Tuesday, 30 August 2022

GURU DAPAT TAMBAHAN CUTI REHAT KHAS LIMA HARI



KUALA LUMPUR : Kerajaan memberikan tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tambahan Cuti Rehat Khas itu akan memberi manfaat kepada lebih kurang 500,000 guru.

"Cuti ini bagi urusan yang mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru mengumpul jumlah Gantian Cuti Rehat (GCR) yang lebih tinggi," katanya dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awan ke-18 (MAPPA XVIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat.

"Jika sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mertua, bapa kandung dan bapa mertua serta anak saja, penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian membabitkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Friday, 26 August 2022

MELAKA PERLU TAMBAHAN GURU

Rais (kiri) menyampaikan replika cek Insentif Care SPM 2022 kepada pengetua sekolah.

MELAKA: Kerajaan negeri meminta Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM) memastikan negeri ini menerima guru tambahan bagi mengisi kekosongan jawatan itu.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin, berkata pihaknya menyambut baik keputusan yang dibuat Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menambah bilangan pengambilan guru melebihi 5,000.

Beliau berkata, dengan pertambahan bilangan guru, bukan hanya dapat menyelesaikan masalah kekurangan guru tetapi dapat mengurangkan beban tugas warga pendidik.

"Sesungguhnya memang kita sentiasa mengalami kekurangan guru jadi ini adalah sesuatu yang amat dinantikan. Memang ada keperluan yang sedikit mendesak tetapi bukanlah terlalu kurang.

"Saya harap JPNM dengan segera memastikan dapat tambahan guru ini. Selepas pandemik berakhir dan kita berada di fasa endemik sekolah kembali berjalan secara semuka jadi perlunya kepada komitmen tambahan guru," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Insentif Care SPM 2022 dan Biasiswa Melaka Sumbangan Kerajaan Negeri Melaka, petang semalam.

Rais berkata, dengan pertambahan bilangan guru sekali gus akan membantu meningkatkan lagi tahap kecemerlangan murid serta pelajar.

"Daripada 5,000 guru yang akan ditambah itu nanti, berapa pun yang kita dapat akan membantu lagi sekolah di dalam Melaka ini,," katanya.

Semalam media melaporkan, Kementerian Pendidikan (KPM) akan menambah jumlah pengambilan guru melebihi 5,000 orang bermula tahun ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata jumlah itu bertambah, berbanding pengambilan sekitar 4,000 hingga 5,000 guru sebelum ini.

BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, 25 August 2022

KPM TAMBAH PENGAMBILAN GURU MELEBIHI 5,000

Radzi menyampaikan ucapan pada sesi Wacana bersama Komuniti Orang Asli di Pusat Pentadbiran dan Pusat Komersial Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) di sini, hari ini

SUNGAI SIPUT: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menambah jumlah pengambilan guru melebihi 5,000 orang bermula tahun ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata jumlah itu bertambah, berbanding pengambilan sekitar 4,000 hingga 5,000 guru sebelum ini.

Beliau berkata, kebiasaannya setiap tahun pengambilan guru sekitar 4,000 atau 5,000 orang, namun KPM menukar pendekatan kepada sistem kluster dengan meningkatkan jumlah pengambilan guru.

"Sewaktu saya masuk ke kementerian, kekosongan guru pada masa itu sebanyak 18,702 orang dan selepas kita buat pengambilan 'one-off' kita dapat mengambil lebih 16,000 orang iaitu 88 peratus daripada keseluruhan.

"KPM sedang ikhtiar bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk pengambilan lebih ramai guru daripada sebelum ini. Jumlahnya kita jangka akan lebih daripada sebelum COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir program Bersama Komuniti Orang Asli di Pusat Pentadbiran dan Pusat Komersial Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) di sini, hari ini.

Radzi berkata, antara isu yang menyebabkan kekurangan guru adalah berlaku pengambilan guru yang tertangguh atau 'backlog'.

"Antara isu yang dialami adalah 'mismatch' antara opsyen graduan yang keluar dengan opsyen yang kosong di sekolah.

"Sebab itu, buat pertama kali dalam sejarah kita memperkenalkan pengambilan berdasarkan kluster mata pelajaran," katanya.

Beliau berkata, pihak kementerian juga kini sedang berbincang berhubung pendekatan sekiranya graduan fizik boleh juga mengajar matematik.

Media sebelum ini melaporkan, KPM memperkenalkan kaedah Kluster Mata Pelajaran bagi pengambilan guru secara one-off supaya dapat membuka peluang kepada lebih ramai graduan memohon berdasarkan kepada pemetaan Ijazah Sarjana Muda dengan mata pelajaran yang bersesuaian.

BERITA HARIAN ONLINE

LEBIH BANYAK GURU SECARA 'ONE-OFF' DITEMPATKAN TAHUN DEPAN

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin (tengah) ketika hadir pada Wacana Dr Radzi Jidin Bersama Komuniti Orang Asli "Sen Oi Hebat (Orang Kita Hebat)" di Pusat Pentadbiran dan Pusat Komersial Orang Asli One Stop Center (OAOSC) Kampung Bawong Sungai Siput.



SUNGAI SIPUT: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meningkatkan pengambilan guru secara 'one-off' atau sekali pengambilan untuk penempatan tahun depan melalui kaedah Kluster Mata Pelajaran (KMP) yang telah diperkenalkan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pihaknya menganggarkan jumlah pengambilan itu melebihi 4,000 siswazah yang biasanya diambil sepanjang tahun mengikut amalan biasa kementerian.

"Sebelum COVID-19, biasanya dalam tempoh setahun antara 4,000 hingga 5,000 siswazah diambil mengisi kekosongan. Apabila diperkenalkan sistem kluster, ia memberi kita (KPM) peluang untuk meningkatkan pengambilan.

"Jadi sekarang kita sedang berusaha menambah jumlah siswazah berbanding jumlah biasa dengan ia sedang diikhtiarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP)," katanya kepada pemberita selepas program wacana bersama komuniti Orang Asli di sini hari ini.

Dilapor, sejak KMP diperkenalkan, seramai 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara 'one-off' telah dilantik dalam pengambilan khas bagi mengisi kekosongan guru di sekolah KPM di bawah bidang kuasa SPP.

Radzi berkata antara masalah dikesan pihaknya berkaitan pengambilan guru ialah isu tunggakan dan tidak sepadan kelulusan yang dilihat telah berjaya diatasi sejak KMP diwujudkan.

"Tunggakan (pengambilan) sudah bertahun-tahun kerana isu dikatakan pada waktu itu adalah kekurangan bekalan guru manakala tidak sepadan pula diatasi dengan siswazah yang memiliki bidang pengkhususan utama tertentu boleh memohon untuk mengisi kekosongan mata pelajaran lain yang dikategorikan dalam kluster yang sama.

"Jadi melalui pendekatan ini kita akan dapat jumlah pengambilan yang lebih besar sebab itu kita dapat selesaikan dengan lebih tinggi peratusan pengambilan dan jumlah pengambilan itu sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata setakat ini terdapat 69 aduan berkaitan buli diterima sejak portal Aduan Buli dilancarkan Khamis lalu dan kesemua aduan itu sedang diteliti sebelum diambil tindakan.

"Menerusi portal ini, kita ada tiga platform untuk membuat aduan iaitu menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) kita terima sebanyak 28 aduan, dua diterima menerusi e-mel, 17 melalui panggilan telefon manakala 22 melalui aplikasi WhatsApp.

"Apa yang paling penting, sistem pelaporan ini kerahsiaan maklumat itu kita pegang, kita tidak mahu maklumat sulit ini terkeluar (bocor), nanti anak-anak pula diberikan tekanan. Oleh sebab itu, jika kita lihat kita mula mendapat aduan-aduan, ada aduan yang telah kita ambil tindakan dan aduan yang masih dalam siasatan," katanya.

BERNAMA ONLINE

Monday, 22 August 2022

PENDIGITALAN PENDIDIKAN BAKAL WUJUD JURANG LEBIH BESAR ANTARA SEKOLAH

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Pendigitalan pendidikan perlu dilaksanakan ke arah mencapai status negara maju, namun Kementerian Pendidikan (KPM) perlu berhati-hati supaya jurang pendidikan antara sekolah di bandar dan luar bandar tidak semakin luas.

Selain itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata KPM juga perlu memastikan budaya pembelajaran baharu diperkenalkan dalam kalangan guru dan murid, seiring inisiatif pendigitalan berkenaan.

Anuar berkata, Malaysia agak terkebelakang dari segi pendigitalan pendidikan berbanding negara lain seperti Singapura, justeru langkah itu perlu dimulakan dari sekarang supaya pelajar di negara ini tidak ketinggalan.

"Bagaimanapun, kita tahu apa juga bentuk pembangunan pendigitalan pendidikan di negara yang sudah melaksanakannya, akan berlaku pembentukan jurang pendidikan antara kumpulan pelajar yang mendapat pendidikan digital dengan kumpulan tidak memperolehnya.

"Ini bermakna, jika kita tidak berhati-hati dan memantau perjalanan pendigitalan pendidikan ini, kita akan melihat sekumpulan murid yang menerima kemudahan pendigitalan akan memperoleh peluang inovasi dan lebih pengetahuan, manakala sekumpulan murid lagi di terutama luar bandar pula sebaliknya, yang akhirnya menyebabkan jurang pendidikan semakin besar.

"Sebenarnya jurang sudah ada, namun dengan kemasukan internet dan pendigitalan pendidikan, jika tidak berhati-hati, ia akan lebih membesar kerana kemajuan pembelajaran digital membuka ruang pengetahuan, kemahiran dan pengalaman lebih luas kepada murid yang mendapat akses," katanya kepada BH, hari ini.

Ahad lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata KPM akan melaksanakan projek rintis membabitkan 550 kelas hibrid di 110 sekolah terpilih di seluruh negara bermula November depan, sebagai sebahagian pelan transformasi KPM bagi memperkasa pendidikan digital negara.

Bagi tujuan itu, katanya, untuk setiap lima bilik darjah di sekolah terbabit, sambungan internet akan ditingkatkan untuk pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara hidbrid, membolehkan guru mengajar dalam bilik darjah dan pada masa sama, murid boleh terbabit dalam proses itu dengan aktif menerusi penggunaan komputer riba dan skrin pintar dalam kelas.

Selain itu, Anuar berkata, pendidikan digital yang bersifat terbuka akan dilengkapi prasarana seperti internet dan televisyen digital, namun ia tidak berhasil jika budaya pembelajaran tradisional masih terus dipraktikkan.

"Kita tidak perlukan lagi buku teks kerana internet membolehkan kita mengakses banyak maklumat. Kita tidak perlu guru mengajar macam dulu, sebaliknya guru memberi panduan atau memudahkan murid mencari bahan pembelajaran di internet.

"Justeru, jika kita perkenalkan pembelajaran digital dalam sistem pendidikan, tetapi budaya pembelajaran masih lama, ia tidak memberi manfaat besar kepada murid sedangkan pelaksanaannya akan membabitkan perbelanjaan amat besar.

"Perkara ini harus diteliti KPM supaya kita tidak mengulangi kesilapan dan kekurangan di negara lain yang melaksanakan pendidikan digital ini," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 21 August 2022

PROJEK RINTIS KELAS HIBRID PERCEPAT PERKONGSIAN ILMU, KEMAHIRAN

Projek rintis kelas hibrid diharap dapat memberikan manfaat kepada guru serta murid dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc)

KUALA LUMPUR: Projek rintis kelas hibrid yang dijangka dilaksanakan November depan, diharap akan mempercepat perkongsian ilmu dan kemahiran, sekali gus mendedahkan murid untuk menggunakan aplikasi pembelajaran digital.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan, berkata langkah oleh Kementerian Pendidikan (KPM) itu sejajar dengan perkembangan semasa di peringkat global, terutama pada era pembelajaran digital dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

"iGuru menyambut baik projek ini dan berharap ia dapat memberikan manfaat kepada guru serta murid dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dan pada masa sama, melonjakkan kecemerlangan pendidikan negara.

"Projek ini juga diharap akan meningkatkan pengetahuan murid dan kreativiti serta inovasi guru, selain perkongsian pintar pengajaran dan pembelajaran (PdP) antara sekolah, sekali gus merapatkan jurang pendidikan dan digital," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata KPM akan melaksanakan projek rintis membabitkan 550 kelas hibrid di 110 sekolah terpilih di seluruh negara bermula November depan, sebagai sebahagian pelan transformasi KPM bagi memperkasa pendidikan digital negara.

Bagi tujuan itu katanya, bagi setiap lima bilik darjah di sekolah terbabit, sambungan internet akan ditingkatkan untuk pelaksanaan PdP secara hidbrid, membolehkan guru mengajar dalam bilik darjah dan pada masa sama, murid boleh terbabit dalam proses itu dengan aktif menerusi penggunaaan komputer riba dan skrin pintar di dalam kelas.

Bagi memastikan projek itu dapat dilaksanakan dengan berkesan, Mohd Azizee, berkata KPM perlu meningkatkan kemudahan akses internet dan kelajuan jalur lebar dengan teknologi 5G.

"Peruntukan kewangan yang besar perlu disediakan terutama bagi penyediaan peralatan pembelajaran seperti TV pintar, skrin layar dan alat peranti, manakala latihan intensif perlu diberikan kepada guru dalam menggunakan teknologi pembelajaran secara digital.

"Selain itu, platform pendidikan seperti 'DELIMa' ('Digital Educational Learning Initiative Malaysia) dan Google Education Learning perlu dimanfaatkan, selain menyediakan kelas yang kondusif serta interaktif, mengambil kira bilangan murid yang bersesuaian untuk sesi pengajaran," katanya.

Mohd Azizee berkata, pihaknya turut berharap projek berkenaan dapat diperluas ke sekolah lain, dengan mengutamakan sekolah di luar bandar," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 14 August 2022

SISTEM REKOD MARKAH BERPUSAT ANTARA ELEMEN TRANSFORMASI PENDIDIKAN

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berucap pada majlis Showcase Transformasi Pendidikan di Putrajaya.

PUTRAJAYA: Pembangunan sistem pelaporan berpusat bagi tujuan merekod markah pentaksiran pelajar sekolah adalah antara elemen transformasi pendidikan yang bakal diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, berkata selain mengurangkan beban guru bagi mengelak tugas merekod markah berulang kali, sistem itu turut bertujuan meningkatkan kecekapan sistem KPM supaya relevan dengan transformasi digital pada masa ini.

Ketika ini, katanya, seseorang guru itu dikehendaki menyalurkan rekod markah pelajar kepada pelbagai pihak termasuk KPM dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

"Dengan sistem pelaporan berpusat ini, pihak lain yang mahukan rekod markah boleh mengeluarkan data daripadanya. Begitu juga dengan pembinaan jadual waktu sekolah, difahamkan masih ada sekolah yang buat secara manual.

"KPM akan mewujudkan sistem khusus bagi membolehkan pihak sekolah membina jadual waktu sekolah mengikut kesesuaian masing-masing," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Showcase Transformasi Pendidikan di sini, semalam.

Radzi berkata, KPM komited dalam menjadikan ekosistem pendidikan negara sebagai yang terbaik selain memberikan fokus utama kepada kemenjadian murid secara menyeluruh tanpa bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata.

"Contohnya, baru-baru ini bekerjasama dengan FGV Holdings Berhad dengan membawa pelajar mendekati flora dan fauna supaya mereka faham mengenai perubahan iklim dan sebagainya," katanya dan menambah transformasi pendidikan kementerian meliputi kerjasama rentas agensi kerajaan dan swasta.

Bagi mendekati masyarakat terutama golongan ibu bapa supaya memahami transformasi pendidikan dan dasar KPM, Radzi berkata, KPM akan mengadakan Hari Terbuka PPD di 142 lokasi seluruh negara pada 26 dan 27 Ogos ini.

Katanya, KPM menerusi sesi perbincangan dan libat urus dengan lebih 20,000 orang termasuk pemimpin masyarakat sehingga kini turut menerima maklum balas positif berkaitan transformasi pendidikan yang giat diaplikasikan.

Antara insiaitif KPM mengorak langkah ke depan transformasi pendidikan meliputi pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi memastikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dapat dilaksanakan dengan berkesan selain menjaga kebajikan guru dengan memudah cara urusan permohonan pertukaran guru.

Showcase Transformasi Pendidikan adalah satu daripada pengisian KPM di bawah program 'Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan' yang diadakan bermula 1 Ogos sehingga 30 September depan di seluruh negara.

Ia antara lain memaparkan inovasi dan pencapaian murid dan guru, perkembangan pendidikan digital dan aplikasi sistem yang memudahkan pengurusan pendidikan.

Seorang Ikon Guru Inovatif Prasekolah, Kartigesan M Veloo yang mencipta bahan inovasi Sensory Play Numerics berkata, bahan berkenaan berfungsi sebagai alat permainan yang boleh digunakan dalam bidang akademik khas untuk kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun dan murid yang mempunyai masalah pembelajaran dalam bidang Matematik.

"Subjek Matematik asas perlu dikuasai sepenuhnya oleh pelajar supaya mereka dapat menyelesaikan operasi Matematik lain yang lebih kompleks," katanya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Olak Lempit, Kuala Langat, Selangor.

Katanya, idea menghasilkan bahan inovasi itu tercetus pada 2017 apabila mendapati ada pelajar prasekolahnya berdepan kesukaran membuat pengiraan mudah dan sehingga kini lebih 500 pelajar menerima manfaat melaluinya.

Bahan yang dihasilkan dari kayu, blok dan kadbod tebal itu turut mengandungi litar elektrik iaitu lampu akan berkelip apabila pelajar berjaya menyusun nombor dalam susunan yang betul.

Beliau yang berkecimpung dalam bidang perguruan selama 11 tahun turut berhasrat menambah baik modul itu mengikut tahap kemahiran pelajar.

Pelajar Sekolah Seni Malaysia Perak, Muhammad Haziq Ziman, 17, berkata, penyertaannya dalam pertandingan seni International High School Arts Festival di Jepun memberi pengalaman luas dalam bidang seni halus kerana dapat mengetahui mengenai hasil karya negara lain.

Ia adalah penyertaan kedua Muhammad Haziq dalam pertandingan itu dan kali ini, beliau menghasilkan lukisan bermotifkan elemen haiwan iaitu Harimau Malaya dan ikan koi yang sinonim dengan Malaysia dan Jepun.

Anak kelahiran Selangor itu mengambil masa dua minggu menghasilkan karyanya dengan teknik lukisan akrilik dan berhasrat mengembangkan minatnya terhadap bidang seni halus yang diceburi sejak berumur lapan tahun.

BERNAMA ONLINE

Friday, 12 August 2022

KESEDIAAN PEMIMPIN SEKOLAH, GURU SERTA MURID JAYAKAN PBS

Perubahan pembelajaran tidak berorientasi peperiksaan dibuat berikutan pandangan yang menyebut penekanan keterlaluan kepada peperiksaan menyebabkan murid tertekan lantas hilang minat untuk belajar.

Menteri Pendidikan menjelaskan di Dewan Rakyat bahawa tumpuan akan diberikan kepada usaha memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) susulan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2021 dan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mulai tahun ini.

PBS yang bertujuan menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan mula diperkenal pada peringkat sekolah rendah sejak 2011, manakala PT3 menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2012.

Isu pemansuhan UPSR dan PT3 mendapat reaksi yang pelbagai daripada guru dan ibu bapa. Ada guru, malah guru besar sekolah rendah yang mengatakan sekolah sudah 'lesu' sejak UPSR dimansuhkan. Walaupun guru masih mengajar macam biasa dan pelajar pun belajar seperti lazimnya, tetapi seakan-akan tiada lagi yang luar biasa.

Mungkin ia disebabkan, sebelum pemansuhan UPSR murid berlumba-lumba untuk belajar, manakala guru besar dan guru bersaing dengan semangat untuk membimbing dan mengajar.

Semuanya kerana satu matlamat, inginkan pencapaian yang terbaik dalam peperiksaan UPSR. UPSR dianggap penting sebagai ukuran standard pencapaian pada peringkat sekolah rendah.

Keputusan UPSR diguna pakai sebagai tahap pencapaian akademik murid dan sekolah secara keseluruhannya. Murid yang bermotivasi berusaha mencapai keputusan yang cemerlang bagi membolehkan mereka diterima masuk ke sekolah berasrama penuh.

Ibu bapa juga menyimpan harapan sama. Kini, segala-galanya seakan-akan sudah menjadi kenangan dalam lipatan sejarah pendidikan negara.

Demikianlah perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan kita. Perubahan dibuat supaya pembelajaran murid tidak berorientasikan peperiksaan. Hal ini berikutan pandangan yang menyebut penekanan keterlaluan kepada peperiksaan menyebabkan murid berasa tertekan lantas hilang minat untuk belajar.

Malah, ada pensyarah kanan sebuah universiti mengaitkan keciciran murid dengan sistem peperiksaan. Sedangkan, perjalanan pembelajaran murid mesti menyeronokkan dengan bakat serta potensi mereka mesti dikembangkan dengan baik.

Sistem tidak berpaksi peperiksaan

Justeru, direka cipta sistem lebih anjal yang tidak berpaksikan kepada peperiksaan semata-mata. Maka lahirlah sistem PBS yang pelaksanaannya membabitkan komponen Pentaksiran Bilik Darjah, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum serta Pentaksiran Psikometrik.

Gabungan tiga komponen pentaksiran inilah yang diguna pakai bagi menunjukkan pencapaian sebenar murid pada pertengahan tahun dan akhir tahun.

Bagi memastikan PBS dilaksanakan dengan baik dan berkesan, komitmen guru amatlah penting. Guru bukan sahaja perlu mengajar bersungguh-sungguh, tetapi juga terbabit mengembangkan bakat dan minat murid mengikut kapasiti dan potensi.

Guru besar selaku pentadbir dan pemimpin sekolah mesti memastikan semua operasi PBS dijalankan dengan betul dan mengikut standard. Ibu bapa pula perlu mengetahui perkembangan pembelajaran anak dari semasa ke semasa, termasuklah menerusi program dialog prestasi dengan sekolah. Peranan dan tanggungjawab ibu bapa penting dalam memastikan anaknya belajar di sekolah dan mengulang kaji pelajaran di rumah.

Pendek kata, kejayaan PBS banyak bergantung pada faktor kesediaan pemimpin sekolah, guru dan murid itu sendiri. Tiada yang terkecuali. Program pemerkasaannya memerlukan komitmen banyak pihak, khususnya ibu bapa selaku pemegang taruh dan mesti dibuat dengan komprehensif.

Zainal Abiddin Osman,
Pesara Kerajaan

BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, 11 August 2022

PERLU TELITI JIKA MAHU PINDA AKTA PENDIDIKAN 1996

Datuk Dr Radzi Jidin

SERDANG: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menimbang secara mendalam cadangan beberapa pihak termasuk ahli akademik dan pakar perundangan yang mahu kerajaan meminda Akta Pendidikan 1996 bagi mewajibkan persekolahan sehingga ke Tingkatan Lima.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata banyak perbincangan sudah dibuat berikutan ia membabitkan pelbagai aspek kerana pindaan akta tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

"Dalam konteks ini, banyak perbincangan sudah dibuat kerana ia membabitkan pelbagai sudut.

"Banyak perkara kita teliti daripada perspektif yang berbeza. Jadi sebab itu apabila kita bercakap mengenai akta pendidikan ini, ia tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Wacana Dr Radzi Jidin bertajuk Eksplorasi Dunia Pertanian di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Radzi berkata, apabila pindaan akta ingin dibuat, ia perlu dilakukan dengan sebaiknya kerana apa-apa yang menyalahi akta akan diambil tindakan.

"Jadi kita kena teliti satu persatu apabila kita bercakap tentang akta pendidikan. Sebab itu apabila kita dengar perbincangan di luar sana, kita memang sentiasa melihat apakah penambahbaikan yang boleh dibuat.

"Bagaimanapun pada masa sama, kita melihat daripada pelbagai sudut, bukan sahaja boleh lihat secara umum tapi kita perlu lihat secara mendalam berkaitan dengan akta pendidikan dalam mengambil kira pelbagai aspek termasuk nanti aspek penguasaannya," katanya

Dalam perkembangan lain ditanya media mengenai penggabungan sekolah murid, Radzi berkata perkara itu perlu diteliti berikutan membabitkan banyak proses.

"Pelbagai aspek perlu diteliti sebelum kita membuat sebarang keputusan berkaitan dengan penggabungan itu.

"Sebab kita tidak mahu perkara ini dipolitikkan. Apabila bercakap penggabungan, bukan proses baharu kerana ia memerlukan kajian dan penelitian," katanya.

BERNAMA ONLINE

Tuesday, 9 August 2022

UPSR, PT3 TIDAK AKAN DIADAKAN SEMULA

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin bergambar bersama peserta latihan khusus Pegawai Integriti Bertauliah selepas merasmikan penutupan Majlis Seminar Kelestarian Integriti (SKI) Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di Putrajaya. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Pengarah Akademik Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Timbalan Pesuruhjaya Datuk Idris Zaharudin.

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) kekal dengan pendiriannya memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) walaupun terdapat permintaan daripada ibu bapa yang mahu ia dilaksanakan semula.

Timbalan Menteri Pendidikan ll, Datuk Mohamad Alamin, berkata UPSR dan PT3 dimansuhkan kerana KPM mahu melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang dan tidak terhad dalam bidang akademik sahaja.

Beliau berkata, perkara itu sudah diputuskan sebelum ini dan pihaknya berulang kali memberikan penerangan kepada masyarakat serta ibu bapa berkaitan dengan pemansuhan dua peperiksaan berkenaan.

Katanya, keputusan itu dilakukan kerana KPM mahu mengambil pendekatan yang lebih inklusif dan tidak mahu pelajar berkenaan hanya bergantung kepada peperiksaan semata-mata.

"Kita sudah putuskan untuk hapuskan kerana mahu jadikan dan lahirkan modal insan yang berkebolehan dalam banyak bidang lain, bukannya soal akademik semata-mata.

"Kita mahu Malaysia ini bergerak sebagai sebuah negara yang lebih maju, (maka) kita ingin bekalkan negara dengan modal insan yang mempunyai kepakaran pelbagai, bukan hanya dalam bidang akademik tetapi bidang lain juga.

"KPM tidak akan lahirkan modal insan yang hanya berorientasikan peperiksaan, itu tujuan utamanya. Percayalah kita akan bantu negara untuk lahirkan modal insan yang lebih berkebolehan, bukan hanya akademik sahaja," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program Pegawai Intergiriti Bertauliah (CEIO) Siri 31, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan semakin ramai ibu bapa yang menuntut supaya UPSR dan PT3 dikembalikan dalam sistem pendidikan negara kerana berpendapat KPM masih belum bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai pendekatan tunggal kepada sistem penilaian di sekolah.

Perkara itu disebabkan tiga prasyarat utama PBD masih belum dipenuhi hingga kini sekali gus menambah keresahan ibu bapa terhadap keberkesanan pendekatan baharu berkenaan.

Tiga prasyarat itu ialah bilangan murid yang ideal antara 20 hingga 25 orang dalam kelas bagi memudahkan guru memantau dan menilai; kedua ialah sukatan pelajaran yang tidak terlalu padat bagi memberi laluan kepada pelbagai aktiviti di dalam kelas dan syarat ketiga ialah guru perlu diberikan autonomi sepenuhnya untuk mentaksir murid.

Pada 28 April tahun lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan UPSR dimansuhkan sepenuhnya manakala pada tahun yang sama PT3 turut dibatalkan.

Selaras dengan pemansuhan berkenaan, Radzi berkata, pihaknya akan melaksanakan PBD untuk mengukur pencapaian murid dan pelajar terbabit.

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul manakala PT3 dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Sementara itu, dalam ucapannya sempena majlis berkenaan, Mohamad meminta guru KPM supaya menggunakan media sosial dengan sewajarnya kerana secara tidak langsung mereka membawa imej kementerian kepada umum.

Beliau berkata, KPM sudah mengeluarkan Garis Panduan dan Etika Penggunaan Media Sosial bagi Guru dan Murid pada Januari 2017, untuk menerangkan tatacara, peraturan serta kawalan kandungan media sosial yang perlu dipatuhi oleh guru dan murid supaya penyebaran dan perkongsian maklumat terkawal, selain tidak menjejaskan kepentingan perkhidmatan awam juga kedaulatan negara.

"Dokumen ini dengan jelas menyatakan perkara yang dilarang dilakukan oleh guru dan murid ketika menggunakan media sosial antaranya membuat sebarang penyataan menyentuh perkara yang boleh menjejaskan imej dan dasar kerajaan.

"Sebenarnya kementerian sudah selangkah ke hadapan untuk mengawal risiko penggunaan media sosial dengan mewujudkan dokumen ini. Oleh itu, perlu untuk setiap warga kementerian, ibu bapa dan murid sekolah cakna akan kewujudan dan garis panduan ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) Datuk Idris Zaharudin dalam ucapannya pula berkata KPM adalah kementerian pertama yang melaksanakan program CeIO secara 'in house' bersama MACA membabitkan 57 pegawai kanan.

"Ini menunjukkan KPM komited dalam memartabatkan nilai integriti khususnya pada warga KPM. Program CeIO ini dilihat selari dengan visi dan misi KPM untuk membangunkan potensi individu bagi melahirkan insan terdidik," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 6 August 2022

KPM LAKSANA PEMUTIHAN TANAH SEKOLAH

Datuk Dr Radzi Jidin

KAJANG: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan proses pemutihan ke atas pemilikan tanah yang digunakan untuk pembinaan sekolah di seluruh negara.

Ini kerana, banyak pemilikan tanah membabitkan pembinaan sekolah KPM yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan dikenal pasti bukan milik Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) mahupun kerajaan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata proses pemutihan itu perlu dibuat bagi memastikan semua pemilikan tanah bagi pembinaan sekolah seliaan KPM adalah milik JKPTG atau kerajaan.

Beliau berkata, keadaan itu akan memudahkan pelaksanaan sebarang projek pembinaan sekolah, sekali gus menyelesaikan isu pemilikan tanah yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Selain itu, katanya, KPM turut menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyelesaikan beberapa perkara berbangkit, terutama membabitkan sebarang kelulusan berkaitan pengurusan berkenaan.

"Kerjasama dengan PBT juga antara perkara ditekankan. Kadang-kadang (isu pengambilan tanah) selesai tetapi sangkut di PBT. Ada perkara yang kita perlu duduk dan bincangkan bagi memastikan perkara ini tak menjadi penghalang kepada pembinaan sekolah.

"Banyak perkara membabitkan pelbagai kelulusan dan kelemahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 diambil kira bagi memastikan ia tidak menjejaskan pembangunan infrastruktur berkaitan sekolah," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kejohanan Olahraga Tahunan Keenam Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 17(1) di sini, hari ini.

Beliau mengulas LKAN 2021 Siri 1 yang mendapati pengurusan projek pembinaan sekolah kurang cekap dan kurang berkesan, berdasarkan skop dan sampel audit projek meliputi 19 projek pembinaan sekolah baharu antara 2016 hingga 2021 di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Ia dikesan susulan berlaku kelemahan di peringkat perancangan, prapelaksanaan dan pelaksanaan projek KPM, perunding dan kontraktor, selain masalah koordinasi dengan kerajaan negeri, PBT dan syarikat utiliti serta isu ketersediaan tapak projek turut menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan projek.

Radzi berkata, pihaknya turut memberikan keutamaan kepada usaha menyambung semula pelaksanaan projek sekolah terbengkalai di seluruh negara bagi mengelak struktur bangunan bertambah teruk.

"Fokus kita adalah untuk menyiapkan pembinaan sekolah terbengkalai kerana keadaannya semakin teruk dan kos pembinaan asal itu sudah bertambah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, pihaknya berusaha untuk membawa perbincangan mengenai penetapan kadar baharu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bersama Kementerian Kewangan (MOF).

"Ini kerana, MOF adalah pihak yang akan menentukam kadar baharu RMT dan kita sentiasa memperjuangkan perkara ini. Kita tahu ada keperluan (menaikkan kadar RMT) namun perlu mengambil kira kekangan kewangan kerajaan," katanya.

Mengenai 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak menyambung pengajian, Radzi meminta Jabatan Perangkaan (DOSM) memperincikan data hasil kaji selidik dilakukannya itu secara menyeluruh.

Ini kerana, katanya, kaji selidik itu membabitkan dimensi masa yang panjang, selain hasilnya tidak memperincikan kohort dan golongan umur responden yang terbabit dalam kajian berkenaan.

"Antara contoh soalan ditanya ketika itu ialah belajar setakat mana? Jadi kita tak tahu kohort umur mana kerana ia diambil secara menyeluruh. Justeru, untuk mendapat maklumat lanjut, kena teliti kohort dan golongan umur mana.

"Kalau kita bercakap tentang tak sambung pengajian membabitkan kohort berusia 60 tahun ke atas, pastinya akses pendidikan ketika itu berbeza berbanding sekarang.

"Jadi DOSM perlu memperincikan hasil kajian dengan memberi tumpuan apakah dimaksudkan mengenai peratusan itu, selain ia merujuk kepada kohort mana bagi mengelak kekeliruan," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, 4 August 2022

SEKOLAH TAK SIAP JEJAS KUALITI PENDIDIKAN

SMK Jalan Sungai Besi, antara sekolah tersenarai projek lewat dimulakan.

KUALA LUMPUR: Projek pembinaan sekolah yang gagal disiapkan mengikut perancangan berupaya mewujudkan kesan domino, selain menjejaskan kualiti pendidikan negara.

Pakar pendidikan dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Rosna Awang Hashim, berkata keadaan itu juga boleh menyebabkan tekanan kepada ibu bapa yang mungkin perlu menghantar anak ke sekolah lebih jauh.

"Pembangunan sekolah selalunya dibuat berdasarkan keperluan komuniti, seiring dengan pembangunan setempat membabitkan peningkatan penduduk.

"Jika ada sekolah tidak siap, kapasiti sekolah sedia ada mungkin akan ditingkatkan, yang menyebabkan bilangan murid di kelas bertambah.

"Apabila ini berlaku, kualiti pendidikan mungkin akan terjejas, selain menyukarkan ibu bapa dari segi jarak bagi menghantar anak ke sekolah," katanya kepada BH.

Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 1 semalam, menyebut i pengurusan projek pembinaan sekolah didapati tidak cekap dan kurang berkesan menyebabkan 19 projek pembinaan sekolah baharu di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, tidak siap sepenuhnya.

Ia menyebabkan objektif untuk menampung lebihan murid melalui pembinaan sekolah baharu dan sekolah satu sesi sukar dicapai.

Laporan itu menyebut, Kementerian Pendidikan KPM perlu memperkemaskan prosedur dan proses pelaksanaan projek pembinaan sekolah supaya pengurusan lebih teratur dan mematuhi semua peraturan semasa yang berkuat kuasa, selain menjalankan kajian semula untuk mengenal pasti keperluan semasa skop pembinaan sekolah bagi projek yang lewat dimulakan pelaksanaannya.

Pada masa sama, Rosna berkata, sekolah bersaiz kecil disifatkan lebih efektif kerana bilangan murid yang sedikit memudahkan guru dan komuniti sekolah untuk mendampingi mereka, sekali gus dapat meningkatkan kualiti pendidikan yang disampaikan.

Sementara itu, Pakar Pendidik, Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata projek sekolah yang tidak siap itu bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada perbelanjaan negara namun turut memberi kesan kepada perancangan pembelajaran dan penyediaan suasana persekolahan yang selesa kepada murid.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) dan agensi terbabit perlu menjelaskan berhubung status projek berkenaan dan alasan ia tidak dapat disiapkan.

"Perkembangan ini amat mengecewakan dan ia adalah kerugian besar dari segi kemajuan pendidikan negara sebab kita tahu bilangan sekolah di negara kita sememangnya tidak cukup untuk menampung lebihan murid.

"Kita bukan sahaja kecewa, namun timbul persoalan mengapa KPM khususnya badan urus setia tidak dapat menjayakan projek ini dengan baik walaupun peruntukan sudah diberikan kerajaan.

"Justeru, kerajaan perlu tegas terhadap pihak dipertanggungjawabkan, yang nampaknya tidak berjaya melaksanakan tugas dengan baik. Ketegasan perlu ada bagi memastikan sistem pendidikan kita berada dalam keadaan baik," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Tuesday, 2 August 2022

KPM TELITI KEPERLUAN NAIKKAN KADAR PROGRAM RMT

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang berbincang dengan agensi pusat mengenai penetapan kadar baharu bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata bagaimanapun, perkara itu tertakluk kepada kelulusan dan keupayaan kewangan semasa kerajaan.

"Kadar semasa RMT adalah sebanyak RM2.50 di Semenanjung Malaysia dan RM3 di Sabah, Sarawak serta Labuan. Kadar ini digunakan mulai 2016," katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) di Dewan Rakyat.

Katanya, KPM sentiasa menambah baik program RMT dari semasa ke semasa, termasuk melaksanakan pemberian susu kepada murid sekolah rendah yang layak sudah disediakan sebanyak dua kali seminggu bawah Program Susu Sekolah (PSS) mulai 1980.

"PSS kemudian digabungkan dengan RMT yang mana mulai 2022 pemberian susu ditingkatkan kepada setiap hari persekolahan," katanya.

Program RMT adalah pemberian makanan tambahan kepada murid sekolah rendah yang layak mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini mencadangkan supaya kadar RMT bagi murid sekolah rendah dinaikkan kepada RM4 di Semenanjung Malaysia dan RM5 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Beliau berkata, kementeriannya sudah mengemukakan syor supaya peruntukan KPM bagi RMT ditingkatkan kepada Kabinet bagi memastikan murid mendapat makanan berkhasiat.

Khairy dipetik berkata, berdasarkan pemantauan kepatuhan menu program RMT yang dijalankan Bahagian Pemakanan KKM dari Januari hingga Jun lalu, hanya 61 peratus sekolah dipantau mematuhi menu RMT.

BERITA HARIAN ONLINE

Monday, 1 August 2022

PBS DIPERKASA SUSULAN PEMANSUHAN UPSR, PT3

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) ketika ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) susulan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Pelaksanaan PBS bertujuan menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang diperkenal di peringkat sekolah rendah mulai 2011, manakala sekolah menengah pada 2012.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata pelaksanaannya membabitkan komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Mengenai konteks PBD, katanya, guru memantau perkembangan, kemajuan dan penguasaan murid dalam proses pembelajaran, termasuk kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Beliau berkata, melaluinya, guru boleh merancang dan mengubah suai kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi membantu setiap murid meningkatkan tahap penguasaan pembelajaran mereka.

Pelaksanaan PBD secara berterusan dapat mempersiapkan murid dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai sebagai asas kukuh untuk mengikuti pembelajaran di peringkat seterusnya.

"Antara pendekatan dalam pengukuhan PBD bagi murid Tahun 4 hingga Tingkatan 3 adalah menambah baik pengurusan ujian akhir sesi akademik melalui penyediaan soalan setara standard oleh KPM, mulai 2022.

"Soalan ini disediakan guru berkepakaran dalam pembinaan item dan disimpan dalam sistem bank soalan dibangunkan KPM.

"Bagi tujuan pelaksanaan ujian akhir sesi akademik, pihak sekolah akan menjana set soalan daripada sistem berkenaan dan ditadbir di sekolah seperti ujian akhir tahun sebelum ini. Panduan penskoran juga akan disediakan untuk kemudahan guru," katanya.

Beliau menjawab soalan Natrah Ismail (PKR-Sekijang) mengenai impak jangka panjang pemansuhan UPSR, pada 2021 dan PT3, tahun ini, di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Radzi berkata, penambahbaikan ujian akhir sesi akademik bertujuan membolehkan guru dan ibu bapa bersama-sama membantu membangunkan potensi murid bermula daripada peringkat sekolah rendah.

Katanya, pelaporan ujian akhir sesi akademik itu akan digunakan bagi membolehkan intervensi awal dilakukan bagi mengoptimumkan potensi murid dan bukan untuk tujuan perbandingan pencapaian antara murid atau sekolah.

Beliau berkata, kejayaan dan kemenjadian murid haruslah dilihat secara holistik dan bukan semata-mata berdasarkan prestasi dalam bidang akademik sahaja.

Justeru, pentaksiran melalui PAJSK dan PPsi juga diperkukuh bagi menilai perkembangan murid dalam aspek sukan, kokurikulum, nilai murni, minat dan kecenderungan serta pembentukan sahsiah.

"KPM juga akan menambah baik kaedah pelaporan PBD. Melalui kaedah ini, pencapaian murid dilaporkan secara menyeluruh sebanyak dua kali setahun iaitu pada pertengahan dan akhir sesi akademik, menggunakan deskriptor tahap penguasaan komprehensif sert jelas.

"Pelaporan ini juga menilai tahap usaha murid dalam pembelajaran, selain guru kelas dan mata pelajaran akan memberi ulasan serta cadangan intervensi bagi mengoptimumkan potensi murid," katanya.

Beliau berkata, laporan akhir sesi akademik akan turut disertakan dengan pelaporan PAJSK dan PPsi, selain daripada pelaporan PBD.

Secara keseluruhan, katanya, penambahbaikan pelaporan PBS dapat memberi gambaran mengenai kemenjadian murid secara menyeluruh, komprehensif dan bermakna.

"Pemerkasaan PBS adalah antara pendekatan KPM untuk beralih daripada pembelajaran berorientasi peperiksaan kepada pembelajaran lebih menyeronokkan untuk murid, selain mempergiat program latihan pentadbir dan guru bagi meningkatkan kemahiran serta memantapkan pelaksanaan pentaksiran berterusan di sekolah.

"Guru juga akan terus dilatih untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran termasuk penggunaan teknologi digital.

"KPM yakin pentaksiran bersifat holistik dan berterusan melalui PBS adalah pendekatan terbaik bagi mengoptimumkan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu," katanya.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata, KPM sudah memperkenalkan sistem permohonan berpusat ke sekolah khusus iaitu Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK), mulai 2020.

PKSK adalah kaedah pentaksiran standard secara berpusat dan dilaksanakan kepada murid yang memohon kemasukan ke sekolah khusus iaitu sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah menengah teknik, kolej vokasional, sekolah menengah kebangsaan agama dan Maktab Tentera Diraja.

Ia merangkumi tiga komponen utama iaitu kecerdasan insaniah, kecerdasan intelek dan artikulasi penulisan.

"Semua murid warganegara yang berdaftar dengan sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid, KPM dari sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama bantuan kerajaan atau sekolah swasta adalah layak memohon kemasukan ke sekolah khusus.

"Syarat pemilihan murid ke sekolah khusus adalah melepasi syarat minimum PKSK serta aktif dalam aktiviti kokurikulum.

"Selain itu, komponen PBD, PAJSK serta status sosial ekonomi (SES) turut digunakan dalam pemilihan murid ke sekolah khusus. PKSK juga akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

ELAUN JKM, IMPAK PEMANSUHAN UPSR, ANTARA TUMPUAN SIDANG DEWAN RAKYAT

Dewan Rakyat di Parlimen.

KUALA LUMPUR: Isu kenaikan kadar bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selaras dengan kenaikan kos sara hidup antara perkara yang akan dibangkitkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Persoalan itu akan diajukan oleh Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Mohd Salim ingin tahu sama ada kementerian mempunyai rancangan untuk menaikkan kadar bantuan bulanan kepada penerima sedia ada supaya ia selari dengan kenaikan kos hidup masa kini.

Turut menjadi perhatian Ahli Parlimen ialah impak jangka panjang pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dibangkitkan oleh Natrah Ismail (PH-Sekijang) kepada Menteri Kanan Pendidikan.

Beliau juga ingin tahu mengenai mekanisme Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengukur kelayakan kemasukan pelajar ke asrama penuh atau ke kolej lepasan tingkatan tiga selepas peperiksaan UPSR dan PT3 dimansuhkan.

Sementara itu, Pang Hok Liong (PH-Labis) meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah rizab negara setakat Mei 2022 dan jumlah rizab antarabangsa Bank Negara setakat Mei 2022 serta rancangan kerajaan untuk meningkatkan rizab negara.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula mengutarakan soalan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berkenaan kriteria yang akan diperhalusi oleh kementerian dalam membuka sempadan negara kepada lebih banyak negara luar seperti China.

Persidangan Dewan Rakyat hari ini juga akan menyaksikan sambungan perbahasan rang undang-undang bacaan kali kedua antaranya Rang Undang-Undang Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 serta Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

BERNAMA ONLINE