Wednesday, 24 July 2019

KESEDARAN SEMASA : PROMOSI PANGKALAN DATA

Sebanyak 3 siri taklimat kesedaran semasa berkaitan pangkalan data telah berlangsung di Bilik Interaksi Perpustakaan Za'ba. Taklimat ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelatih untuk mencari maklumat akademik yang boleh membantu di dalam membuat tugasan dan kajian.

Maklumat berkenaan taklimat berkenaan adalah seperti berikut:

22 Julai 2019 - Pelajar Pendidikan Seni Visual I (22 orang)

22 Julai 2019 - Pelajar Pendidikan Islam (30 orang)

24 Julai 2019 - Pelajar Pendidikan Seni Visual III (23 orang)

Taklimat telah disampaikan oleh Tn Hj Mohd Dariah bin Ibrahim dan En Huzairul Hezri bin Saidin























Monday, 22 July 2019

INDUSTRI BUKU PERLU BAUCAR, DANA PERPUSTAKAAN


Baucar buku jadi antara faktor membantu industri buku Malaysia apabila turut digunakan di pesta buku. Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR: Industri buku tanah air masih perlu dibantu dari segi dasar fiskal merangkumi baucar buku, pelepasan cukai peribadi dan dana untuk perpustakaan.
Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Arief Hakim Sani Rahmat, berkata semua itu adalah kelebihan yang pernah diwujudkan bagi menyokong perkembangan industri buku tetapi sudah ditiadakan, sekali gus menjadi antara faktor kesuraman industri buku tempatan.
Arief Hakim Sani berkata, insentif fiskal itu diharap dapat dipulihkan kepada tahap lama atau lebih baik jika ia ditambah.
“Kami faham posisi kewangan kerajaan masih belum kukuh tetapi dalam soal ini, kerajaan perlu melihat fasa pelaksanaan yang diamalkan mereka.
“Misalnya dari segi cara pembekalan buku teks untuk sekolah yang memaksa penerbit dan penulis memindahkan hak cipta kepada kerajaan.
“Langkah ini merosakkan ekosistem buku tempatan dari segi jangka masa panjang. Kerajaan boleh memulihkan kesilapan ini dengan memulangkan semula hak penulis dan penerbit buku teks,” katanya kepada BH di sini.
Arief Hakim Sani berkata, hal sama juga berlaku dalam penerbitan buku teks bahasa Inggeris, sekali gus meminta Kementerian Pendidikan menghentikan penggunaan buku teks import untuk sekolah rendah dan menengah.
Katanya, kos buku teks import adalah lebih empat kali ganda mahal berbanding buku teks tempatan.
“Apatah lagi, pakar pengajaran bahasa Inggeris tempatan lebih daripada mampu untuk menghasilkan buku teks yang memenuhi keperluan pembelajaran, nilai dan budaya tempatan,” katanya.
Arief Hakim Sani mengakui keprihatinan kerajaan terhadap industri buku tempatan tetapi menganggap tidak cukup sekadar mendengar pandangan dan luahan pemain industri, sebaliknya perlu disusuli pelbagai tindakan terutama polisi.
Beliau berkata, berdasarkan interaksi pemain industri dengan kerajaan, terbukti pemerintah mendengar luahan dikemukakan tetapi masalah utama belum ditunaikan dengan alasan undang-undang, dana atau pentadbiran.
“Pihak industri tidak akan berhenti bercakap kepada pemimpin politik, pembuat dan pelaksana dasar dalam kerajaan. Perjuangan itu bermakna terus bercakap tanpa henti mengenai perkara penting,” katanya.
Tegas Arief Hakim Sani, antara isu utama dikemukakan ialah dari segi dasar, iaitu Dasar Buku Negara (DBN) yang menjadi dokumen dasar komprehensif.
DBN katanya, perlu menekankan kepada kempen membaca, iaitu kunci utama membina industri buku mapan.
“Kedua, dari segi fiskal meliputi baucar buku, pelepasan cukai peribadi, dana untuk perpustakaan semua perkara penting, seterusnya implementasi dan persoalan hak cipta,” katanya.
Pandangan Arief Hakim Sani ini ada benarnya kerana walaupun ekonomi buku dunia umumnya meningkat, termasuk kadar jualan buku bercetak, hal sama tidak berlaku di negara ini.
Industri buku tanah air masih lagi merosot ketika industri sama di Barat mencatat kenaikan jualan buku fizikal. Untuk menyebut penurunan jualan buku fizikal di negara ini disebabkan pertambahan muat turun e-buku, ia tidak tepat kerana kadarnya masih kecil berbanding buku bercetak.
Justeru, apakah sebenarnya yang sedang terjadi kepada industri buku negara?
Arief Hakim Sani berkata, keadaan hari ini boleh dikatakan sebagai kitaran berkaitan dengan trend kandungan, kuasa beli pengguna dan polisi kerajaan, selain turut disebabkan perkembangan teknologi.
“Bagi jangka satu hingga lima tahun ini, faktor ekonomi dan rangsangan kerajaan seperti kempen Dekad Membaca Kebangsaan, baucar buku, pelepasan cukai pendapatan peribadi dan pembelian perpustakaan, akan menjadi faktor pemulihan berimpak tinggi,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

KERAJAAN KAJI KEPERLUAN WUJUD SMJK TAMIL


Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, ketika hadir Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mengkaji keperluan untuk menubuhkan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tamil bagi meningkatkan tahap pendidikan masyarakat India.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching, berkata kementerian menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Masyarakat India bagi meneliti lanjut perkara itu.
“(Cadangan ini) memerlukan kajian yang teliti dan holistik supaya penyelesaian jangka masa panjang dapat diperoleh.
“Penelitian rapi akan merangkumi pelbagai aspek penting seperti kriteria standard, unjuran murid, perundangan dan kemampuan kewangan kerajaan,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk T Mohan yang ingin tahu status pembinaan SMJK Tamil pertama di Malaysia yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan seperti mana yang terkandung dalam Janji kelima: Iltizam khusus Pakatan Harapan untuk masyarakat India.
Nie Ching berkata, kerajaan juga akan mengambil kira pandangan dan cadangan pelbagai pihak berkepentingan khususnya daripada masyarakat India dalam kajian berkenaan.
Tambahnya, penubuhan sesebuah sekolah menengah tertakluk kepada peruntukan di bawah Seksyen 30 dan 31 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 21 July 2019

MALAYSIA TUAN RUMAH MESYUARAT MENTERI PENDIDIKAN ASIA TENGGARA


PUTRAJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Menteri Pendidikan  Dr Maszlee Malik akan mempengerusikan Persidangan Majlis Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan  Asia Tenggara(SEAMEO) ke-50  bermula Isnin 22 Julai  hingga Khamis 25 Julai di Bandar Sunway, Selangor.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya hari ini berkata, persidangan selama empat hari ini akan dihadiri oleh menteri-menteri pendidikan, pegawai tinggi kerajaan dan wakil rasmi dari kesemua 11 negara anggota SEAMEO, negara anggota bersekutu, ahli gabungan, Pusat SEAMEO Serantau dan rakan strategik.

"Dalam persidangan kali ini, SEAMEO akan mengetengahkan isu perubahan lanskap pendidikan bagi menyokong pembangunan dari sudut ekonomi dan sosial. Persidangan ini turut menawarkan forum terbuka bagi membincangkan halatuju strategik berdasarkan tujuh bidang keutamaan SEAMEO yang selari dengan perspektif dan isu komuniti pendidikan antarabangsa khususnya di rantau Asia Tenggara," jelas kenyataan itu.

Menurut KPM, persidangan kali  ini juga menyasarkan kerjasama yang lebih erat dalam bidang pendidikan dalam kalangan negara Asia Tenggara dan selainnya.

"Para menteri pendidikan dijangka akan memberikan pandangan dalam menetapkan keutamaan  SEAMEO pasca2020 melalui pelan strategik SEAMEO 2021-2030," katanya lagi.

SEAMEO yang beribu pejabat di Bangkok ditubuhkan pada November 1965 merupakan pertubuhan yang berperanan dalam mempromosi kerjasama bidang pendidikan, sains dan kebudayaan di rantau Asia Tenggara.

Sejak penubuhannya, menteri pendidikan bermesyuarat secara tahunan untuk mengambil perhatian terhadap pencapaian 26 buah pusat serantau SEAMEO di segenap pelosok Asia Tenggara meliputi laporan kewangan dan pelaksanaan aktiviti semasa serta mengesahkan perancangan aktiviti masa hadapan.

Mulai 2013, persidangan SEAMEO diadakan secara dwi-tahunan dan dianjurkan oleh setiap negara anggota secara bergilir.

Negara anggotanya terdiri daripada Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam.


BERNAMA ONLINE

RAJA MUDA PERLIS MAHU INSTITUSI PENDIDIKAN GALAKAN PELAJAR BERSUKAN


ARAU, 21 Julai (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru semua institusi pendidikan terus mencari bakat-bakat baharu dan membantu pelajar untuk berjaya dalam bidang sukan dengan mengetengahkan mereka ke peringkat lebih tinggi.

Titah baginda, sokongan dan galakan berterusan dalam menyemarakkan lagi bidang sukan akan menjamin kecemerlangan pelajar dalam kejohanan-kejohanan yang bakal diceburi.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Penutupan Karnival Sukan Tempur Politeknik Malaysia 2019 di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh Putra di sini, hari ini.

Raja Muda bertitah sukan mampu memainkan peranan penting dalam pembentukan keperibadian seseorang pelajar.

“Penglibatan dalam aktiviti sukan adalah pendedahan asas kepada pelajar terhadap amalan gaya hidup sihat dan aktif. Sukan adalah platform terbaik bagi mencungkil potensi serta bakat para pelajar dan ia juga merupakan medium yang efektif untuk pembentukan keperibadian warga belia,” titah baginda.

Menurut Raja Muda penyertaan seseorang pelajar dalam sesebuah kejohanan menuntut mereka supaya memiliki disiplin, komitmen, persediaan mental dan fizikal serta semangat berpasukan yang tinggi.

“Soft skills” ini amat penting dalam mempertingkatkan lagi keupayaan pelajar bagi mengawal diri, mental dan tindakan yang menjadi elemen utama dalam kehidupan.

Raja Muda menyeru generasi muda agar menceburi seni mempertahankan diri sama ada silat, taekwando, judo dan sebagainya kerana kesenian tersebut dapat membentuk jati diri, disiplin, keyakinan diri serta rasa tanggungjawab dalam diri anak muda.

Menurut baginda khazanah bangsa seperti silat perlulah dipelihara dan sentiasa dihidupkan di kalangan generasi muda hari ini agar tidak pupus ditelan zaman bak kata pepatah ”tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.

Baginda mengucapkan syabas kepada semua peserta yang telah mempamerkan kehebatan bakat masing-masing dan pada masa yang sama juga dapat jadikan sukan sebagai elemen untuk menyatukan lagi masyarakat serta pembangunan sosial para generasi muda.


BERNAMA ONLINE

KEMENTERIAN PENDIDIKAN, KPDNHEP KERJASAMA BANTERAS VAPE

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan memandang serius isu jualan bahan terlarang seperti rokok elektronik dan vape kepada pelajar.
Sehubungan itu, kementerian berkenaan berkerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi membanteras penjualan barang berkenaan kepada pelajar sekolah.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan berkata, berdasarkan pemantauan dan aduan yang diterima, bahan seperti rokok elektronik dan vape dijual di luar kawasan sekolah.
“Bagi memastikan perbuatan itu tidak terus berleluasa, kementerian akan berkerjasama erat dengan KPDNHEP untuk membendung jualan bahan berkenaan, terutama kepada murid sekolah,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Kementerian Pendidikan turut mengambil langkah sewajarnya dalam memberi pendedahan mengenai larangan membeli dan bahaya penggunaan bahan itu daripada aspek kesihatan.
“Selain itu, ibu bapa diingatkan supaya memantau kegiatan anak-anak mereka yang menjurus ke arah kegiatan berkenaan,” katanya.
Akhbar semalam melaporkan kewujudan pelbagai jenis vape bersaiz kecil antaranya berbentuk pen, jam tangan, pemetik api, pemacu pena hingga ada antaranya bersaiz sebesar kotak mancis antara punca vape menjadi kegilaan baru murid serta pelajar sekolah.
Isu itu mendapat reaksi banyak pihak, termasuk Majlis Pengetua Sekolah Malaysia yang mahu tindakan proaktif diambil segera untuk menangani isu berkenaan.
BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 20 July 2019

ISU KEM PENGAKAP TERBIAR : MASZLEE MAHU JUMPA, BINCANG DENGAN PPM


MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik (tengah) melihat pelajar mengawal permainan robot ketika hadir Majlis Perasmian Penutup I-Challenge Sekolah Tun Fatimah di Dewan Bestari STF, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan mahu bertemu kepemimpinan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dalam tempoh terdekat bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu beberapa kem pengakap terbiar di seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama PPM bagi melihat permasalahan isu berkenaan secara menyeluruh.
“Kita (kementerian) akan berbincang dengan Persekutuan Pengakap (mengenai isu kem terbiar),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penutupan dan Pertandingan Akhir Tun Fatimah i-Challenge di Sekolah Tun Fatimah, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Maszlee enggan mengulas secara terperinci butiran perbincangan yang akan diadakan bersama PPM itu.
BH Ahad sebelum ini mendedahkan sekurang-kurangnya 12 kem utama pengakap di seluruh negara, yang pernah menjadi tumpuan ahlinya menjalankan aktiviti perkhemahan dan keraian secara berkala kini terbiar usang dan dipenuhi semak-samun.
Gambaran keindahan sesetengah kem pengakap seperti dikongsikan dalam laman web rasmi PPM pada hakikatnya sekadar ‘indah khabar daripada rupa’ apabila tinjauan di lokasi mendapati ia sebenarnya terbiar hingga pasukan itu sendiri tidak lagi menganjurkan program di situ.
Malah, pasukan beruniform lain yang berhasrat menyewa kemudahan tapak perkhemahan PPM terbabit juga, membatalkan hasrat mereka apabila melihat wajah sebenar kem pasukan itu.
Secara umumnya, kebanyakan kem yang dilawati didapati dilengkapi kemudahan dewan, chalet dan asrama, tapak perkhemahan, tandas serta bilik mandi, namun cukup menyedihkan apabila ia terbiar reput, selain ada yang sekadar menjadi projek gajah putih yang menunggu masa tersembam menyembah bumi.
Keadaan itu menyebabkan ahli dan pemimpin pengakap kini terpaksa mencari alternatif lain setiap kali mahu mengadakan aktiviti dan kursus, antaranya padang sekolah dan menyewa hotel, sekali gus mengehadkan pendedahan dalam aspek kemahiran, ketahanan diri dan pembangunan modal insan.
BERITA HARIAN ONLINE