelaksanaan sebarang projek pembinaan sekolah, sekali gus menyelesaikan isu pemilikan tanah yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Selain itu, katanya, KPM turut menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyelesaikan beberapa perkara berbangkit, terutama membabitkan sebarang kelulusan berkaitan pengurusan berkenaan.

"Kerjasama dengan PBT juga antara perkara ditekankan. Kadang-kadang (isu pengambilan tanah) selesai tetapi sangkut di PBT. Ada perkara yang kita perlu duduk dan bincangkan bagi memastikan perkara ini tak menjadi penghalang kepada pembinaan sekolah.

"Banyak perkara membabitkan pelbagai kelulusan dan kelemahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 diambil kira bagi memastikan ia tidak menjejaskan pembangunan infrastruktur berkaitan sekolah," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kejohanan Olahraga Tahunan Keenam Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 17(1) di sini, hari ini.

Beliau mengulas LKAN 2021 Siri 1 yang mendapati pengurusan projek pembinaan sekolah kurang cekap dan kurang berkesan, berdasarkan skop dan sampel audit projek meliputi 19 projek pembinaan sekolah baharu antara 2016 hingga 2021 di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Ia dikesan susulan berlaku kelemahan di peringkat perancangan, prapelaksanaan dan pelaksanaan projek KPM, perunding dan kontraktor, selain masalah koordinasi dengan kerajaan negeri, PBT dan syarikat utiliti serta isu ketersediaan tapak projek turut menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan projek.

Radzi berkata, pihaknya turut memberikan keutamaan kepada usaha menyambung semula pelaksanaan projek sekolah terbengkalai di seluruh negara bagi mengelak struktur bangunan bertambah teruk.

"Fokus kita adalah untuk menyiapkan pembinaan sekolah terbengkalai kerana keadaannya semakin teruk dan kos pembinaan asal itu sudah bertambah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, pihaknya berusaha untuk membawa perbincangan mengenai penetapan kadar baharu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bersama Kementerian Kewangan (MOF).

"Ini kerana, MOF adalah pihak yang akan menentukam kadar baharu RMT dan kita sentiasa memperjuangkan perkara ini. Kita tahu ada keperluan (menaikkan kadar RMT) namun perlu mengambil kira kekangan kewangan kerajaan," katanya.

Mengenai 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak menyambung pengajian, Radzi meminta Jabatan Perangkaan (DOSM) memperincikan data hasil kaji selidik dilakukannya itu secara menyeluruh.

Ini kerana, katanya, kaji selidik itu membabitkan dimensi masa yang panjang, selain hasilnya tidak memperincikan kohort dan golongan umur responden yang terbabit dalam kajian berkenaan.

"Antara contoh soalan ditanya ketika itu ialah belajar setakat mana? Jadi kita tak tahu kohort umur mana kerana ia diambil secara menyeluruh. Justeru, untuk mendapat maklumat lanjut, kena teliti kohort dan golongan umur mana.

"Kalau kita bercakap tentang tak sambung pengajian membabitkan kohort berusia 60 tahun ke atas, pastinya akses pendidikan ketika itu berbeza berbanding sekarang.

"Jadi DOSM perlu memperincikan hasil kajian dengan memberi tumpuan apakah dimaksudkan mengenai peratusan itu, selain ia merujuk kepada kohort mana bagi mengelak kekeliruan," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment