PUTRAJAYA, 15 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) seperti yang termaktub di bawah Akta Pendidikan 1996 secepat mungkin.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata MPPK akan dipengerusikannya sendiri dan dianggotai 15 ahli yang dipilih terdiri daripada pemegang taruh dalam bidang pendidikan termasuk aktivis, guru, bekas guru dan ahli akademik.
“Dengan adanya MPPK ini nanti diharapkan dapat menyumbang idea dan pandangan kepada KPM dalam merangka dan menambah baik hala tuju pendidikan negara.
“Perkara ini termasuklah memikirkan kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan berakhir pada 2025,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying, Ketua Setiausaha KPM Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali.
Fadhlina berkata pihaknya mengalu-alukan orang ramai untuk mencadangkan nama individu bersesuaian untuk menganggotai MPPK dan senarai ahli yang terpilih akan diumumkan dalam masa terdekat.
Pada masa sama, beliau berkata KPM akan meneruskan dasar pendidikan sedia ada dan melakukan penambahbaikan proses penyampaian bagi menjamin kecekapan dan keberkesanannya.
Ditanya sama ada KPM akan melaksanakan satu daripada perkara di bawah manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu pengikitafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC), beliau berkata ia bukan menjadi keutamaan KPM pada masa ini, sebaliknya tumpuan utama Kerajaan Perpaduan adalah untuk menangani cabaran ekonomi dan kos sara hidup rakyat.
Menurut beliau, apa-apa isu terkait rapat termasuk yang dibangkitkan sekarang seperti UEC akan diilhat dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan keutamaan.
Sementara itu, mengenai rungutan guru-guru berhubung isu penempatan semula yang didakwa tidak telus, Yusran Shah berkata pihaknya mengambil maklum akan aduan tersebut.
“Tujuan asal (penempatan semula) adalah untuk memastikan guru-guru ini tidak berkhidmat terlalu lama di sesebuah sekolah, ada yang berkhidmat sampai 20 tahun di sesebuah sekolah, jadi kita nak lihat ada perubahan.
“Walau bagaimanapun kita juga menyedari akan pandangan dari guru-guru tentang kesukaran mereka apabila berlaku penempatan semula. Oleh itu, di peringkat kementerian kita dah ada beberapa perbincangan untuk penambahbaikan dari segi penempatan semula itu sendiri,” katanya.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment