Monday 22 March 2021

SUBJEK SEKOLAH ANTARABANGSA PERLU BERORIENTASI MALAYSIA

Kewujudan sekolah antarabangsa secara dasarnya hanyalah bertujuan memberikan pendidikan kepada anak golongan diplomat atau ekspatriat bertugas di negara ini

Kewujudan sekolah antarabangsa secara dasarnya hanyalah bertujuan memberikan pendidikan kepada anak golongan diplomat atau ekspatriat bertugas di negara ini.

Bagaimanapun, sekolah antarabangsa yang ada kini bukan hanya dimiliki dan diuruskan negara asing, bahkan turut dibangunkan pihak swasta tempatan.

Apa yang jelas, sukatan pelajaran ditawarkan di sekolah antarabangsa sudah tentunya tidak berorientasikan identiti dan kebudayaan Malaysia.

Ia mengundang kebimbangan. Dalam kedaaan segregasi atau pengasingan pelajar di negara ini sudah berlaku melalui sistem pendidikan vernakular, pertambahan bilangan sekolah antarabangsa secara mendadak khususnya di bandar utama menyumbang kepada permasalahan ini.

Meskipun sekolah vernakular dicirikan melalui pengenalan etnik, sukatan pelajarannya masih bercirikan identiti, sejarah dan kebudayaan Malaysia.

Pelajar hanya dipisahkan dalam waktu persekolahan, namun ciri-ciri kemalaysiaan masih lagi mampu dihayati pelajar sekolah vernakular menerusi nyanyian lagu kebangsaan, pengenalan bendera negeri, sistem politik dan pentadbiran negara serta institusi beraja.

Apa membimbangkan, keghairahan ibu bapa menghantar anak ke sekolah antarabangsa menunjukkan trend kurang baik kepada pembentukan jati diri Malaysia terhadap generasi muda.

Natijahnya, pelajar tempatan akan terpisah dengan sistem pendidikan kebangsaan seawal usia yang begitu muda.

Hampir kebanyakan sekolah antarabangsa beroperasi di negara ini menawarkan sukatan pelajaran dan peperiksaan berbeza berbanding peperiksaan awam seperti Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Sebagai contoh, mata pelajaran Sejarah diajar di sekolah antarabangsa banyak berkisarkan sejarah Eropah seperti empayar Austria-Hungary, Poland, Jerman, Perancis, Amerika Syarikat (AS), British, Russia dan Itali.

Sejarah negara di Asia Tenggara hanya membabitkan Singapura dan tidak langsung disentuh mengenai Tanah Melayu secara mendalam.

Jika generasi muda tidak langsung didedahkan dengan sejarah dan kebudayaan Malaysia sepanjang usia persekolahannya, ia sudah tentu akan memberikan kesan kepada identiti pelajar sebagai warganegara.

Ini akan menyukarkan lagi usaha kerajaan membentuk integrasi nasional dan pembentukan negara bangsa.

Meskipun ibu bapa bebas memilih pendidikan terbaik untuk anak, pendedahan terhadap sukatan dan sejarah negara asing di sekolah akan meluaskan lagi jurang perpaduan bukan sahaja berdasarkan kaum, bahkan pendapatan keluarga elit-menengah dan golongan bawahan.

Selain itu, generasi muda juga bakal terpisah dengan identiti dan jati diri Malaysia. Hilangnya jati diri dalam kalangan generasi muda juga dibimbangi mencetuskan krisis masa hadapan terhadap negara.

Generasi terdedah kepada aliran sekolah antarabangsa dilihat kurang berminat bertutur menggunakan bahasa kebangsaan. Dibimbangi generasi muda juga akan hilang rasa hormat dan tidak langsung mengenali pemimpin yang banyak berjasa kepada negara.

Kerajaan harus memantau kewujudan dan operasi sekolah antarabangsa. Penekanan mata pelajaran berorientasikan Malaysia perlu menjadi sebahagian sukatan pelajaran di sekolah antarabangsa.

Mata pelajaran bercirikan Malaysia mesti dihayati sepenuhnya setiap pelajar, bukan hanya sebagai syarat kelulusan untuk beroperasi sahaja.

Perkara kenegaraan seperti unsur tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu agama rasmi, bahasa kebangsaan, hak istimewa Melayu dan institusi beraja harus dipelajari setiap pelajar tempatan serta asing.

Dengan cara ini, ia juga mampu mempromosikan identiti dan kepelbagaian budaya di Malaysia kepada generasi muda dalam kalangan keluarga diplomat dan ekspatriat bertugas di negara kita.

Dr Ilyas Abdullah
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment