Tuesday 23 March 2021

PERLUASKAN PROGRAM SMART CLASSROOM KE SELURUH NEGARA - YB RINA

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap projek 'Smart Classroom' dapat diperluaskan ke seluruh negara terutama di sekolah yang mempunyai murid daripada golongan B40.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata dengan 'Smart Classroom', bilik darjah dilengkapi peralatan elektronik merangkumi Unit Pemprosesan Pusat (CPU), projektor dan interaktif 'whiteboard' bagi tujuan pengukuhan dan pemantapan pembelajaran serta pengajaran.

"Saya akan suarakan kepada Kementerian Pendidikan supaya program ini dapat diperluaskan dan murid beroleh manfaat daripada penggunaan teknologi terkini dalam bilik darjah," katanya selepas melancarkan program Smart Classroom Sekolah Rendah Parlimen Titiwangsa, sempena Program Malaysia Prihatin di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, 19 sekolah di kawasan parlimen berkenaan dengan 50 peratus daripada muridnya daripada keluarga B40, dilengkapi peralatan 'Smart Classroom' sejak tahun lalu.

Katanya, secara keseluruhannya, 114 bilik darjah iaitu enam kelas untuk setiap sekolah dipasang fasiliti 'Smart Classroom' itu yang bernilai RM2.85 juta.

"Dalam mendepani norma baharu, dunia digital menjadi tuntutan pelbagai aspek kehidupan termasuk bidang pendidikan dan atas kesedaran itu, sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa, saya usahakan 'Smart Classroom' seiring arus teknologi dalam dunia pendidikan.

"Dengan adanya 'Smart Classroom' ini, ia dapat menyuntik semangat, mewujudkan murid kreatif dan kritis, mengurangkan kadar ponteng sekolah murid serta pada masa sama, dapat membantu guru dalam pengajaran menggunakan teknologi moden," katanya.

BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment