ARAU, 21 Julai (Bernama) -- Raja Muda
Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru semua institusi
pendidikan terus mencari bakat-bakat baharu dan membantu pelajar untuk berjaya
dalam bidang sukan dengan mengetengahkan mereka ke peringkat lebih tinggi.
Titah baginda, sokongan dan galakan
berterusan dalam menyemarakkan lagi bidang sukan akan menjamin kecemerlangan
pelajar dalam kejohanan-kejohanan yang bakal diceburi.
Baginda bertitah demikian pada Majlis
Penutupan Karnival Sukan Tempur Politeknik Malaysia 2019 di Dewan Harumanis,
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh Putra di sini, hari ini.
Raja Muda bertitah sukan mampu memainkan
peranan penting dalam pembentukan keperibadian seseorang pelajar.
“Penglibatan dalam aktiviti sukan adalah
pendedahan asas kepada pelajar terhadap amalan gaya hidup sihat dan aktif.
Sukan adalah platform terbaik bagi mencungkil potensi serta bakat para pelajar
dan ia juga merupakan medium yang efektif untuk pembentukan keperibadian warga
belia,” titah baginda.
Menurut Raja Muda penyertaan seseorang
pelajar dalam sesebuah kejohanan menuntut mereka supaya memiliki disiplin,
komitmen, persediaan mental dan fizikal serta semangat berpasukan yang tinggi.
“Soft skills” ini amat penting dalam
mempertingkatkan lagi keupayaan pelajar bagi mengawal diri, mental dan tindakan
yang menjadi elemen utama dalam kehidupan.
Raja Muda menyeru generasi muda agar
menceburi seni mempertahankan diri sama ada silat, taekwando, judo dan
sebagainya kerana kesenian tersebut dapat membentuk jati diri, disiplin,
keyakinan diri serta rasa tanggungjawab dalam diri anak muda.
Menurut baginda khazanah bangsa seperti
silat perlulah dipelihara dan sentiasa dihidupkan di kalangan generasi muda
hari ini agar tidak pupus ditelan zaman bak kata pepatah ”tak lapuk dek hujan,
tak lekang dek panas”.
Baginda mengucapkan syabas kepada semua
peserta yang telah mempamerkan kehebatan bakat masing-masing dan pada masa yang
sama juga dapat jadikan sukan sebagai elemen untuk menyatukan lagi masyarakat
serta pembangunan sosial para generasi muda.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment