Saturday 27 March 2021

PENDIGITALAN BIDANG PENDIDIKAN PERLU DISEGERAKAN - MUHYIDDIN

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berucap pada program Jom Ke Sekolah Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri Gambir bersama program CSR Pendidikan Yayasan Pelajaran MARA di Kompleks Sukan Pagoh, hari ini

MUAR: Proses pendigitalan bidang pendidikan perlu disegerakan bagi memudahkan guru, pelajar serta ibu bapa menempuh alam persekolahan pada waktu tidak menentu terutama ketika penularan wabak COVID-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, sudah diarah menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Khas Pendigitalan Pendidikan Negara bagi mempercepatkan proses berkenaan.

Katanya, pendigitalan pendidikan perlu dilakukan secara menyeluruh termasuk menyediakan capaian internet yang baik khususnya di kawasan luar bandar, selain menyediakan peralatan dan alat peranti seperti komputer riba dan tablet susulan wabak COVID-19 yang menjejaskan sistem persekolahan.

"Usaha meningkatkan bidang pendidikan supaya setaraf atau lebih baik daripada negara maju tidak dapat dielak, termasuk mengupayakan pelajar dan guru dengan kemudahan dan alatan yang membolehkan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dibuat di mana sahaja.

"Ini bermakna sistem pendidikan negara kita mesti menuju ke arah sistem pendidikan digital dengan perkakasan dan perisian, terutama tenaga pengajar dan kandungan terbaik dan berkualiti supaya anak kita dapat belajar dalam apa situasi pun termasuk tidak perlu ke sekolah.

"Mungkin kita boleh menyelesaikan sebahagian daripadanya (pendigitalan pendidikan) dalam tempoh tak terlalu panjang untuk membolehkan sekolah, rumah, mahu pun premis lain termasuk kedai menggunakan sistem teknologi maklumat dengan kesalinghubungan internet tahap tinggi, seperti ketika saya lancarkan MyDIGITAL sebelum ini bagi menaik taraf kemudahan digital negara termasuk capaian internet kepada 5G," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jom ke Sekolah Parlimen Pagoh dan DUN Gambir, di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga menyatakan kesediaan membantu sektor pendidikan negara ke arah pendigitalan.

Katanya, beliau memaklumkan mengenai rancangan pendigitalan pendidikan negara kepada Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan ketika lawatan rasmi ke negara berkenaan baru-baru ini.

"Apabila saya terangkan kepada Putera Mahkota mengenai cadangan itu, baginda menyatakan perkara itu 'beres' (diuruskan).

"Saya ada bertanya apakah maksud 'beres' seperti dinyatakan baginda sebelum Putera Mahkota memaklumkan UAE mungkin akan bantu kita menyegerakan pendigitalan pendidikan itu," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment