Saturday 3 December 2022

HARAP MENTERI BAHARU BERI KEUTAMAAN KEPADA PENDIDIKAN PERKEMBANGAN AWAL KANAK-KANAK

Gambar hiasan

TASEK GELUGOR, 3 Dis (Bernama) -- Pengusaha Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) berharap pendidikan berkaitan program perkembangan awal kanak-kanak akan turut diberi keutamaan oleh Menteri Pendidikan yang baru dilantik, Fadhlina Sidek.

Pengasas tadika swasta Tadika Khalifah Intelek, Rohani Abdul Ghani berkata segmen ini tidak diberi banyak tumpuan sebelum ini dan ini tidak mengoptimumkan kebolehan industri dalam mencungkil bakat serta menerapkan budaya kreatif dalam kalangan kanak-kanak.

“Kita mempunyai harapan yang tinggi ke atas Menteri Pendidikan baharu agar mengutamakan pendidikan awal untuk kanak-kanak yang berumur enam tahun ke bawah.

“Saya yakin dengan kebolehan beliau yang merupakan seorang peguam. Tambahan pula beliau selama ini memang aktif memperjuangkan isu wanita dan kanak-kanak,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sambutan Festival Kanak-kanak Pulau Pinang 2022 di Pusat Konvensyen Perda di sini hari ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR dan Ahli Parlimen Nibong Tebal sebagai Menteri Pendidikan dalam satu sidang media khas semalam.

Sementara itu, festival yang dianjur oleh Tadika Khalifah Intelek dengan kerjasama Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) itu disambut meriah dengan kehadiran lebih 3,000 peserta bagi meraikan keunikan dan kekuatan setiap kanak-kanak.

Bertemakan “The Power of Children”, Rohani berkata festival tersebut dianjurkan bertujuan untuk menyediakan satu platform untuk kanak-kanak bertemu, bermain dan berkembang dari segi sosial, emosi dan fizikal.

BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment