Tuesday, 23 March 2021

DANA PIBG PERLU AMBIL KIRA BEBAN IBU BAPA

PIBG, komuniti dan pihak swasta perlu bergabung tenaga bantu kemajuan sekolah.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berperanan penting membantu pihak sekolah melaksanakan pelbagai program. Ditubuhkan di bawah Akta Pendidikan 1996, ia adalah badan sukarela yang dibentuk di semua sekolah kerajaan sebagai permuafakatan antara ibu bapa dan guru.

PIBG juga dilihat sebagai sumber maklumat antara pihak sekolah dan ibu bapa selain di situ juga perbincangan dua hala mengenai perancangan meningkatkan prestasi akademik juga pembangunan kokurikulum berlaku.

Secara asasnya, walaupun sekolah mempunyai perancangannya, namun PIBG yang aktif dan kreatif mampu menzahirkan pelbagai idea termasuk penjanaan kewangan demi membantu menjayakan aspirasi pengurusan.

Namun sebahagian proses menjayakan pelbagai perancangan itu, peranan PIBG dalam penjanaan kewangan itu amat penting. Wang ini digunakan untuk melancarkan program sekolah yang bertujuan untuk kepentingan murid.

Alangkah bertuahnya bagi sekolah yang sudah lama ditubuhkan dan memiliki alumni berjaya sebagai ahli korporat, profesional atau pemimpin politik. Mereka ini sentiasa bersedia tampil membantu sekolah tempatnya menimba ilmu zaman kanak-kanak dan remaja.

Bagi sekolah baharu yang belum memiliki alumni, soal penjanaan kewangan ini mungkin sukar. Dalam hal inilah, barisan kepemimpinan PIBG yang diamanahkan perlu kreatif, inovatif dan bermotivasi untuk memajukan sekolah.

Diakui hal ini lebih berat bagi sekolah baharu atau yang tidak begitu sempurna prasarananya.

Ditambah pula dengan faktor ketiadaan dana yang cukup untuk memajukan dan merangsang pencapaian pelajar.

Guru dan pentadbiran sekolah sentiasa meletakkan harapan yang tinggi terhadap PIBG untuk tampil membantu termasuk sumbangan peruntukan untuk melancarkan program sekolah.

Namun, tidak semua PIBG memiliki dana yang baik dan kukuh, terutama di luar atau pinggir bandar. Kawasan sekolah yang dikelilingi oleh kalangan keluarga yang kurang berkemampuan atau B40, akan memberi kesan kepada usaha mengumpul dana PIBG.

Isu yuran PIBG pernah menjadi hangat tidak lama dulu disebabkan ia dikatakan mahal selain bukanlah pembayaran yang wajib. Kementerian Pelajaran juga tidak pernah menetapkannya pada kadar tertentu untuk semua sekolah.

Malah, bukan sesuatu yang luar biasa jika ada ibu bapa yang bertindak tidak langsung membuat bayaran walaupun mereka mampu berbuat demikian sehinggalah anak habis belajar. Hal ini sebenarnya tidak membantu sekolah, kerana kekurangan dana bermaksud banyak projek gagal dilaksanakan dalam usaha membantu kejayaan murid.

Hari ini istilah 'yuran' PIBG tidak lagi timbul sebaliknya ia dikenali sebagai 'sumbangan'.

Namun ada sekolah yang masih menetapkannya pada kadar tertentu. Keadaan ini tidaklah membawa konotasi 'sumbangan' kerana seiring maksud perkataan itu, ia seharusnya mencerminkan keikhlasan pemberi mengikut kemampuannya.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac tahun lalu, kemudiannya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat PKPB), dan sesetengah kawasan lebih kritikal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ramai ibu bapa yang terkesan dari segi pendapatan

Pada tahun lalu, terdapat sekolah yang tidak sempat melaksanakan mesyuarat agung PIBG sehingga kini berikutan pengisytiharan PKP.

Keadaan ini menyebabkan sumbangan untuk PIBG tidak dapat dikutip berikutan COVID-19 menjejaskan pendapatan masyarakat. Penularan pandemik COVID-19 memberi kesan terhadap kedudukan ekonomi keluarga pelajar yang sekali gus sumbangan PIBG dilihat sebagai satu bebanan berbanding perbelanjaan untuk keperluan seharian misalnya melangsai pelbagai bil setiap bulan, makan minum, rumah (sewa atau bayaran ansuran rumah) dan lain-lain. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Pandemik COVID-19 mungkin kurang memberi kesan kepada keluarga yang memiliki berpendapatan tetap atau simpanan yang banyak. Namun, bagi yang terjejas pendapatan susulan COVID-19 dan hidup dalam keadaan 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang', tentu yang lebih utama adalah menyediakan hidangan makanan untuk keluarga.

Dapat difahami, ada PIBG yang menetapkan kadar sumbangan tinggi bagi mengukuhkan dana yang mungkin kelihatan membantu pihak sekolah, tetapi dalam situasi pandemik COVID-19 ia pasti dianggap membebankan ibu bapa.

Jika seorang anak dikenakan yuran lebih RM100, cuba bayangkan kalau ibu bapa memiliki tiga anak di sekolah yang sama atau sebahagian di sekolah rendah dan menengah.

Dalam hal ini, penyertaan aktif komuniti dan pihak swasta (korporat dan usahawan) membantu PIBG adalah tanggungjawab mulia apalagi jika anak mereka belajar di sekolah berkenaan.

PIBG, komuniti dan pihak swasta perlu menjadi rakan strategik bersama pihak pentadbiran sekolah menjana pendapatan. Sumbangan ibu bapa untuk PIBG sesungguhnya tidak mencukupi untuk menampung semua kos. Ketika ada dalam kalangan ibu bapa kelemasan pendapatannya akibat impak pandemik COVID-19, banyak pertimbangan kemanusiaan perlu dilihat.

Justeru, sekolah dan komuniti perlu saling bergantung dan membantu untuk meringankan beban pihak sekolah yang kekurangan dana. Sumbangan tenaga dalam bentuk gotong-royong membantu mencantikkan kawasan sekolah juga akan menaikkan motivasi pelajar.

Bagi institusi pengajian di persekitaran sekolah, mereka boleh tampil membantu dengan mengadakan pelbagai kegiatan tanggungjawab sosial di sana terutama membabitkan sekolah yang ramai pelajar datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

Wakil rakyat juga perlu prihatin dengan sekolah di dalam kawasan mereka. Apatah lagi jika kebanyakan pelajarnya terdiri daripada anak daripada keluarga kategori B40, asnaf, serta anak yatim.

Antara indikator untuk mengesan kelompok ini tentu saja melalui sekolah selain memerhati pola kehadiran ke kelas. Ada sebahagian anak ini memilih untuk ponteng kerana tidak mahu membebankan ibu bapa dengan tambang bas atau kos pengangkutan. Kumpulan inilah yang perlu didekati dengan hemah dan memahami situasi sebenar.

Bagi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), antara kaedah menekankan keunggulan sahsiah mahasiswanya yang bakal menjadi pendidik di tengah masyarakat adalah dengan tampil berbakti dalam khidmat masyarakat di sekolah.

Menerusi program yang dikenali sebagai Konsep2A(Akademik & Akhlak), mahasiswa ini dibentuk untuk menjadi 'penawar' dalam melahirkan graduan yang berguna untuk negara.

Mereka dididik untuk senantiasa bersedia untuk berbakti di sekolah di seluruh negara demi keprihatinan dan kemanusiaan. Hal ini bukan saja berlaku di UPSI tetapi juga di universiti awam yang lain menerusi penekanan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dalam menerapkan semangat kesukarelawanan.

Kita bimbang, generasi hari ini sarat dengan tingkah laku yang tidak beradab dan tidak menghormati lagi golongan pendidik. Semua orang menjadi marah dan keliru dengan kisah biadabnya pelajar yang memakai baju tertulis perkataan yang tidak mencerminkan kemuliaan akhlak pelajar sekolah baru-baru ini.

Sesungguhnya pembentukan diri murid yang baik bukan hanya bergantung pada sekolah dan PIBG tetapi juga ahli masyarakat di luar sana.

Dr Ghazali Din
Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment