Saturday, 3 December 2022

NUTP HARAP DUA MENTERI JAGA PENDIDIKAN PERKENALKAN DASAR PROGRESIF

Khaled Nordin (kiri) dan Fadhlina Sidek.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berharap dua menteri yang menerajui Kementerian Pendidikan dan Pendidikan Tinggi dapat memberi dedikasi dalam mempertingkatkan kemajuan dunia pendidikan dengan memperkenalkan dasar yang progresif demi memperbaiki sistem sedia ada masa kini.

Setiausaha Agungnya, Fouzi Singon, berkata NUTP yakin Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dipilih Perdana Menteri adalah pemimpin yang terbaik serta dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh hemah serta berdedikasi.

"Jika dilihat perkembangan dari semasa ke semasa di mana apabila berlakunya reformasi Pendidikan dengan silih berganti Menteri Pendidikan maka dasar yang diperkenalkan oleh Menteri sebelum ini tidak berkekalan dan akan berlaku perubahan.

"Ada dalam kalangan dasar yang diperkenalkan dasar yang terbaik namun tidak diteruskan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya NUTP berharap Fadhlina dapat melihat dan mempertimbangkan kewajaran dengan memberikan lebih autonomi kepada akar umbi dalam merancang sesi pengajaran dan pembelajaran serta peka kepada permasalahan yang wujud sekian lama dalam dunia pendidikan.

Selain itu, katanya harapan NUTP supaya Menteri Pendidikan yang baharu turut bersama-sama meneliti, memahami, mencari, menyelesaikan serta memperbaiki sistem pendidikan.

"Cadangan yang diutarakan oleh sesiapa sahaja perlulah diteliti sebelum membuat sebarang keputusan.

"Ini kerana cadangan dan pandangan akar umbi sebahagiannya dapat membantu dan memperbaiki sistem pendidikan," katanya.

Beliau juga memuji pengasingan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dilihat sangat wajar kerana akan lebih berfokus dengan menambah baik kementerian masing-masing.

"KPT adalah sektor yang mengendalikan kementerian yang besar dan kompleks," katanya.

NUTP juga berharap dasar TVET negara yang masih tiada kesudahan dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang tidak langsung disentuh sepanjang pentadbiran menteri yang lalu dapat diteliti semula.

"Pembinaan generasi Malaysia masa hadapan amat bergantung kepada dasar yang dibuat oleh kementerian ini kelak.

"NUTP juga berharap kedua-dua tokoh yang dipilih menerajui Kdua kementerian ini dapat memberikan kerjasama yang baik dengan NUTP dan dapat mengadakan sesi libat urus," katanya.

Sebelum ini, beliau berkata kesatuan guru tidak mendapat tempat untuk sesi urus libat dan NUTP berharap kedua-dua menteri akan mesra dengan kesatuan guru.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment