Lim Hui Ying mengimbas kad akses bagi memulakan tugas rasmi sebagai Timbalan Menteri Pendidikan sambil disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Majlis Lapor Diri Timbalan Menteri Pendidikan di Kementerian Pendidikan, Putrajaya.
PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Pendidikan yang baru dilantik, Lim Hui Ying akan terus berganding bahu bersama warga kementerian dalam menaik taraf sektor pendidikan di negara ini.
Hui Ying berkata, beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana yakin kemampuannya untuk menjawat jawatan berkenaan.
"Saya rasa amat bangga kerana ini hari pertama saya memasuki kementerian ini, apa yang penting saya akan memberi sokongan penuh terutamanya kepada YB Menteri (Fadhlina Sidek) untuk menaik taraf pendidikan di negara kita," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengimbas kad perakam waktu di kementeriannya, hari ini.
Hui Ying yang tiba di kementerian berkenaan jam 8.25 pagi itu turut diiringi Fadhlina, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali.
Dalam pada itu, Hui Ying enggan mengulas lanjut ketika ditanya dakwaan sesetengah pihak bahawa pemilihannya sebagai Timbalan Menteri Pendidikan disebabkan beliau anak veteran DAP, Lim Kit Siang.
Beliau juga tidak mahu mengulas mengenai cadangan pelaksanaan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC).
"Tiada komen untuk isu itu, ini adalah hari pertama saya. Biar saya (dapatkan taklimat supaya) lebih faham berkaitan hal berkenaan (isu UEC)," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Hui Ying menewaskan dua pencabarnya selepas meraih majoriti 28,754 undi di Parlimen Tanjong.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment